dipetik: kzso.blogspot.com
Thursday, 27 December 2007
KAMAL AMIR MENULIS
LEBIH 165,000 rakyat Pahang mengalami kesukaran memperolehi bekalan air kesan banjir yang melanda selama lebih dua minggu di negeri tersebut. Dan terbaru seorang kakitangan dari Jabatan Bekalan Air Pahang telah dipukul oleh seorang penduduk berusia 60 tahun di Bukit Goh, Kuantan ekoran kegagalan pihak JBA membekalkan keperluan tersebut secara samarata.
Sementara itu di Kapit, Sarawak seorang wanita menjadi korban kejadian tanah runtuh juga kesan bencana banjir yang mula melanda negeri tersebut. Dalam waktu yang sama, Kotaraya Kuala Lumpur mula dilanda hujan berterusan selama dua hari dan pastinya bakal mengundang banjir jika ia berterusan sehari dua lagi.
Ternyata alam semakin lantang berbicara kerana bosan melihat tingkah laku manusia yang bangga dengan dosa-dosa. Namun, pemimpin masih belum dijengah keinsafan kembali mencari nur kemurnian jiwa dan bertapak kepada fitrah kehidupan berwibawa. Korupsi serta penyalahgunaan kuasa terus merencam untuk dijadikan budaya kehidupan kalangan penguasa. Kezaliman pemerintah menjeruk hati dan meneguk air mata rakyat bagai pesta tanpa noktah.
Minggu hadapan jika diizinkan Ilahi kita bakal dijengah kehadiran tahun 2008 dan tabir 2007 pasti akan dilabuhkan meninggalkan pelbagai nostalgia pahit manis warna kehidupan. Bagi kalangan masyarakat Tionghua tahun 2008 adalah putaran pertama dari dua belas tahun kalendar bermula dengan simbol tikus diikuti oleh tahun lembu, babi, monyet, naga dan lain-lain binatang.
Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua kehadiran tahun tikus (2008) adalah permulaan yang baik serta bakal memperlihatkan beberapa perubahan besar menyentuh tentang pasang surut kepimpinan sesabuah negara. Dalam erti kata lain negara diramalkan bakal memperolehi pemimpin baru (sekadar ramalan). Biar apa pun, yang pasti pilihan raya umum sudah semakin hampir memungkinkan terjadi pelbagai perubahan politik .
Satu ketika dahulu mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir menyatakan bahawa “Melayu Mudah Lupa”. Kerana bersikap mudah lupa akhirnya mereka terjerumus menjadi “haprak” dan hilang wibawa dalam mengamalkan budaya kehidupan sempang-peranang. Untuk itu, menjelang kehadiran tahun 2008 juga merupakan tahun permulaan kalendar masyarakat Tionghua seharusnya kita mempertingkatkan iltizam supaya tidak lagi menjadi mudah lupa.
Kerana tidak mahu jadi lupa, seharusnya kita merenung kembali beberapa peristiwa yang tercetus sejak Abdullah Ahmad Badawi diangkat menjadi Perdana Menteri. Dan tidak seharusnya kita lupa kejadian cukup memalukan dua tahun lalu bagaimana Memanda wazir Azmi Khalid terpaksa bekejar ke Republik Rakyat China.
Sudah lupakah betapa malunya seluruh rakyat Malaysia diaibkan oleh arahan Abdullah Ahmad Badawi supaya sidang wazirnya Azmi Khalid meminta maaf dari pemimpin negara Republik Rakyat China berhubung peristiwa “Ketuk Ketapi” di dalam lokap polis melibatkan seorang wanita.
Sungguh tidak masuk akal Perdana Menteri yang juga menjawat jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri boleh percaya kepada cerita kononnya wanita yang dikenakan denda ketuk ketampi secara berbogel dalam lokap polis adalah warga negara Republik Rakyat China.
Setelah Azmi Khalid menyampaikan “mohon maaf” tiba-tiba seluruh negara digemparkan bahawa wanita tersebut bukan warga Republik Rakyat China tetapi dia adalah wanita Melayu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pengedaran dadah.
Aib, cukup memalukan. Apa pandangan pemimpin Republik Rakyat China terhadap pasukan polis Malaysia? Seluruh dunia mentertawakan kedangkalan pemimpin kita dalam peristiwa tersebut. Masihkah kita ingat lagi peristiwa tersebut? Atau sudah terlupakah seluruh rakyat Malaysia bagaimana kita dimalukan oleh Abdullah Ahmad Badawi?
Bagaimana pula dengan peristiwa “terlekapnya” jari-jemari Abdullah Ahmad Badawi sebagai imam besar mahzab Islam Hadhari di atas bahu “mongel” Michelle Yeoh dalam pesta Monsoon Cup? Sudah terlupakah seluruh rakyat Malaysia wajah berahi bintang filem James Bond membelai mesra “lekapan” jari-jemari Abdullah di bahunya?
Budaya apakah mahu diterapkan oleh Abdullah Ahmad Badawi melalui ajaran Islam Hadharinya di mana bukan muhrim boleh “meraba” bahu mongel anak gadis orang? Begitu juga saat merayakan musim pernikahannya dengan janda beranak dua Jeanne Danker, tanpa segan dan silu Abdullah boleh berpimpin tangan menziarahi kubur Allahyarhamah Datin Seri Hendon sebaik selesai upacara akad nikah.
Bolehkah seluruh wanita menerima pakai budaya sedemikian untuk berpesan kepada suaminya supaya membawa isteri baru menziarahi kubur mereka jika ditakdirkan terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi? Cukup mengaibkan perlakuan sedemikian.
Sewaktu diwawancara oleh Anuar Zaini menerusi siaran TV 3 Abdullah Ahmad Badawi memberitahu seluruh rakyat bahawa anaknya tidak pernah memperolehi sebarang kontrak kerajaan. Dan hari ini umum mengetahui syarikat Scomi milik anaknya bernama Kamaluddin menjadi jutawan hebat mengumpul ratusan juta ringgit hasil imbuhan kontrak dari kerajaan Malaysia. Apakah kita sudah lupa wawancara tersebut?
Begitu juga perihal Jet Eksekutif bernilai lebih dua ratus juta ringgit yang dinafikan Abdullah dibeli oleh kerajaan Malaysia. Hari ini jet tersebut sudahpun menjadi pesawat kegunaannya untuk keluar negeri. Tidak pasti pula DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong menunaikan ibadat Haji ke tanah suci Mekah dua minggu lalu apakah menggunakan jet tersebut kerana sewaktu menjawab pertanyaan wartawan Abdullah ada menyebut bahawa jet tersebut juga adalah untuk kegunaan Yang Di-pertuan Agong.
Cerita kapal layar mewah hadiah taukeh judi terkemuka yang diimport dari Turki sudah kian terpendam dan tidak menjadi bualan lagi. Apakah rakyat sudah lupa atau mungkin ianya terus tersorok di negara Australia. (Semuga Raja Petra Kamarudin dapat menemui cerita sebenar di sebalik kisah kapal layar mewah itu).
Dalam waktu yang sama, semasa meninggalkan rakyat Johor bergelandangan selama dua bulan ditenggelami banjir, Abdullah Ahmad Badawi menyatakan dia terpaksa berada di Australia waktu itu untuk urusan rasmi. Entah di mana silapnya, tiba-tiba Datuk Michelle Todt mendedahkan di akhbar The Star waktu itu dia bersama Perdana Menteri menikmati musim percutian berlayar di atas kapal mewah. Apakah kita sudah lupa?
Seharusnya kita bertanya kepada Abdullah Ahmad Badawi, sudah terlupakah olehnya laporan setebal 300 muka surat dari saudara Ezam Mohd Noor Pengerusi Gerak berhubung penyalahgunaan kuasa dan korupsi tiga orang sidang wazirnya.
Sesungguhnya sebagai menyambut kehadiran tahun baru (2008) rakyat menuntut agar Abdullah jangan lupa mengarahkan Badan Pencegah Rasuah menyiasat ke akar umbi Kementerian Belia dan Sukan yang didakwa melakukan penyelewengan sebagaimana dilaporkan oleh Ketua Audit Negara menyebabkan rakyat tergamam “screw driver” boleh bernilai puluhan ribu.
Rakyat juga ingin tahu kesudahan cerita penyelwengan lebih lima puluh juta ringgit wang rakyat di Hong Kong melibatkan seorang Menteri, kes saham Rafidah Aziz, kes syarikat Abrar semasa Menteri kewangan kedua Noor Yaacob menjadi salah seorang kakitangannya, kes pelabuhan Kelang melibatkan berbilion ringgit dibelanjakan secara tidak munasabah dan adanya elemen korupsi.
Begitu juga dengan kes ECM Libra di mana menantu kesayangan Abdullah diberitakan memperolehi laba berjuta, kes 200 lesen mesin judi “slot machine” melibatkan seorang menteri kanan, kes PPRT dan beberapa kes yang lain. Abdullah tidak seharusnya berdalih kononnya dia terlupa atau masih belum menerima laporan. Sebagai orang nombor satu mentadbir negara seluruh situasi sempang-peranang yang begitu merencam di tahun-tahun yang lalu adalah terpikul di bahunya dan rakyat berhak menuntut keadilan serta penjelasan darinya.
Agak menarik juga membaca nukilan dari saudara Keris Silau untuk kita tatap bersama sebagai persiapan menyambut kedatangan tahun tikus.
Bahaya Dadah dan Rasuah
Lingkup negara kerana rasuah
Sebab rasuah sudah jadi barah
Dari peringkat atas hingga bawah
Nak lepas kena bagi seribu setengah
Tidak kalau masuk lokap orang salah
Nak projek kena bagi kat orang tengah
Dari projek kecil hinggalah projek mewah
Tidak kira pegawai berjawat tinggi atau rendah
Dari piun yang jaga fail pejabat tanah
Hinggalah kepada menteri kabinet Pak Lah
Seolah-olah rasuah sudah jadi lumrah
Rakus, haloba meresap ke dalam darah
Pupus sudah sikap bersih dan amanah
Tidak peduli lagi siksaan dari Allah
Hatta jamuan majlis tahlil sambut Maal Hijrah
Janganlah pula ada yang memberi rasuah
Untuk langkah giliran menunaikan haji ke Mekah
Semua tu akan mengundang bala dan musibah
Lingkup negara juga dengan isu dadah
Sama saja anak orang kaya atau susah
Yang susah makan yang murah-murah
Bila bekalan habis mula marah-marah
Kepala otak bercelaru tak tentu arah
Ada yang sampai sanggup bunuh ibu ayah
Ya Allah minta simpang malaikat wa Nauzubillah
Mereka hilang pegangan hilang maruah
Kerana nak memuaskan nafsu serakah
Sudah tidak bernilai lagi untuk ummah
Jadi bebanan kepada keluarga dan pemerintah
Dulu dapat straight As di sekolah
Ingat boleh jadi loyar atau doktor falsafah
Sekarang lebih hina dan murah dari sampah
Kalau dah terjebak nak berpatah balik susah
Pusat Serenti tidak menyelesaikan masalah
Islam mengharamkan dadah dan rasuah
Islam merupakan penyelesai masalah
Islam bukan mendatangkan musibah
Sebab Islam adalah satunya agama disisi Allah
Muhammad merupakan Rasul penyudah
Al Quran adalah panduan untuk seluruh ummah
Bacalah Al Quran yang tidak pernah diubah
Ayuh segera dapatkan senashkah
Dan bacalah setiap ayat dan surah
Pasti terdapat jawapan kepada setiap masalah
Wahai pemerintah
Jangan kau lembik dan lemah
Jangan kau boros dan bermewah-mewah
Jangan kau pinggirkan rakyat di bawah
Jangan kau buat maksiat di bumi Allah
Jangan kau abaikan amanah
Jangan kau lupa amanat Rasulullah
Segeralah dan berbaliklah kepada Allah
Keris Silau
26 December 2007
Dec 28, 2007
Jangan lupa cerita Dolah!
Labels: Jangan lupa cerita Dolah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment