Bernama - Kementerian Luar tiada bantahan mengenai kedatangan dua warga Israel dalam kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea yang akan berkunjung ke negara ini walaupun ada larangan perjalanan terhadap rakyat negara Yahudi itu, kata Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia. Dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kami tiada bantahan terhadap lawatan mereka".
" Mereka adalah satu pasukan sukan dengan dua warga Israel. Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang salah. Melainkan ada pihak yang ingin membantah, kami boleh benarkan mereka. Kami kena melihat kes-kes seperti ini daripada satu kes ke satu kes. Kami tidak mahu campurkan antara politik dan sukan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 15 pemimpin politik dan perniagaan dari Australia dan New Zealand di pejabatnya di sini hari ini.Chelsea, dengan jurulatihnya Avram Grant dan pemain pertahanan Tal Ben Haim merupakan warga Israel, dijangka beraksi di Malaysia Julai ini sebagai sebahagian jelajah musim panas di Asia kelab itu.
Kali terakhir atlet Israel dibenarkan memasuki Malaysia adalah ketika kejohanan kriket Trofi ICC pada 1997, yang mendapat bantahan di Kuala Lumpur.
Kelab dari barat London itu dijangka menentang pasukan Liga Super China, Guangzhou Pharmaceutical pada 23 Julai dan pilihan Malaysia di Kuala Lumpur pada 29 Julai.
Hujung bulan lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan perlu mengkaji dahulu keadaan sebelum membenarkan kedua-dua pemain datang ke Malaysia tetapi beliau berkata agak malang jika bidang sukan dipengaruhi politik.
"Saya tak pasti apa keputusannya tetapi agak malang jika politik mempengaruhi sukan. Kita kena kaji keadaannya dahulu tetapi saya ingin menonton Chelsea bermain d sini," kata Najib.
Rais berkata walaupun ia bukan tugas Wisma Putra untuk mengatakan siapa yang boleh dan tidak boleh memasuki negara, ia merasakan kedua-dua mereka boleh datang ke Malaysia.
"Sebenarnya terpulang kepada Jabatan Imigresen untuk memutuskan jika kita boleh benarkan mereka masuk," katanya.
0 comments:
Post a Comment