Jerantut 'bandar kasino'
kosmo
BANGUNAN yang dipercayai menjadi pusat mesin judi haram di Jerantut, Pahang.
JERANTUT - Eksklusif untuk peneroka dan penduduk kampung.
Itu 'dedikasi' pengusaha premis mesin judi untuk golongan tersebut yang beroperasi secara haram di bandar Jerantut dan bandar Inderapura di sini untuk mengelak kegiatan mereka diketahui umum khususnya 'orang luar.'
Malah salah sebuah daripadanya beroperasi di dalam sebuah gudang dan dikatakan 'kebal' daripada tindakan undang-undang dengan memperalatkan nama orang-orang kenamaan.
Tinjauan KOSMO! Ahad mendapati 'orang luar' tidak dibenarkan masuk ke ruang mesin judi yang tersorok dalam premis kecuali diperkenalkan oleh pelanggan tetap kepada tonto yang mengawasinya.
Difahamkan kegiatan haram itu berselindung di sebalik nama pusat rekreasi serta persatuan tertentu dan kini bilangannya sudah mencapai kira-kira 30 buah mesin.
Menurut salah seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Karim, pengusaha terbabit hanya membenarkan orang tertentu memasuki bilik yang menempatkan mesin judi atau lebih dikenali sebagai mesin buah.
"Tidak semua orang dibenarkan masuk tempat yang ada mesin judi buah itu, mungkin ia bagi mengelakkan operasi mereka dikesan pihak berkuasa.
"Jerantut ini bandar kecil, tak hairanlah pengusahanya mengenali muka-muka yang biasa main di situ. Jika orang luar dibawa oleh pengunjung yang biasa datang, barulah dibenarkan masuk," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man pula memberitahu, sebuah premis mesin judi haram terbesar di bandar itu menjadi tumpuan ramai peneroka terutama pada hujung minggu.
"Apa yang saya dengar, ramai yang sudah terjerat dengan ketagihan bermain judi di situ sehingga ada yang terpaksa menjual tanah, kereta dan motosikal," katanya.
Sementara itu, dalam percubaan menjejaki kegiatan haram di salah sebuah pusat rekreasi di situ, wartawan dan jurugambar KOSMO! Ahad diekori oleh beberapa orang tonto sebaik sahaja melangkah masuk ke premis berkenaan.
Di dalamnya, kira-kira 30 mesin permainan arked ditemui dan tidak kurang 10 bilik karaoke kecil dan beberapa meja snuker di samping terdapat satu pintu rahsia.
Sementara itu, Ahli Exco Majlis Belia Felda Pahang, Abdul Rahman Mohamed ketika dihubungi mengakui pernah melihat mesin judi berkenaan di lokasi tersebut pada hujung tahun lalu.
"Saya difahamkan orang tertentu sahaja yang dibenarkan masuk ke tempat mesin judi itu.
"Saya sendiri pun pernah nampak hanya setelah dibawa masuk oleh orang yang biasa ke sana," katanya.
Katanya, beliau turut menerima beberapa aduan daripada penduduk kampung dan peneroka berdekatan bahawa ada di kalangan mereka terpaksa menggadaikan barang berharga akibat kalah judi.
0 comments:
Post a Comment