bulanpenuh2012
PRU12 telah berlalu. Yang kalah sepatutnya sudah berhenti menangis dan mula menginsafi kelemahan masing-masing. Yang menang pula mungkin tidak perlu meraikannya terlampau lama kerana bebanan tugas di bahu bertambah sepanjang hari yang dilalui.
Dalam merancang yang baru dan meneruskan yang sedia ada, kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat mungkin berhadapan dengan 'masalah-masalah bawah karpet' yang dikumpulkan oleh pengkhianat amanah rakyat sejak 50 tahun yang lalu.
Namun pengkhianat-pengkhianat bangsa ini tidak mahu belajar dari kesilapan yang dilakukan dahulu. Tumpuan dialihkan pula untuk menyusahkan urustadbir kerajaan negeri dengan pautan rangkaian perasuah besar yang masih berkuasa di peringkat pusat.
Tatasusila dan adab sopan dalam perhubungan pusat dan negeri dilanggar tanpa segan silu. Maka perancangan-perancangan yang baik akan terbantut, lewat siap atau terus terbengkalai.
Pastinya apabila keadaan ini berlaku, sektor perniagaan dan warga korporat Malaysia akan turut menerima kesannya. Dalam jangka masa panjang, ekonomi negara akan terjejas kerana tiada kelancaran dan kesinambungan dalam perlaksanaan aktiviti-aktiviti ekonomi sama ada di peringkat mikro atau makro.
Jika pengalaman PAS mentadbir Kelantan dijadikan iktibar, Kerajaan pusat akan membuat apa sahaja untuk memastikan ia melutut meminta sedekah sedangkan dalam masa yang sama hasil-hasil dari negeri itu terus masuk ke kantung pusat.
Kemuncak dari kezaliman itu dapat dilihat apabila pemberian geran wajib perkapita dilewat-lewatkan, peruntukan pembinaan infrastruktur, pembinaan rumah untuk rakyat termiskin, pembiayaan pembinaan loji-loji air dan peruntukan tahunan PBT dilewat-lewatkan atau dihentikan sama sekali.
Dalam masa yang sama, kemasukan pelabur-pelabur asing disekat dan pelabur tempatan ditekan supaya tidak beroperasi di negeri tersebut. Media perdana pula menggembar-gemburkan ketakutan para pelabur asing terhadap tahap kestabilan di negeri bukan diperintah BN.
Pelabur tempatan dilaporkan mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti ekonomi di negeri yang tidak stabil, tidak pandai merancang dan sentiasa mencari jalan untuk menyusahkan pelabur dengan menyekat perancangan-perancangan kerajaan pusat.
Akhirnya kerajaan Kelantan terpaksa meneroka hasil-hasil baru seperti cukai tanah, premium balak, dan menambahbaik kaedah tradisional melalui sumbangan sedekah dan zakat.
Aktiviti pembangunan yang lebih besar pula terpaksa di tanggung oleh GLC milik kerajaan negeri dan para peniaga yang berani melawan arus.
Namun keberkesanannya tidak optimum kerana GLC-GLC ini telah dipunahranahkan oleh pentadbiran terdahulu dengan operasi yang tidak efisyen, kakitangan lantikan politik yang korup, lembab dan malas, hutang lapuk yang bertimbun dan dalam kes-kes yang tertentu, berhadapan pula dengan proses-proses mahkamah yang panjang dan memenatkan.
Para peniaga yang menongkah arus pula berhadapan dengan pelbagai penderitaan dan sekatan, malah ada yang 'disenaraihitamkan' secara tidak rasmi dari mendapat pembiayaan melalui dana-dana yang dibentuk kerajaan pusat. Dalam kes-kes yang ekstrem pula, bank-bank dan lain-lain institusi kewangan tidak berani berurusan dengan mereka.
Ini menyebabkan keupayaan Kerajaan Kelantan untuk mentadbir agak tempang dari segi kewangan. Namun wang bukanlah segala-galanya.
Tok Guru Nik Aziz telah membuktikan bahawa amalan jimat-cermat, kerjasama dan gotong-royong, kesabaran yang tinggi dan tawakkal sepenuhnya kepada Allah s.w.t adalah jalan keluar terbaik dalam menghadapi penindasan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat.
Kebijaksanaan Tok Guru dan pimpinan Kelantan dalam berbelanja mengikut keutamaan menyaksikan sektor pendidikan dan industri kecil dan sederhana (IKS) -dua sektor terpenting- berkembang pesat. Kita boleh melihat anak-anak Kelantan memenuhi IPTA, IPTS dan sistem pendidikan tradisional -sebagai pelajar dan tenaga pelajar- di seluruh negara. Kita juga boleh melihat produk-produk Kelantan terjual di seluruh pelosok negara hingga ke Sabah dan Sarawak.
Kebijaksanaan polisi-polisi melibatkan golongan miskin tegar, anak-anak yatim, OKU dan armalah menyaksikan terhasilnya agihan pendapatan dan peluang-peluang ekonomi yang seimbang. Ini menyumbang kepada penurunan indeks jenayah dan masalah gejala sosial di kalangan masyarakat.
Tambah membanggakan, Tok Guru Nik Aziz berjaya menurunkan kadar kemiskinan. Sabah dan Terengganu kini lebih miskin dari Kelantan. Peliknya, dalam keadaan kewangan disekat dari pelbagai sudut, Tok Guru Nik Aziz berjaya membayar segala hutang lapuk yang diwarisinya dari pentadbiran BN 19 tahun yang lalu.
Walaupun kebijaksanaan ini boleh dimanfaatkan oleh korporat-korporat multinasional tempatan dan asing, namun halangan-halangan dari kerajaan pusat menyebabkan mereka dan kerajaan Kelantan sendiri terlepas dan kehilangan peluang-peluang ekonomi yang lebih besar dan banyak.
Tidak keterlaluan jika dikatakan sekiranya tiada halangan-halangan ini, Kelantan mungkin telah menempatkan dirinya sebaris dengan Selangor, Johor dan Pulau Pinang dalam kepesatan pembangunan dan kegiatan ekonomi yang berdaya saing dan bersifat global.
Sektor korporat kehilang peluang untuk membuat keuntungan dari potensi penggemblingan modal dan sumber negeri. Sekiranya tidak disekat kerajaan pusat, sudah tentu mereka mendapat manfaat dari kestabilan sosioekonomi negeri, kos buruh yang relatifnya lebih rendah, sumber manusia yang mantap akidah dan rajin bekerja dan sektor awam yang telus, bersih dan bebas rasuah.
Kita tidak pelik sekiranya syarikat-syarikat gergasi multinasional berlumba-lumba menabur wang di Kelantan atas alasan -alasan tadi. Namun kuasa kelulusannya tertakluk kepada MITI dan menterinya Rafidah Aziz yang korup dan zalim. Maka yang tinggal hanya harapan.
Jenguk pula seketika ke Terengganu, sepenggal di bawah PAS hingga 2004. Royalti minyak yang menjadi talian hayatnya dirompak di siang hari. Hasil yang boleh mencecah RM2 bilion setahun diagihkan kepada kroni-kroni Khairy Jamaluddin. Yang tinggal untuk Tok Guru Haji Hadi adalah hutang berbilion ringgit, GLC yang seumpama biawak hidup dan jentera pentadbiran yang tunggang-langgang dipunahkan Umno.
Bayangkan jika royalti minyak itu disalurkan kepada Kerajaan PAS Terengganu untuk projek-projek pembangunan. Dengan praktis pentadbiran bersih berlandaskan Islam, sudah tentulah keberkatan hasil pelaburannya akan dapat dilihat dan dinikmati oleh seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira fahaman politik.
Bayangkan pula bagaimana korporat Malaysia mendapat manfaat dari ketelusan dan akauntabiliti Tok Guru Haji Hadi dan jentera pentadbirannya.
Tengoklah pula apabila wang itu 'diehsankan' kepada Khairy Jamaluddin dan Kamaluddin Abdullah. Bukan sahaja warga korporat di Terengganu dipinggirkan, malah rakyat bertambah derita hingga tidak cukup tanah untuk membina rumah. Selain Manila, Kuala Terengganu mungkin satu-satunya bandaraya di dunia ini yang tanah perkuburannya dijadikan tempat tinggal oleh golongan miskin.
Semuanya telah tertulis di dalam sejarah dan sejarah sentiasa menyaksikan golongan yang tertindas akan bangkit dan kebangkitan itu pula tidak akan dapat ditumpaskan oleh penguasa yang zalim. Cuma bentuk dan kadarnya berbeza-beza mengikut suasana dan tempat.
Dan inilah manifestasi keputusan PRU12. Rakyat melakukan perubahan di beberapa negeri dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat, tetapi dalam masa yang sama mengekalkan rejim BN memerintah di peringkat pusat.
Sudah tentu rakyat mengambilkira kehendak perlembagaan supaya pusat dan negeri sentiasa bekerjasama dan hormat-menghormati di antara satu sama lain. Semangat ini telah termaktub dalam perlembagan persekutuan. Agihan hak dan kuasa dinyatakan secara jelas melalui senarai persekutuan dan senarai negeri.
Rakyat faham dan jelas tentang hal ini. Sebab itulah mereka berani melakukan perubahan. Suara rakyat hendaklah dihormati oleh semua pihak. Kepentingan peribadi dan perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada penjawat-penjawat awam di peringkat pusat dan negeri untuk berkhidmat kepada rakyat.
Mesej rakyat dalam PRU12 difahami dengan baik oleh sektor korporat Malaysia. Kebanyakan tokoh korporat menjangkakan persekitaran perniagaan dan aktiviti ekonomi yang lebih adil dan saksama hasil dari suara pembangkang yang lebih kuat di Parlimen.
Reaksi awal warga korporat mendapati mereka menjangkakan keputusan PRU12;
(1) akan menjadi pemangkin kepada peralihan Malaysia dari menjadi pasaran marginal (modal diletakkan secara jangka pendek untuk tujuan spekulatif di pasaran saham dan/atau pasaran matawang) kepada pasaran berasaskan pegangan jangka panjang dengan penglibatan menyeluruh pelabur-pelabur asing dalam permodalan pasaran, pengoperasian, pengurusan dan pelaburan semula keuntungan.
(2) akan mempercepatkan pembangunan pasaran modal -berbanding melalui perubahan yang digerakkan oleh pengawal pasaran atau campurtangan eksekutif- melalui penarafan semula pasaran oleh agensi-agensi antarabangsa.
(3) akan menambahkan kebertanggungjawaban kerajaan dan meningkatkan ketelusan disebabkan lebih banyak suara yang menentang, menyemak dan menuntut perubahan di parlimen. Dengan itu sektor korporat dapat merancang dengan lebih baik kerana kos sebenar untuk menjalankan sesuatu projek diketahui dengan jelas.
(4) akan menarik pelaburan dana jangka panjang (sovereign funds, dana pencen, dana amanah dsb.) kerana sikap semua pihak yang menghormati keputusan pilihanraya tanpa mencetuskan pertumpahan darah. Faktor ini akan meningkatkan ranking Malaysia sebagai negara yang rendah kadar premium risiko pelaburannya.
Cara rakyat Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak menerima keputusan peti undi tidak sama dengan cara rakyat filipina, Thailand, Indonesia dan Myanmar.
Dalam ertikata lain tiada rusuhan dan/atau rampasan kuasa. Ini menjadikan iklim pelaburan lebih stabil dan para pelabur boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada operasi mereka tanpa perlu bimbang risiko ke atas keselamatan dirinya, hartanya, pekerjanya hatta terhadap keuntungan yang diperolehinya.
(5) akan ada perubahan dari segi layanan dan perhatian setiap kerajaan pusat dan negeri dalam penawaran insentif kepada pelabur.
Sementara Umno mungkin mengabaikan projek-projek domestik yang mustahak kerana perebutan kuasa dalaman menjelang AGMnya akhir tahun ini, pembangkang pula bekerja keras dan tidak akan membiarkan ekonomi menguncup, jika tidak, pastinya mereka akan ditolak dalam PRU13 akan datang.
(6) akan wujud suasana politik progresif berlandaskan penglibatan konstruktif semua pihak termasuk sektor korporat. Dalam ertikata lain mereka akan diminta memberi pandangan dan pandangan itu pula akan diambil berat oleh kerajaan. Mereka tidak lagi menjadi pak angguk semata-mata.
Rujuk bahagian ke 2