Kulasegaran: Lebih ramai pemimpin politik, aktivis dijangka ditahan
Khairil Zhafri Dec 22, 07 5:45pm
Ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga Naib Presiden DAP, M Kulasegaran meramalkan lebih ramai pemimpin politik dan aktivis sosial akan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
Bercakap dalam satu forum di ibunegara semalam, beliau menjangka pihak berkuasa akan melancarkan gerakan penahanan itu, sepertimana Operasi Lalang pada 1987.
Operasi Lalang, yang dilancarkan oleh kerajaan pada 27 Oktober 1987, menyaksikan 119 pemimpin pembangkang dan aktivis sosial, termasuk beberapa pemimpin tertinggi DAP, termasuk Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.
Kulasegaran berkata beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa kerajaan akan menggunakan ISA untuk membuat tangkapan susulan selepas penahanan lima pemimpin Hindraf baru-baru ini.
Bila ditanya siapakah dalam senarai tersebut, Kulasegaran berkata, beliau percaya mereka termasuk diri beliau dan pemimpin DAP, A Sivaresan.Kulasegaran dan Sivanesan turut memainkan peranan penting dalam Hindraf. Pergerakan itu telah menganjurkan demonstrasi untuk mengetengahkan kemunduran masyarakat India di Malaysia.
Demonstrasi anjuran Hindraf di Kuala Lumpur pada 25 November lalu telah disertai oleh kira-kira 30,000 orang. Lima pemimpin Hindraf kemudiannya ditahan selama dua tahun di bawah ISA di pusat tahanan Kamunting.Kulasegaran bercakap dalam forum anjuran DAP di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi, yang dihadiri lebih 600 orang.
'Jadikan isu p'raya'
Kulasegaran berkata, ISA mempunyai dua tujuan untuk parti memerintah - satu untuk menakut-nakutkan rakyat dan satu lagi untuk mengancam pemimpin pembangkang dan aktivis daripada bersuara.
Menurutnya, pilihanraya umum akan datang merupakan peluang yang baik untuk membawa perubahan di negara ini.
Sambil menegaskan pentingnya kuasa wanita, Kulasegaran mengakhir ucapannya dengan berkata "wanita merupakan kekuatan sebenar di negara ini", dan disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, aktivis dan peguam Haris Ibrahim, turut menyentuh dengan ISA.
Beliau menegaskan bahawa ISA adalah satu undang-undang yang boleh disalahgunakan.
Memetik laporan Malaysiakini mengenai sebab-sebab penahanan lima pemimpin Hindraf, Haris berkata, kerajaan telah menyalahgunakan ISA, walaupum mereka mendakwa telah menyiasat kegiatan Hindraf sejak bulan Julai dan mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa mereka di bawah Akta Hasutan.
“Mengapa mereka (kerajaan) tidak mendakwa mereka di bawah Akta Hasutan jika mereka ada buktinya? Jika anda ada bukti, hadap mereka ke mahkamah, biar rakyat menilai bukti-buktinya," tambah beliau.
Berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz bahawa rakyat menyokong ISA berdasarkan kepada sokongan mereka kepada BN, Haris menggesa masyarakat awam supaya menyambut cabaran Nazri dan menjadikan ISA sebagai isu pilihanraya.
“Kita adalah rakyat yang patuh kepada undang-undang... hanya satu jalan sahaja kita boleh (memansuhkan ISA) - ubah Parlimen," katanya.
Semua orang kecewaAhli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengecewakan rakyat sejak tiga tahun lalu kerana tidak mengotakan janji-janjinya dalam pilihanraya umum 2004.
“Apa (yang telah) dilakukan oleh Dr Mahathir, telah dilakukan oleh Pak Lah (Abdullah). Dr Mahathir kongkong kebebasan akhbar, Pak Lah lakukan perkara yang sama,” katanya.
“Pak Lah tidak menunjukkan simpati langsung...(dan) telah gagal melihat punca (sebenar) demonstrasi. Semua orang kecewa," tambahnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw menggesa supaya dibebaskan segera pemimpin Hindraf kerana penahanan tanpa bicara adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Katanya, beliau percaya pemimpin Hindraf tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Barisan Pembebasan Tamil Elam (LTTE) seperti yang didakwa oleh pihak polis.
Ahli panel yang lain termasuklah pemimpin DAP Fong Kui Lun, Loke Siew Fook dan Lim Guan Eng. Forum tersebut dipengerusikan oleh Tony Pua.
Lancar tabung khas
Sementara itu, Kit Siang berkata masyarakat India Malaysia mesti terus mengenakan tekananan politik secara sah terhadap semua pemimpin MIC dan parti komponen Barisan Nasional yang lain bagi menangani ketidakadilan terhadap masyarakat tersebut selama ini.
Sebagai rakyat Malaysia, tambahnya, masyarakat India mempunyak hak dalam perlembagaan dan demokrasi untuk bersatu dan menggerakkan sokongan untuk perubahan dan untuk keadilan bagi menamatkan peminggiran terhadap mereka.Lim juga menegaskan bahawa pengundi India boleh memainkan peranan yang besar dalam memilih wakil rakyat mereka dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Di forum tersebut, DAP melancarkan tabung khas untuk membantu lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA dan 31 orang lagi penyokong Hindraf yang akan dijatuhkan hukuman minggu depan kerana menyertai perhimpunan pada 25 November lalu.
“Sumbangan ini akan dapat membantu keluarga mereka manakala mereka yang ditahan dan kemudian dibebaskan, menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kerja baru," kata Kulasegaran.
Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Dec 22, 2007
ISA sedang mencari mangsa!!!
Labels: ISA sedang mencari mangsa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment