KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Sep 13, 2008

Kenyataan Media Berkenaan Tahanan ISA, 13 September 2008

Kerajaan Barisan Nasional yang diketuai UMNO menggunakan kuasa kuku besi untuk menindas dan membungkam rakyat Malaysia yang berani bangkit bersuara demi kebenaran dan integriti. Mereka teguh menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap segala penyalahgunaan kuasa, korupsi dan politik perkauman yang sering dimainkan oleh elit pemerintah.

Saya mengulangi kecaman saya terhadap ISA dan penggunaannya untuk menahan penulis blog serta aktivis terkenal Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor YB Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Pada 8hb Mac dan kemudiannya pada 26 Ogos, rakyat Malaysia menyuarakan hasrat mereka agar terbentuknya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu untuk memenuhi aspirasi rakyat. Barisan Nasional yang diketuai UMNO sudah sekian lama mengabaikan tanggungjawab ini. Mereka gagal untuk memenuhi tuntutan perubahan, malah sanggup untuk menggadaikan negara ini untuk menyelamatkan diri sendiri serta untuk mengekalkan kuasa mereka.

Kita tertanya-tanya sejauh mana kerajaan ini sanggup untuk menidakkan keadilan, menghancurkan institusi kenegaraan dan mengadu domba rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Kami secara tegas menolak politik perkauman yang dimainkan oleh ahli politik Barisan Nasional yang diketuai UMNO, apa yang belaku jelas merupakan satu usaha mereka untuk mengalih perhatian rakyat dari masalah dalaman UMNO yang kian memburuk. Kami pimpinan Pakatan Rakyat bertekad serta berjanji bahawa kami tetap komited untuk membina masyarakat berbilang kaum yang teguh.

Kami ingin menyorot pandangan semua kepada kenyataan Pakatan Rakyat yang dikeluarkan pada 8hb September lalu. Kenyataan itu membuktikan iltizam kami untuk menjunjung jaminan yang termaktub di dalam Perlembagaan termasuklah kedudukan Islam sebagai agama rasmi, hak rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak kaum masing-masing untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dan kedudukan Raja-Raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera lainnya.

Kami menggesa kerajaan untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa operasi yang bermotifkan politik ini sudah berakhir. Sebagai rakyat negara ini yang bertekad untuk mematuhi semangat keperlembagaan, kita sudah tidak mahu lagi hidup di dalam ketakutan.

Kami menggesa sesiapa sahaja yang ditahan dibawah ISA mestilah dibebaskan segera. Kami juga menawarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakan-rakan kita yang ditahan serta keluarga mereka tatkala melalui saat-saat sukar ini.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum, KeADILan

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive