f-hasan.blogspot.com
Assalamualaikum...
Sejak timbulnya huru hara penubuhan parti yang menganggu-gugat persada politik negara, saya terpanggil untuk mencari apa Parti Mahasiswa Negara ini sebenarnya, sehinggalah saya menjumpai artikel yang saya copy paste melalui http://nahdah.wordpress.com/2008/01/08/apa-rasional-parti-mahasiswa-negara-pmn/
untuk tatapan saya dan anda semua..
Semalam saya mendapat panggilan daripada sahabat saya, Najwan semalam berkenaan penubuhan Parti Mahasiswa Negara (PMN). Terkejut dengan perkembangan ini, saya cuba menghubungi beberapa teman lain untuk mendapatkan kesahihan mengenai PMN ini, di samping cuba mendapatkan informasi di media internet.
Cuba ada 2 sahaja liputan media internet yang dapat saya capai berkenaan penubuhan PMN ini, satu di Mstar dan satu lagi di Malaysiakini versi Bahasa Cina. Manakala Malaysiakini.tv ada menyiarkan video berkenaan kenyataan wakil PMN yang menghantar delegasi ke Pejabat SPR semalam.
PMN khabarnya mahu meletakkan calon bebas di beberapa kawasan di dalam Pilihanraya Umum akan datang. Asas penubuhannya, menurut jurucakap PMN, Mior Isfandy Mior Azizan:
“Arena politik negara masih menyaksikan pertembungan dua parti dominan yang masing-masing menghadapi masalah dalam tersendiri. Barisan Nasional dan pembangkang, terutama PAS, ibarat badut yang sentiasa bertelingkah sesama sendiri sedangkan rakyat terus tertindas.
“Pembincangan dan perbahasan kalangan mereka hanya tentang perkara remeh dan omong kosong berbanding isu yang relevan dan tentang kepentingan rakyat banyak..”
Saya sedikit keliru dengan penubuhan PMN ini. Bukanlah bermaksud saya menafikan hak mahasiswa untuk bangkit, malah kita perlu mengakui asakan mahasiswa adalah asakan berbisa seperti mana yang boleh kita lihat dalam era 60an dan awal 70an, sehingga membawa kepada penggubalan AUKU pada 1971 dan pindaan AUKU yang lebih mencengkam dan bersifat ‘membunuh’ gerakan mahasiswa pada tahun 1974.
Cuma timbul pertikaian mengenai rasional penubuhan PMN. Dan hujah-hujah di atas juga, pada hemat saya, kelihatan longgar untuk meraih sokongan rakyat.
Saya meragui kenyataan di atas yang mana wujud sikap prejudis kepada parti-parti politik yang wujud - pemerintah mahupun pembangkang- dalam landskap poliik Malaysia. Saya juga hairan, dalam keadaan PMN ditunjangi Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung atau lebih dikenali sebagai Gamis (berdasarkan informasi daripada teman-teman) pimpinan PMN ini mencemuh PAS.
Gamis sendiri menjalani kaderisasi secara langsung dan tidak langsung dari sistem tarbiyah PAS, justeru tidakkah ini menggambarkan bahawa PMN sendiri bersedia untuk ‘membadutkan’ diri dalam landskap politik Malaysia, sebagaimana yang dihambur oleh mereka ke arah PAS.
Pertikaian mengenai perbahasan antara pemerintah dan pembangkang hanya tentang perkara remeh dan tidak mengesani hak rakyat yang tertindas juga kelihatan sangat dangkal. Apakah isu-isu yang dibangkitkan oleh pimpinan pembangkang seperi PAS dan KeADILan tidak memfokuskan hak rakyat?
Isu-isu berkaitan keadilan sosial dan penindasan ekonomi dan politik yang acapkali dibangkitkan oleh pembangkang jelas menyentuh isu-isu rakyat, yang mana mauduk utama adalah kesedaran rakyat tentang hak mereka yang dicabul dan keperluan rakyat untuk bangkit merubah keadaan mereka tanpa mengamalkan budaya ‘angguk-angguk geleng-geleng.’
Dalam keadaan pembangkang tidak ada ruang yang kondusif untuk memainkan peranan yang sewajarnya, mereka sedaya upaya berfungsi untuk mengenengahkan isu-isu rakyat agar rakyat faham akan situasi sebenar.
Meminjam kata YB Datuk Husam Musa sewaktu beraksi dalam Debat Perdana RTM ketika dulu, “Kalau ikat kaki dan tangan, lepas tu suruh berenang, itu memang sukar diterima akal.” Ini realiti yang membungkam pembangkang di Malaysia.
Pembangkang tidak boleh mendapat peruntukan pembangunan meskipun mereka YB atau kerajaan negeri, mereka tidak boleh menyebarkan maklumat melalui media arus perdana hatta media mereka sendiri ditekan dan dikekang, hak mereka berhimpun dan menyebarkan maklumat dikawal undang-undang. Wajarkan pembangkang dipersalahkan bulat-bulat?
Ditekankan oleh Meor Isfandy lagi:
Beliau juga menggesa kerajaan agar mengambil berat tentang hak-hak rakyat memandangkan kekerapan berlakunya perarakan dan demonstrasi jalanan sejak akhir-akhir ini.
Bagi parti pembangkang, katanya, mereka perlulah memainkan peranan lebih baik sebagai penstabil kepada kerajaan sedia ada.
Beliau menegaskan bahawa gerakan itu yakin bahawa telah wujud keinginan di kalangan rakyat untuk melihat satu perubahan dalam lanskap politik negara, tetapi kekangan dan dinding penghalangnya terlalu tebal menyebabkan kekalnya status quo sehingga hari ini.
PMN mengakui bahawa wujud keperluan untuk kerajaan memainkan peranan sebenar untuk mengambil tahu hak rakyat, dan pembangkang perlu memainkan peranan sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan. Maka apa perlu ‘dibadutkan’ pemerintah dan pembangkang? Bukankah kenyataan di atas bermaksud bahawa kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang perlu memperkemaskan dan menambahbaik keupayaan mereka demi memastikan hak rakyat terbela.
Ini membuktikan bahawa ada ruang untuk rakyat menentukan hala tuju negara melalui kedua-dua entiti berkenaan. Sekiranya pemerintah gagal mainkan peranan, pembangkang boleh menawarkan sesuatu yang lebih realistik dan mampu meyakini rakyat agar ada alternatif yang lebih baik buat rakyat.
Sememangnya tidak dinafikan, rentetan beberapa peristiwa di dalam negara sepanjang tahun 2007 memperlihatkan ada keinginan rakyat untuk melakukan perubahan. Dan telah pun terbukti ada pihak-pihak yang mampu menyediakan alternatif yang baik buat rakyat. Maka di mana kelompongan yang disebut oleh PMN?
Kita tidak boleh menafikan, selagi mana-mana pertubuhan itu bergelar parti politik, maka akan ada strategi dan taktikal politik yang rencam. Baik Umno, PAS, mahupun KeADILan ada taktikalnya untuk terus survive dalam arena politik nasional. Hatta diluaskan skop merangkumi Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia ataupun Parti Keadilan Pembangunan (AKP) di Turki, selagi mana mereka berdiri sebagai parti politik, maka tidak akan terlepas hatta sekelumitpun aktivisme mereka daripada taktikal politik. Yang membezakan hanya ideologi, samada nasionalis, demokrat, islamis, mahupun sosialis.
Malah PMN sendiri pun, seandainya mereka berdiri sebagai parti politik yang sah, apakah mereka akan berupaya mengecualikan diri mereka daripada kerencaman politik yang serba mungkin dalam landskap politik Malaysia? Mahu menjadi ‘third force’selepas pemerintah dan pembangkang itu adalah dialu-alukan, tetapi dengan menubuhkan sebuah lagi parti politik khusus untuk mahasiswa, tidak saya lihat sebagai satu langkah yang realistik.
Kenyataan di bawah juga meragukan:
PMN kelihatan mahu merempuh AUKU kerana pada mereka AUKU adalah akta yang bersifat melangkaui Perlembagaan Persekutuan. Tetapi dalam masa yang sama mereka menyatakan:
Menurut Meor, calon bebas dari kumpulan itu akan dipilih daripada kalangan graduan memandangkan kekangan Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971 menghalang mahasiswa menyertai kegiatan politik. [Mstar]
Aduh, macam mana ni? Sekejap kata mahu menggempur AUKU, tapi mahu meletak calon di kalangan graduan kerana mahasiswa dikekang AUKU.
Persoalan itu terus menghambat saya untuk mencari rasional penubuhan PMN.
0 comments:
Post a Comment