KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Dec 25, 2007

Peniaga asing mula kuasai Pasar Borong Selangor

SERI KEMBANGAN 24 Dis. – Pembukaan Pasar Borong Selangor pada tahun 2001 telah membuka peluang perniagaan kepada peniaga tempatan untuk memasarkan hasil pertanian.

Ternyata hasrat kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan pasar borong berkenaan sebagai platform menjana sektor pertanian di Selangor adalah niat yang cukup murni.

Bagaimanapun situasi yang berlaku hari ini jelas berbeza dengan matlamat penubuhan pasar borong berkenaan.

Kebanjiran warga asing sejak beberapa tahun lalu di pasar borong berkenaan menyebabkan ramai peniaga tempatan kehilangan tempat untuk mencari rezeki.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Borong Selangor yang terletak di Seri Kembangan baru-baru ini mendapati hampir 40 peratus daripada 300 lot perniagaan yang terdapat di sini sudah mula dikuasai warga asing.

Difahamkan, mereka bukan sahaja menjadi pembantu perniagaan tetapi turut menjadi pengurus kepada lot niaga yang disewa daripada pemilik sebenar lot berkenaan.

Salah seorang peniaga sayur, Mat Som Samurmin, 60, berasa terkilan kerana sehingga sekarang masih gagal mendapat lot perniagaan dan terpaksa menumpang di lot perniagaan adiknya.

‘‘Saya langsung tidak diberitahu kenapa permohonan mendapatkan lot perniagaan di sini ditolak tetapi lot-lot perniagaan di sini dipajak kepada warga asing tidak pula menjadi masalah,’’ katanya.

Dia mempersoalkan ke mana hilang hak orang tempatan terutamanya bumiputera untuk berniaga di sini kerana tujuan penubuhan Pasar Borong Selangor satu masa dahulu membuka peluang perniagaan kepada orang tempatan.

‘‘Saya tidak mahu lama-kelamaan Pasar Borong Selangor ini dimiliki warga asing sepenuhnya sehinggakan tiada lagi ruang kepada orang tempatan untuk berniaga,’’ katanya.

Dia menggesa pihak pengurusan tertinggi turun padang dan melihat masalah peniaga tempatan di sini dengan lebih dekat lagi.

Bagi Jayantih a/p M.Balasubramaniam, 39, dia berasa hairan bagaimana warga asing itu bebas menjalankan perniagaan tanpa sebarang halangan.

‘‘Walaupun operasi selalu dilakukan oleh Jabatan Imigresen dan Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA), mereka sentiasa terlepas’’ katanya.

Beliau berkata, sikap peniaga asing yang disifatkannya tidak bertimbang rasa memburukkan lagi keadaan.

``Mereka (peniaga warga asing) sengaja meletak papan lapis sebagai tembok bersebelahan lotnya untuk menghalang pemandangan orang ramai.

‘‘Ramai pembeli tidak nampak dengan jelas lot perniagaan saya kerana dihalang tembok berkenaan,’’ katanya.

Pendapat ini turut dikongsi oleh suaminya, P.S Nadarajah,38, yang bimbang dengan situasi terkini.

Menurutnya, perniagaan sayur-sayurannya sedikit demi sedikit terganggu akibat kehadiran peniaga asing itu.

‘‘Kebanyakan peniaga warga asing mendapat peluang menguruskan perniagaan di sini kerana penyewa tidak mahu menguruskan sendiri perniagaannya.

“Ini punca utama mengapa mereka semakin ramai berniaga di pasar borong itu.

‘‘Saya tidak mahu hak kita selaku rakyat Malaysia yang juga rakyat tempatan di sini tertindas kepada warga asing,’’ ujarnya.

Dia turut mengharapkan satu perbincangan tertutup dapat diadakan di antara Menteri Besar Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang mengurus pasar borong berkenaan dan peniaga yang menyewa lot niaga di situ.

‘‘Kami mahu masalah di sini diketahui pihak atasan terutamanya Menteri Besar Selangor dan berharap mendapat pembelaan sewajarnya,’’ katanya.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Atan berkata, bilangan peniaga bumiputera di situ hanya tinggal 10 peratus berbanding 60 peratus ketika pasar borong itu dibuka.

‘‘Statistik ini cukup menyedihkan dan begitu juga dengan kaum lain seperti India dan Cina yang mula kehilangan tempat kepada warga asing,’’ katanya.

Dia mencadangkan satu peraturan ditetapkan oleh pihak pengurusan dengan tidak membenarkan warga asing menjadi pengurus kepada perniagaan di lot pasar terbabit.

‘‘Penyewa hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya mengurus perniagaan mereka dan tidak boleh memajak kepada orang lain,’’ katanya.

Dia berpendapat banyak masalah yang akan timbul sekiranya warga asing terus dibiarkan menguruskan perniagaan mereka tanpa kawalan.

‘‘Mereka akan melakukan pelbagai taktik untuk menarik pelanggan sehingga merosakkan peluang peniaga tempatan,’’ katanya.

Seorang peniaga sayur yang mahu dikenali sebagai Sing, 39, berkata, antara faktor pelanggan kurang datang ke gerainya ialah kerana harga yang ditawarkan oleh peniaga warga asing jauh lebih rendah daripada harga yang ditawarkan peniaga tempatan.

‘‘Adakalanya harga yang ditawarkan oleh mereka (peniaga asing) tidak realistik dan kami boleh menanggung kerugian yang banyak sekiranya mengikut harga mereka,’’ katanya.

Sebagai contoh, peniaga tempatan menjual sekilogram sawi pada harga RM1.80 tetapi difahamkan ada antara peniaga warga asing boleh menawarkan sehingga RM1.20 sekilogram kepada pembeli.

‘‘Kadang-kadang saya sendiri berasa musykil daripada mana mereka memperoleh bekalan semurah itu dan ia menjadi tanda tanya kepada peniaga tempatan di sini,’’ katanya.

Selain itu, dia turut meminta Persatuan Peniaga Pasar Borong Selangor yang dibubarkan dua tahun lalu ditubuhkan semula bagi menjaga kebajikan peniaga di sini.

‘‘Setiap kali kami dihimpit masalah, kami selaku peniaga tiada saluran menyampaikannya kepada pihak atasan,’’ katanya.

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive