Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt,
Blog ini sudah tiga kali bertukar wajah untuk menyesuaikan perubahan iklim politik yang berlaku dari masa ke semasa di negara ini. Sungguh pun begitu, blog Tun Telanai akan tetap berpegang pada prinsip asas perjuangan iaitu menegakkan yang haq dan menentang kebathilan, kezaliman, penindasan, rasuah dan menyalahgunaan kuasa. Turut berubah ialah pendekatan yang bakal digunakan nanti, lebih kepada mesra alam. InsyaAllah.
Hari ini hari ke-9, keputusan PRU ke-12 diketahui umum tetapi ia masih menjadi perdebatan. Masyarakat pelbagai lapisan masih "berhujah dan berdebat" mengenai kejutan keputusan pilihan raya umum itu, baik kedai kopi, warung mamak, pejabat mahupun di institusi pengajian tinggi. Keputusan yang memberi prestasi terburuk kerajaan Barisan Nasional [BN] khususnya UMNO dalam sejarah telah dihurai ramai pemerhati dan penganalisis politik, masing masing dengan gaya dan fahaman masing-masing. Dalam sejarah UMNO/BN tidak dapat membentuk kerajaan dengan majoriti 2/3 [UMNO/BN memperolehi 140 kerusi dan BA 82 kerusi parlimen], manakala lima buah negeri jatuh ke tangan pembangkang [Kedah, Kelantan [kekal], Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan KL].
Namun begitu, UMNO tidak mahu mengaku kalah. Media massa miliknya terus memainkan api perkauman khususnya Utusan Malaysia. Berbagai laporan negatif mengenai BA disebarkan dengan tujuan untuk menimbulkan kecelaruan dan hilang percaya rakyat yang memberi undi kepada BA. Agendanya ini senang untuk difahami. UMNO mahu menimbulkan kekacauan yang akhirnya kerajaan campuran dibeberapa negeri seperti di negeri Perak dan Pulau Pinang tumbang dan pilihan raya baru akan diadakan.
Serangan ini tertumpu di negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP dan PKR [29 daripada 40 kerusi]. Bermula di sidang akhbar pertama selepas mengangkat sumpah oleh Ketua Menteri baru, Lim Guan Eng. Kenyataan Lim Guan Eng mengenai DEB memang sengaja disalah tafsirkan memberi gambaran buruk pentadbiran Guan Eng yang hendak memansuhkan DEB. Saya petik laporan Utusan Malaysia pada 12 Mac 2008 lalu untuk kita membuat penilaian :
Kerajaan negeri yang baru ditubuhkan hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membebaskan pentadbiran Pulau Pinang daripada pelaksanaan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa, DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisien.
Laporan penuh lihat link ini :
Beliau berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan sistem baru yang memberikan keutamaan kepada semua kaum.
Menurut Guan Eng, buat permulaan, kerajaan negeri akan melaksanakan sistem pemberian tender secara terbuka untuk semua kontrak dan pemerolehan kerajaan.
“Kita akan mengamalkan pentadbiran telus. Selain memudahkan orang awam mendapat maklumat mengenai tender-tender tersebut, satu portal Internet akan diwujudkan.
“Kontraktor tempatan yang berpusat di Pulau Pinang akan diberi keutamaan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, ekonomi di Pulau Pinang adalah untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama serta berdasarkan prinsip perkongsian kemakmuran dalam cara yang saksama.
Berikutan kenyataan Guan Eng pada sidang akhbar itu, beliau ditanya mengenai hak-hak orang Melayu:
Beliau menjawab: “Nasib semua bangsa dan untung nasib mereka adalah sama. Mengenai demokrasi dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) pula. Guan Eng memberitahu: usaha mewujudkan pilihan raya PBT akan dilakukan mengikut Artikel 113(4) Perlembagaan selain mengkaji semula pelantikan ahli-ahli majlis di kalangan parti-parti politik.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan melantik profesional dan wakil daripada industri serta badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli majlis PBT mengikut Seksyen 10(2) Akta Kerajaan Tempatan.
Katanya, Ketua Menteri, anggota Exco kerajaan negeri, speaker serta timbalannya dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP) akan diwajibkan mengisytiharkan aset peribadi mereka.
utusan.
Perhatikan betul-betul kenyataan tersebut, di mana yang dikatakan tidak betul itu yang boleh memberi gambaran bahawa masa depan orang-orang Melayu akan terancam. Survival orang-orang Melayu akan musnah. Sebelum ini pun kehidupan orang Melayu Pulau Pinang terpinggir dan tidak terurus akibat perbuatan UMNO sendiri yang bersokongkol dengan Gerakan menjahanamkan masa depan orang Melayu di negeri ini.
Semua rakyat tahu bahawa perlaksaan DEB telah gagal, tidak mencapai tahap 30% seperti yang dirancangkan. UMNO menjadikan DEB sebagai platform para pemimpinnya mencari kedudukan dan kekayaan peribadi. Sebahagian besar orang Melayu yang bukan daripada golongan elit berkuasa UMNOPutra tidak menikmati sebarang faedah hasil perlaksaan DEB. Golongan ini tercicir seperti orang Melayu Pulau Pinang itu sendiri. Banyak agenda yang digariskan dalam rangka DEB bagi membantu seluruh orang Melayu [termasuk kaum-kaum lain yang susah] telah dimansuhkan dan diubahsuai bagi kepentingan diri sendiri seperti pembukaan tanah perladangan dan penempatan [diuruskan oleh Felda dan Felcra telah ditukar objektifnya untuk berniaga dan bermain saham], pemberian biasiswa dihapuskan, kontrak, lesen, pemberian modal dan sebagainya hanya dinikmati oleh segelintar orang Melayu yang sudah kaya-raya dan yang mempunyai rangkaian politik dengan pihak yang memegang kuasa. Inilah yang menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisien seperti kata Guan Eng itu.
Agensi-agensi yang dbentuk untuk menguruskan dana orang Melayu disalahgunakan oleh para pemimpim UMNO dan kroni-kroninya sehingga bangkrap seperti Bank Bumiputra Malaysia Berhad [kini CIMBB]. Sebenarnya para pemimpin UMNO yang menjadi pengkianat kepada kaumnya sendiri sehingga harta dan ekiuti orang Melayu hanya mencapai 19% sahaja dalam kek kekayaan ekonomi dalam negara ini, selebihnya adalah bangsa asing. UMNO memang sengaja mengambil kesempatan ini [yang ia sendiri sedar bahawa mereka yang sebenarnya pengkianat kepada bangsa Melayu] bagi menunjolkan semula imejnya yang sudah tercalar sebagai pembela Melayu tulin.
UMNO tahu DEB adalah sinonim dengan orang Melayu seperti mana mereka akan sensitif apabila ada pihak yang menyentuh “Hak-hak istemewa orang Melayu” yang terkandung dalam Perlembagaan, mereka akan bangun bangkit menentang. Walaupun pada hakikatnya, UMNO telah pun beransur-ansur menghapuskan hak-hak tersebut tanpa disedari oleh orang Melayu contohnya dalam bidang pendidikan dan pemilikan tanah rezab Melayu yang tidak diganti serta boleh dipajak kepada bangsa asing dengan alasan rapoh untuk pembangunan.
Maka, para pemimpin UMNO Pulau Pinang mula mengerakkan strateginya dengan mengeluarkan kenyaatan-kenyataan beramaran kepada kerajaan Guan Eng diikuti kecaman-kecaman yang dibuat oleh para pemimpin UMNO termasuk Abdullah Ahmad Badawi sendiri kemuncakan pada hari Jumaat, 14 Mac lalu. Segerombolan pemimpin UMNO yang diketuai oleh Setiausaha Perhubungan UMNO negeri Datuk Azhar Ibrahim,bekas timbalan ketua menteri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, wakil rakyat Sungai Dua - Datuk Jasmin Mohamed, dan ketua bahagian Bukit Mertajam - Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Mereka berkumpul dan menyampaikan ucapan di kaki bangunan Komtar sebagai membantah kenyataan Guan Eng itu. Bersama mereka beberapa sepanduk, kumpulan itu melaungkan slogan-slogan, antaranya "Jangan pinggirkan Melayu" dan "Jangan hapuskan DEB". Pasukan polis dan FRU hanya perhatikan sahaja demontrasi [tentunya haram tidak ada permit yang dikeluarkan] itu tanpa mengambil sebarang tindakan sepertimana mereka bermusuh dengan para pemimpin dan penyokong BA ketika BA mengadakan demontrasi menentang kenaikan harga minyak, tol, harga barang dan sebagainya.
Para pemimpin UMNO meludah ke langit, jatuh kembali ke atas muka sendiri. MALU. Mereka kata demontrasi ‘bukan budaya kita’, tetapi yang bukan budaya itu yang mereka lakukan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati [sepertimana BA rasai selama ini]. Selepas ini mungkin banyak lagi siri demokrasi yang akan dianjurkan oleh golongan kecewa ini. Jenis pemimpin yang tidak ada maruah akan berbuat apa sahaja untuk menghiburkan hati yang luka. Kepada pihak pasukan polis, ambillah tindakan yang keras sepertimana yang diperbuat terhadap pembangkang dari tarikh 1.7.2001 sehingga kini.
Sungguh menghairankan, apabila Tun Musa Hitam pernah mengeluarkan kenyataan untuk menghapuskan amalan kouta berdasarkan DEB bagi membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar [WPI], tidak seorang pun dikalangan para pemimpin UMNO yang berani menyanggah kenyataan Musa itu. Sebab apa, sebab para pemimpin UMNO ini mengamalkan “politik cari makan”. Mereka tahu projek WPI adalah kononya hasil idea Abdullah Ahmad Badawi, PM Malaysia. WPI projek kesayangan Abdullah. Menentang bererti cari nahas, takut nanti miss syuru. Mereka hanya berlagak sebagai pembela Melayu seperti apa yang mereka lakukan di Pulau Pinang sekarang ini. Hakikat mereka dayus. Pengkianat bangsa Melayu.
Dalam dua keadaan ini, kedudukan di selatan Johor itu lebih berbahaya dan boleh mengancam survival orang Melayu masa depan. Di Pulau Pinang orang Melayu sudah lama hancur. WPI meliputi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi iaitu tiga kali lebih besar dari Singapura dan 48 kali keluasan Putrajaya merangkumi daerah Johor Bharu, Kulai, Kota Tinggi dan Pontian. Hanya Tambak Johor memisahkan WPI daripada Singapura. Wilayah tersebut dianggar mempunyai seramai 1.35 juta penduduk atau 43 peratus daripada penduduk Johor yang seramai 3.17 juta. Kira-kira 66 peratus daripada mereka bekerja. Daripada jumlah itu, penduduk Melayu seramai 48.2 peratus; Cina [35.8 peratus]; India [9.4 peratus] dan orang luar [6.6 peratus].
Pemimpin UMNO perlu tahu perbuatan menjual bumi dan hak bangsa semata-mata demi kepentingan ekonomi segelintir para pemimpin Melayu. Dengan perbuatan itu, ia dipromosikan membawa kebaikan besar dikalangan bangsa Melayu dan lain-lain rakyat yang akan memperolehi pelbagai manafaat hasil pembangunan tersebut.
Perkara seumpama ini telah berulang kali berlaku, pemimpin Melayu menggadai kedaualatan bangsa, bermula dengan Pulau Pinang, Province Wellesley [daerah Kepala Batas dan kawasan yang berdekatan] dan Pulau Singapura, dengan klimaksnya orang Melayu menjual murah hak “jus soli”, masih lagi wujud satu golongan pemimpin Melayu dalam UMNO masih enggan untuk belajar dari kesilapan yang lalu. Kali ini perbuatan ini dinamakan Wilayah Pembangunan Iskandar [WPI]. Kepada para pemimpin UMNO Pulau Pinang, tidak usahlah buat-buat ribut di Pulau Pinang, tunggu empat tahun lagi, beri tumpuhan di Selatan Johor. Jangan biarkan sejarah berulang.
Para pemimpin UMNO [khususnya di Pulau Pinang] patut tahun bahawa Malaysia tidak mempunyai kedaulatan mutlak ke atas WPI. Sebaliknya Singapura juga akan turut menentukan bagaimana WPI akan ditadbir urus. Untuk membolehkan penglibatan kuasa asing, satu jawatankuasa bersama peringkat menteri (joint ministerial committee) dua negara telah wujudkan. Anih sungguh pertimbangan dan cara berfikir Perdana Menteri kini. Di tempat lain, contohnya di United Kingdom, untuk wilayah seperti Ireland Utara yang dituntut pelbagai pihak sejak beratus tahun, kewujudan satu jawatankuasa bersama peringkat menteri yang di wakili menteri dari England, Scotland, Wales dan Ireland sememangnya perlu untuk menyelia pentadbiran dan pembangunan.
Maksudnya bagi wilayah tersebut di mana tiada kuasa tunggal dapat mendakwa kedaulatan mutlak dan di mana kepentingan bertindih pelbagai pihak sentiasa wujud sejak beratus tahun, penubuhan satu jawatankuasa bersama peringkat menteri pelbagai negara adalah satu maufakat dan usaha yang wajar. Tetapi dalam kes WPI, belum pun lagi projek dimulakan, satu jawatankuasa bersama peringkat menteri Malaysia-Singapura telah pun diwujudkan. Apakah isyarat perbuatan ini? Adakah isyaratnya sama seperti kes penggadaian Pulau Pinang, Province Wellesley [daerah yang merangkumi Kepala Batas] dan Pulau Singapura, di mana demi janji ganjaran pencen tahunan yang lumayan kepada segelintir Melayu, kepentingan dan kedaulatan bangsa sanggup dilepaskan?
Apa pun janji dan putaran media yang telah dibuat, hakikatnya penubuhan jawatan kuasa ini membayangkan PM kini sudah awal-awal lagi mengatakan Malaysia tidak mempunyai kedaulatan mutlak ke atas daerah-daerah yang kini masih lagi dikenali sebagai Johor Bharu, Kulai, Kota Tinggi dan Pontian. Belum pun lagi Malaysia kalah perang dengan Singapura, Malaysia telah pun sanggup menyerahkan hak tadbir urus sebahagian bumi Johor kepada kuasa asing. Sebagai balasanya [Melayu yang tahu dek untung] Melayu Johor memberi kemenangan besar kepada UMNO dalam pilihan raya lalu. Tunggulah rakyat Johor kebinasaan akan menghempap ke atas kepala kamu semua. Sekarang pun rakyat Johor dilanda berbagai musibah alam sebagai amaran daripada Allah s.w.t.
WPI akan bakal menjadi dalam kes Pulau Batam. Kerajaan Indonesia memperkenalkan zon eklusif bagi membolehkan Singapura untuk membuat pelaburan membangunkan Pulau Batam dan akhirnya Singapura mencampakan kilang-kilang yang penuh pemcemaran alam di pulau ini dan tidak membangunakan Pulau Batam seperti yang dirancangkan. Begitu juga, WPI dibangunkan bagi menampung limpahan pembangunan di Singapura.
Seperti kata para pemimpin UMNO Pulau Pinang sekarang ini [marah kepada orang Melayu yang memberi undi kepada BA] : “ MENANG SORAK. KAMPUNG TERGADAI”. Dijaja ke sana ke mari bagi membangkitkan kemarahan orang Melayu kepada PKR dan DAP. Kenapa sekarang baharu sedar?
“AMANAH, ADIL DAN BERSIH”
Sekian.Wassalam.
MALAYSIA BAKAL MILIKI SU57 ?
1 minute ago
1 comments:
biarlah menang sorak kampung tergadai,asalkan jangan umno menang kampung mereka gadai...dah serik bagi undi kat umno...anak johor diperantauan
Post a Comment