Lagi Kes Kanak-kanak Hilang, Kali Ini Di Taman Medan
PETALING JAYA, 10 Jan (Bernama) -- Tidak sampai 48 jam selepas adik Nur Fateha Zaidi dilapor hilang, satu lagi kejadian sama berlaku di kawasan berhampiran di Taman Medan, PJS 2 di sini, pagi Rabu.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa Sharlinie Mohd Nashar, 5, atau dikenali sebagai Nini dilapor hilang ketika bermain bersama kakaknya Sharliena, 8, di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu kira-kira pukul 4 petang daripada kedua ibu bapa kanak-kanak itu.
Beliau berkata ketika dilapor hilang, Sharlinie yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik memakai baju tanpa lengan berbelang biru muda dan putih bersama skirt pendek yang juga berwarna biru muda serta selipar merah jambu.
"Mangsa berketinggian tiga kaki dua inci, bertubuh kecil, berwajah bulat, berkulit sawo matang dan rambut pendek paras telinga," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari Rabu.
Arjunaidi berkata buat masa ini polis mengklafisikasikan kes itu sebagai kes hilang tetapi tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan kes penculikan Nur Fatiha Zaidi Isnin lepas.
"Buat masa ini kami siasat sebagai kes hilang, siasatan selanjutnya akan dibuat dari segala sudut bagi mengenalpasti motif sebenar kehilangan kanak-kanak itu," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Suraya Ahmad, 28, berkata anaknya Sharliena (kakak mangsa) baru pulang dari sekolah agama dan mengajak Sharlinie pergi mengaji di rumah jiran di belakang rumah mereka.
"Saya nampak mereka bawa Muqaddam, tetapi rupanya mereka ke taman permainan yang tidak pernah mereka pergi sebelum ini.
"Kakak menunggang basikal manakala Nini berjalan kaki," katanya.
Suraya, seorang suri rumah berkata ketika dalam perjalanan pulang dari taman permainan, Sharliena menoleh ke belakang dan mendapati adiknya tiada di belakangnya.
"Setibanya di rumah, Sharliena memberitahu saya Nini hilang di kawasan buaian dan sebelum itu dia tidak sedar adiknya hilang," katanya.
Suraya berkata beliau dan jirannya bermotosikal ketika hujan untuk mencari Nini sehingga pukul 2 petang tetapi usaha mereka gagal menemui anak bongsunya itu.
"Saya menghubungi suami Mohd Nashar Mat Hussien, 29, yang bekerja sebagai juru elektrik, dia juga mencari di seluruh kawasan tetapi tidak menemuinya," katanya.
Mohd Nashar berkata sudah dua tahun mereka menetap di kawasan itu.
"Saya juga berikhtiar dengan membuat pengumuman di masjid di kawasan itu tetapi tiada sesiapa yang muncul... tolong kembalikan anak saya," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sharlinie diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi terus Suraya di talian 016-2709096 atau Mohd Nashar di talian 016-2583450.
Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama polis mengeluarkan lakaran wajah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai dapat membantu siasatan kes Nur Fateha Zaidi, 6, yang diculik dua hari lalu di Flat Seri Manja, Desa Sepakat, Kampung Medan.
Nur Fateha dikatakan diumpan oleh seorang lelaki bermotosikal untuk melihat kucing dan burung.
Nur Fateha yang dilaporkan hilang pada pukul 5 petang ditemui kira-kira tiga jam selepas itu di Wangsa Maju.
"Lelaki itu berambut kerinting dan bermisai," kata Arjunaidi.
Jan 10, 2008
TERKINI: Lagi Kanak-kanak Hilang
Labels: Alert
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment