MStar|
KUALA LUMPUR: Operasi penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyaksikan tiga orang ditahan dalam tempoh 12 jam sejak tengah hari semalam.
Tiga orang itu termasuk pengedali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, 58, yang ditahan tengah hari tadi.
Operasi itu disusuli penahanan pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang menulis berita bahawa Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail melabelkan masyarakat Cina sebagai pendatang dan penumpang di negara ini, bulan lalu.
Lewat malam tadi, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula ditahan.
Setiausaha Publisiti DAP itu ditahan kira-kira pukul 11.18 malam ketika dalam perjalanan pulang ke kondominiumnya di sini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam blognya berkata, Teresa, 44, ditahan oleh seramai 10 anggota polis ketika memasuki kondominiumnya selepas menghadiri sambutan mooncake di kawasan pilihan rayanya.
Tan, 33, ditahan di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam pukul 8.30 malam tadi.
Jurucakap Sin Chew ketika dihubungi mengesahkan Tan ditahan di bawah ISA tetapi enggan mengulas lanjut.
Turut mengesahkan penahanan mereka ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Raja Petra, pengendali dan penulis blog yang kontroversi tanah air, ditahan buat kali kedua di bawah ISA dalam tempoh tujuh tahun.
Penahanan Raja Petra juga disahkan oleh isterinya, Marina Lee Abdullah. Kenyataan polis yang dikeluarkan malam ini juga mengesahkan perkara tersebut.
Raja Petra ditahan di rumahnya di Sungai Buloh, di bawah Seksyen 731 Akta ISA, yang membolehkan seseorang itu dikenakan tahanan maksimum 60 hari.
"Kira-kira pukul 1.10 tengah hari tadi, seramai 10 anggota polis datang ke rumah kami dan membawa dia (Raja Petra) keluar pada pukul 1.50 tengah hari.
"Mereka juga membawa bersama beberapa dokumen dari rumah kami," kata beliau ketika dihubungi lewat malam tadi.
Bagaimanapun mereka tidak memaklumkan ke mana Raja Petra dibawa, kata Marina.
"Sampai sekarang saya tiada maklumat tentang di mana Raja Petra ditahan... saya tidak berpeluang menemui beliau,": katanya sambil menambah, beliau akan menghubungi peguamnya esok.
Tambahnya, polis turut merampas beberapa pita dan sebuah komputer dari bilik suaminya.
Kata Marina, pihaknya akan memfailkan permohonan habeas corpus untuk membebaskan Raja Petra, Isnin ini.
Sebelum ini, Raja Petra pernah ditahan menikut ISA pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kemunting, Taiping.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Hamid Albar yang dihubungi mStar Online berkata, tindakan tersebut diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh Raja Petra dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW).
"Kita telah banyak kali memanggil dan menasihatkan beliau berikutan kenyataannya, namun beliau masih terus menulis hingga boleh menimbulkan ancaman," katanya.
Semalam, kerajaan menarik balik sekatan terhadap mana-mana laman web termasuk Malaysia Today berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.
Shaziman berkata, langkah itu diputuskan oleh Kabinet semalam bertujuan untuk terus menggalakkan rakyat negara ini menggunakan kemudahan internet atau lawan web sebagai saluran penyebaran maklumat.
Raja Petra mengundang kemarahan umat Islam berikutan ulasan artikelnya bertajuk "I promise to be a good, nonhypocritical Muslim" yang menggunakan ayatayat yang menghina orang Islam selain membenarkan ulasan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW) untuk artikel 'Not all Arabs are descendants of the Prophets' yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today.
Laporan polis telah dibuat oleh beberapa pertubuhan Islam antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia mengenai perkara tersebut.
Raja Petra juga kini berhadapan dengan beberapa kes mahkamah.
PENYOKONG TEGAR SANUSI. TENGOK PERANGAI WALAUN....GITU LA ..
13 minutes ago
0 comments:
Post a Comment