KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Feb 10, 2008

Cukuplah Pak Lah...Undurlah!

riwayathayat.blogspot

Saya kira sampai di sini saja baiah saya terhadap kepimpinan Abdullah Badawi.
Empat tahun lalu, saya menghias kamar bacaan saya dengan potret beliau, sebaik sahaja Mahathir menyerahkan fail tugasan Perdana Menteri kepadanya. Waktu itu saya kira, Abdullah bakal membawa sinar baru kepada negara. Malaysia yang lebih progresif, terbuka dan berdaya saing.

Mac 2004, Barisan Nasional menang bergaya dalam Pilihanraya Umum ke-11. Lebih 90% kerusi Parlimen dikuasai mereka. Hadi Awang tumbang di Kemaman. Terengganu mendapat Menteri Besar baru bernama Idris Jusoh. Abdullah kemudiannya mengisytihar agama baru Malaysia---Islam Hadhari, ditunjangi 10 rukun. Seterusnya beliau sibuk mengelilingi dunia menjaja doktrin baru ini. Saya mulai curiga.

September 2004, Anwar Ibrahim bebas. Abdullah dirai sebagai seorang yang baik hati dan berbudi. Beliau khabarnya sampai menghantar menantunya sendiri untuk menyampaikan salam kebebasan buat Anwar. Mungkin kala itu Najib cukup resah. Pun begitu, Abdullah tetap gah. Belum puas menghirup udara kebebasan, Anwar dicerca sebagai pengkhianat Umno, ditutup pintu keahlian oleh Hishammuddin Hussein. Barangkali Hisham juga resah. Dan saya bertambah gelisah.

Mei 2006, Mahathir Mohamad membidas kepimpinan Abdullah. Lemah dan tidak berdaya saing. Khabarnya Malaysia ditadbir atas buah akal menantu lulusan dari Eropah. Anak pinak Abdullah dicemuh kerana membolot kontrak-kontrak kerajaan. Abdullah menafikannya. Kata beliau: "Saya tak tahu". Gila. Apakah ini jawapan dari seorang Perdana Menteri. Saya mulai sangsi. Dan potretnya di kamar bacaan, saya humban ke bakul sampah.

April 2007, Barisan Nasional menang di Ijok. Kejayaan yang jijik dan hina. RM 100 juta dipertaruh semata-mata untuk membuktikan bahawa Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat sudah tidak relevan. Saya turut jadi mangsa. Dikasari mental dan fizikal umpama haiwan oleh mereka yang berjuang untuk ketuanan Melayu. Jiwa mulai membara.

Sepanjang 2007, Abdullah semakin hilang arah. Beliau melatah dan meragam entah apa. 9 November, dicabarnya rakyat: "Saya pantang dicabar!". Esoknya, 50 ribu rakyat memulangkan paku buah keras kepadanya. Kuala Lumpur kekuningan. Rakyat mulai bangkit meluahkan kemarahan. Dua minggu menyusul, saudara-saudara berbangsa India pula memprotes. Singgung mereka, pemerintah meminggirkan ehwal India. Seterusnya, lima dihumban ke Kamunting, ditahan tanpa bicara.

Hari ini, Abdullah semakin hilang arah. Ekonomi negara tidak menentu. Inflasi meningkat. Harga barang melambung. Kerajaan beliau kini memburu mandat untuk menaikkan harga petrol pula. Sindir mereka, adalah bodoh jika pembangkang mengatakan bahawa harga petrol bisa diturunkan dalam situasi pasaran dunia yang melonjakkan harganya. Anwar menjawab, harga petrol bisa diturunkan jika sekiranya kewangan negara diurus dengan baik.

Beberapa hari lalu, Mahathir menyeru agar pengundi kali ini jangan mengundi calon yang rasuah, korup. Undi calon, bukan parti. Barangkali Mahathir kini resah. Katanya, Abdullah hanya Perdana Menteri untuk sepenggal, itu janji antara mereka lima tahun lalu. Ah, Mahathir tersilap. 'Lembu' yang disangkanya boleh dicucuk hidung dan ditarik-tarik ini rupanya punyai nafsu rakus untuk terus merumput. Berkuasa.

Saya mahu perubahan. Sukar rasanya untuk membiarkan diri dipimpin oleh seorang yang 'tidak tahu' dan gemar tidur dalam majlis. Saya kira sampai di sini saja baiah saya terhadapmu Pak Lah. Cukuplah sepenggal. Cukuplah Pak Lah...undurlah!

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive