batubakat
Bismillah ar-Rahman ar-Rahim
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku berlindung denganNya dari segala kejahatan dan kesusahan. Siapa yang Allah beri petunjuk, tidak ada siapa boleh menyesatkan. Siapa yang Allah biarkan dalam kesesatan, tidak ada siapa boleh beri petunjuk. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya. Dan aku naik saksi bahawa Muhammad (SAW) itu nabi dan utusan Allah.
Pasca pilihan raya umum ke-12. Apa yang dapat ana lihat yang lain dari dahulu. Apa beza Malaysia sekarang dan Malaysia sebelum 8 Mac tempoh hari? Selain daripada khabar angin yang mengatakan desakan anak Tun Mahathir menggesa PM meletak jawatan, krisis dalaman UMNO dan lain-lain. Tapi ana tidak mahu menyentuh perkara tersebut. Ana mengatakan ianya sebagai khabar angin kerana ana tidak dapat memastikan kesahihan berita-berita tersebut. Ana sekadar membacanya dari blog-blog dan laman web media alternatif.
Ana tertarik dengan situasi yang terjadi di Pulau Pinang. Jika antum membaca Utusan Malaysia, antum akan dapat melihat gugusan orang ramai berkumpul beramai-ramai dan berduyun-duyun di bangunan KOMTAR. Mengapa? Mereka mahu membantah langkah Kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng yang berhasrat membatalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di sana. Ana masih lagi sedang mendalami dan meneliti apa itu DEB, mengapakah pihak Barisan Nasional sangat menekankan kepentingannya dan mengapa DAP membatalkannya. Apabila ana telah berjaya memahaminya, ana akan berkongsi dengan antum InsyaAllah. Mudah-mudahan ianya mudah difahami.
Mari kita lihat dari luar, think out of the box. Jika kita melihat kedua-dua gambar yang ana sertakan ini, dapatkah antum melihat perbezaannya? Secara umumnya, ana katakan tidaklah ada perbezaannya. Kedua-duanya menggambarkan himpunan rapat umum masyarakat yang ingin meluahkan dan menunjukkan perasaaan. Menunjukkan ketidak senangan terhadap sesuatu dan membantah secara aman sekadar melaksanakan hak sebagai rakyat negara yang dikatakan mengamalkan demokrasi.
Bezanya, satu dilancarkan oleh Bersih dan satu lagi oleh UMNO. Tapi pada hakikatnya, kedua-duanya serupa, bukan? Jadi, mengapa di Pulau Pinang ini tidak diharamkan? Mengapa FRU tidak menyembur gas pemedih mata dan air yang mengandungi bahan kimia kepada mereka yang menyertai rapat umum ini? Rapat umum ini ada permit atau tidak? Jika ada, mengapa begitu mudah rapat umum ini mendapat permit, padahal apa yang diperjuangkan oleh rapat umum ini adalah mengenai DEB. Hal sedemikian boleh mencetuskan ketegangan hubungan antara kaum dan (Na'uzubillah) peristiwa 13 Mei boleh berlaku lagi. Padahal yang diperjuangkan oleh pihak Bersih adalah untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Ini bukan hanya melibatkan masyarakat Cina, India dan Melayu sahaja tapi melibatkan seluruh rakyat Malaysia.
Mengapa media perdana di Malaysia tidak menyifatkannya sebagai satu tindakan yang melanggar peraturan dan boleh mencetuskan rusuhan? Mengapa tidak ada pemimpin UMNO yang menyertai demonstrasi itu ditangkap dan ditahan di ISA? Mengapa perkara yang sebaliknya berlaku pada perhimpunan Bersih tempoh hari? Sudah lupakah kita dengan kata-kata dari pihak-pihak tertentu yang mengatakan kononnya demonstrasi akan menjejaskan ketenteraman awam, mengganggu perniagaan rakyat dan akan menakutkan pelancong-pelancong dari datang ke Malaysia? Tidakkah kesan yang didakwa ini tidak akan berlaku jika rapat umum dilancarkan oleh pihak UMNO tetapi akan berlaku jika dilancarkan oleh pihak-pihak lain?
Oleh itu, mari kita berfikir secara rasional. Mengapa ketidak adilan berlaku dalam kedua-dua perkara ini? Satu mudah dilakukan, dengan kerjasama pihak FRU dengan tidak mengkucar-kacirkan keadaan, dan satu lagi dikucar-kacirkan oleh FRU. Satu mudah mendapatkan permit (jika ada permit), dan satu lagi disusahkan untuk mendapatkan permit. Satu tidak digambarkan oleh media arus perdana dengan gambaran yang negatif dan sebaliknya bagi pihak yang lagi satu. Jadi, di manakah ketelusan media Malaysia? Di manakah ketelusan kepimpinan Malaysia yang menjaga isu keselamatan dalam negeri? Ana lontarkan persoalan ini kepada antum untuk berfikir, menganalisa dan menelitinya serta mendapatkan jawapan yang tepat dengan hati yang ikhlas dan tidak mempunya perasaan prejudis.
Wallahuaa'lam.
Ibn MuSa
Dunkirk 2008
Mar 16, 2008
Tunjuk Perasaan... Kini dibolehkan?
Labels: Belit Polis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment