Kanak-Kanak Perempuan Berusia 12 Tahun Hilang
BALIK PULAU, 18 Dis (Bernama) -- Kisah kehilangan dan kematian tragis Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang menggemparkan negara baru-baru ini, kini menghantui perasaan sepasang suami isteri yang kehilangan anak perempuan berusia 12 tahun sejak Ahad lepas.
Maslina Siadin, murid Sekolah Kebangsaan Genting di sini, dilaporkan hilang antara pukul 6.30 petang dan 7.30 petang Ahad lepas dipercayai keluar seorang diri dari rumah mereka di Kampung Pondok Upeh di sini.
Bapanya, Siadin Rashid, 44, berkata kehilangan anaknya itu disedari isterinya Salmiah Husin, 42, ketika pulang ke rumah selepas berkebun di belakang rumah yang merupakan sumber pendapatan mereka.
"Selalunya dia (Maslina) membantu kami, tetapi petang itu dia memberitahu yang dia tak larat jadi kami suruh dia berehat di rumah dan dalam pukul 6.30 petang saya balik ke rumah ambil motosikal untuk pergi ambil kakaknya balik dari kerja di simpang empat berhampiran," katanya ketika ditemui dirumahnya di sini hari ini.
Siadin berkata semasa beliau pulang ke rumah, anak kelima dari enam beradik itu masih ada di rumah dan sedang menonton televisyen.
"Kami tidak tahu ketika bila Maslina keluar dari rumah kerana selepas ibunya pulang ke rumah baru kami menyedari dia tiada di rumah," katanya.
Beliau berkata selepas isterinya memaklumkan perkara itu, beliau terus menghubungi rakan serta saudara-mara untuk bertanyakan sama ada Maslina ada ke rumah mereka.
Katanya selepas mendapati Maslina hilang, beliau terus membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau kira-kira 11.30 malam pada hari yang sama.
Sementara itu, Salmiah berkata anaknya itu keluar dari rumah dengan memakai seluar jean hitam dan baju-T serta tidak membawa sebarang pengenalan diri.
Beliau yang merindui anaknya itu berharap agar sesiapa yang melihat atau terdengar mengenai Maslina supaya menghubungi 012-4151293 atau 017-9037250
LEBAI HIPOKRIT
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment