Bersih
harakahdaily
Saudara Pengarang,
Media adalah kepunyaan semua rakyat Malaysia, bukannya Barisan Nasional. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ingin menegaskan bahawa semua bentuk media, termasuk RTM adalah kepunyaan semua rakyat Malaysia dan bukannya harta peribadi Barisan Nasional.
Bersih ingin mengingatkan Timbalan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Zahid Hamidi bahawa 36 peratus daripada undi yang mengundi pembangkang pada 2004 juga merupakan para pembayar cukai daripada kos operasi RTM.
Oleh itu, 36 peratus daripada kos operasi RTM dibiayai para pengundi pembangkang. Ini juga bermakna 36 peratus daripada gaji Ahmad Zahid Hamidi dibayar oleh 36 peratus rakyat yang tidak bersetuju dengan kenyataan beliau itu.
Timbalan Menteri telah mencela rakyat Malaysia dengan memberi kenyataan secara sombong bahawa pihak kementerian akan mengkaji 'samada akan membenarkan para pemimpin pembangkang berkempen melalui RTM dalam pilihan raya umum dapat memberikan manfaat kepada rakyat atau tidak.'
Manfaat atau tidak, rakyat menentukan bukannya kementerian
Kenyataan itu dilaporkan Bernama pada 24 Januari. Manfaat mesej yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak (BN dan BA) hanya ditentukan oleh semua rakyat Malaysia, bukannya kementerian.
Seperti perumpamaan Melayu, 'berani kerana benar, takut kerana salah', jika BN yakin kempen mereka lebih bermanfaat bagi rakyat, kenapa mereka perlu takut berkongsi padang yang sama kepada para pemimpin pembangkang? Kenapa mereka perlu menafikan hak para pengundi dan peluang untuk memaklumkan sesuatu keputusan?
PM bermegah dengan para pemimpin dunia terhadap kejayaan Malaysia dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. Tapi, kenapa beliau tidak berani bersemuka dengan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Hadi Awang di negara sendiri dalam debat secara langsung yang disiarkan semasa pilihan raya?
Betulkan fakta dan wujudkan program 'Leader Debate'
Bersih mendesak Timbalan Menteri Penerangan untuk memperbetulkan fakta-faktanya, Para pemimpin pembangkang tiga parti pembangkang seperti Mustafa Kamil Ayub, Saifudin Nasution, Shamsul Iskandar, Dr Dzulkifli Ahmad, Husam Musa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Lim Guan Eng, Loke Siew Fook, Dr. Tan Seng Giaw, Teng Chang Khim; semuanya pernah muncul dalam acara Debat Perdana.
Bagaimanapun, panel-panel pembangkang diberikan layanan yang tidak adil dalam program itu apabila ucapan mereka sering dipotong atau diberi masa yang singkat dalam pembentangan mereka atau semasa menjawab soalan-soalan yang diutarakan.
Apa yang Bersih minta ialah supaya RTM mengacarakan rancangan berbentuk Debat Perdana yang memaparkan calon-calon yang bertanding semasa tempoh kempen pilihan raya, seperti rancangan Leader Debate di Australia atau pun debat-debat cara Amerika yang disiarkan semasa pertandingan calon-calon presiden.
Bersih menegaskan bahawa lapangan pertandingan yang adil itu bermula dengan menghormati persempadanan antara parti dan kerajaan. Ia adalah syarat asas ke arah pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
Komen Ahmad Zahid Hamidi yang berbentuk partisan membuktikan bahawa negara ini memerlukan Akta Kesaksamaan Pentadbiran. Dalam hal ini, Bersih beberapa kali telah mengutarakan saranan seperti pemansuhan pengundian pos domestik, pembersihan senarai pemilih, penggunaan dakwat kekal dan akses yang adil kepada media.
Dikeluarkan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Induk:
Wong Chin Huat - Pengerusi, Writers Alliance for Media Independence (WAMI)
V. Gayathry – Pengarah Eksekutif, Centre for Independent Journalism (CIJ)
Nota: Kita sama-sama nantikan 'keberanian' Zahid Hamidi sama ada beliau berani mewujudkan Leader Debate atau tidak. --- aba.
Jan 30, 2008
Bersih desak semua media dibebaskan
Labels: Belit media
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment