Bernama - Hampir 100 penduduk Taman Gasing Indah, hari Ahad berhimpun di dalam hujan lebat sebagai tanda membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa masih gagal menghalang pemaju daripada terus melakukan aktiviti pembangunan bagi projek pembinaan 142 lot banglo di kawasan seluas 15.2 hektar di Bukit Gasing di sini.
Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing Edward Lee ketika ditemui pemberita mendakwa pihak DBKL gagal menghalang dan tidak memberikan hak pendengaran awam kepada penduduk untuk sama terlibat membuat keputusan terhadap perancangan di kawasan mereka.
"Kami akan ke mahkamah pada 23 April ini untuk mendapatkan perintah bagi DBKL memberikan "public hearing" dan perintah untuk menghentikan sebarang aktiviti pembangunan yang masih lagi berlangsung.
"Kami tidak mahu penduduk di sini menerima risiko yang besar seperti kejadian tanah runtuh dan sebagainya," katanya.
Lee berkata perhimpunan itu memperlihatkan bahawa penduduk serius dengan permintaan mereka agar segala aktiviti yang dijalankan dihentikan serta merta.
Sementara itu, Mohamed Kamar Mohamed, 64, yang telah menduduki kawasan itu selama 21 tahun ketika ditemui berkata aktiviti pembangunan yang dilakukan beberapa tahun lalu, telah menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh.
"Dalam tahun 2006 sahaja tiga kali kejadian tanah runtuh berlaku, namun pihak DBKL masih mendiamkan diri. Di atas bukit sana ada lebih kurang 2.2 juta liter air. Kalau ditarah, kami akan jadi seperti kejadian Highland Towers," katanya yang juga merupakan anggota Persatuan Bertindak Bukit Gasing.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan 108 penduduk Bukit Gasing bagi injunksi sementara secara ex-parte untuk menangguhkan semua tindakan berkaitan pembangunan di kawasan itu yang diluluskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. more...
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment