LONDON (B/Hairan): Pendedahan mengenai kisah pelajar pintar matematik, Sufiah Yusof, 23, yang dilaporkan menjadi pelacur untuk menyara kehidupannya, mengejutkan ibunya, Halimaton Yusof.
Halimaton, seorang rakyat Malaysia, dikatakan berada dalam keadaan tertekan dan enggan melayan panggilan wartawan yang tidak berhenti-henti cuba mendapatkan ulasannya.
Presiden Kesatuan Melayu United Kingdom, Hamidi Abdul Rahman, yang rapat dengan Halimaton berkata, laporan akhbar tabloid � News of The World � di sini kelmarin, juga mengejutkan kalangan masyarakat Malaysia di seluruh United Kingdom.
Hamidi yang dihubungi di sini, semalam berkata, pihaknya akan cuba mencari Sufiah dan membawanya pulang ke pangkuan ibu dan keluarganya.
Sufiah yang menjadi bahan berita sebagai kanak-kanak pintar apabila diterima memasuki Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun, kini dilaporkan terpaksa melacurkan diri di Salford, Manchester, untuk menyara kehidupannya.
Akhbar itu melaporkan Sufiah mengiklankan 'perkhidmatannya' melalui internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.
Dengan memakai nama samaran Shilpa Lee, Sufiah antara lain menggambarkan dirinya sebagai pelajar bijak dan seksi yang menyediakan perkhidmatan setiap hari dari jam 11 pagi hingga 8 malam.
Hamidi berkata, secara peribadi beliau yakin Sufiah tidak begitu terdesak sehingga sanggup melacurkan dirinya, sebaliknya mungkin ada faktor lain yang mempengaruhinya berbuat demikian.
"Selepas perceraian Sufiah dengan suaminya, Jonathan Marshall, tiga tahun lalu, dia membawa diri dan mengasingkan diri daripada keluarganya sehingga ibu bapanya tidak tahu di mana dia berada.
"Keluarga Sufiah juga memberitahu ada menerima e-mel daripadanya meminta mereka supaya tidak menghubungi atau mencarinya," kata Hamidi.
Ibu Sufiah berasal dari Muar, Johor, manakala bapanya, Farooq Yusof dari Pakistan dan kini dipenjara selepas didapati bersalah mencabul kehormatan dua gadis.
Pengajian Sufiah di Universiti Oxford mendapat tajaan kerajaan Malaysia walaupun beliau bukan warga negara.
Hamidi berkata, Kesatuan Melayu United Kingdom yang sebelum ini turut membantu keluarga Halimaton menjejaki Sufiah ketika gadis itu menghilangkan diri selama dua minggu di tahun akhirnya di Universiti Oxford, berharap dapat mencarinya berdasarkan maklumat daripada akhbar terbabit dan sistem daftar pengundi.
"Walaupun usaha ini bukan mudah sebab ia memerlukan masa dan kos, kami akan cuba mendapat bantuan daripada mereka yang bersimpati serta mahu melihat Sufiah kembali ke pangkal jalan," katanya.
Apr 1, 2008
Kisah Sufiah resahkan ibu
Labels: Sufiah Yusof
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment