HMetro - Hasrat seorang askar untuk berhenti daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya berakhir tragedi apabila dia ditemui mati dalam keadaan misteri dalam lokap tentera, kelmarin.
Kematian Prebet Mohd Shahrizal Mohd Shafie, 27, mencetuskan tanda tanya di kalangan ahli keluarga berikutan pegawai tentera bertugas hanya memberi alasan dia meninggal dunia selepas sakit perut, muntah dan terjatuh.
Lebih memeranjatkan apabila anggota keluarga yang menziarah jenazah mangsa di bilik mayat Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di sini, kelmarin, mendakwa melihat banyak kesan luka di pipi kiri selain parut di kepala.
Bapa mangsa, Mohd Shafie Osman, 50, berkata dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya itu selepas dihubungi pihak ATM kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
Dia yang menetap di Kuala Kangsar, Perak, terkejut dengan kejadian itu berikutan Shahrizal sebelum ini sihat dan tidak pernah menghidap sebarang penyakit berbahaya.
“Saya cuma dimaklumkan dia (Shahrizal) muntah dan terjatuh sebelum meninggal dunia di Kem Sungai Besi di sini. Punca kematiannya amat susah untuk saya percaya kerana anak saya berbadan tegap dan aktif.
“Apa yang saya tahu dia ditahan di bilik tahanan dalam kem tentera berkenaan atas kesalahan tidak hadir bertugas sejak dua bulan lalu. Jika benar itu kesalahan dilakukan arwah adalah tidak wajar dia dihukum secara fizikal,” katanya ketika ditemui di HUKM, semalam.
Shafie yang juga anggota polis berpangkat koperal di Balai Polis Kuala Kangsar, berkata anaknya pernah ditahan atas kesalahan sama tahun lalu dan kini dalam proses untuk berhenti daripada ATM.
“Apa yang saya tahu dia dalam proses menunggu MyKadnya siap untuk kembali menjadi orang awam hujung April ini. Dia memberitahu tidak sabar pulang dan bekerja sebagai polis bantuan di Bank Simpanan Nasional (BSN) serta berkahwin,” katanya.
Sementara itu suasana di luar Bilik Mayat HUKM tegang seketika apabila ahli keluarga mangsa gagal mendapatkan keputusan laporan bedah siasat selepas menunggu sejak jam 9 pagi semalam.
Kakitangan HUKM dikatakan hanya membenarkan anggota keluarga melihat jenazah Shahrizal sebelum dibawa keluar pada jam 2.30 petang dengan van jenazah ATM.
Bapa saudara mangsa, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Sukan Negara (MSN), Fahmi Omar musykil punca kematian Shahrizal berikutan ahli keluarga tidak diberikan laporan bedah siasat oleh pihak HUKM.
Menurutnya, ahli keluarga ingin mengetahui sama ada wujud unsur kecederaan fizikal yang menyebabkan kematian mangsa, namun doktor di HUKM memberitahu hanya akan menyerahkannya kepada keluarga selepas melihat lokasi Shahrizal meninggal dunia.
“Kami keliru dan tertanya-tanya, malah bertambah pelik apabila saya melihat bengkak di perut dan dada kiri sewaktu jenazahnya dimandikan.
“Sebagai anggota keluarga, kami hanya mahukan kebenaran terhadap punca kejadian. Adakah dia mati akibat sakit atau dipukul dalam tahanan?” katanya.
Menurutnya, anggota keluarga belum membuat laporan polis berikutan belum menerima laporan bedah siasat daripada pihak HUKM.
Ibu saudara mangsa, Zaleha Ismail, 54, berkata dia sebelum ini sering melawat mangsa ketika dalam tahanan dan mendapati dia sihat.
“Biasanya dia akan meminta mak cik menghantar sabun mandi, selimut dan ubat nyamuk. Semua permintaannya itu akan segera mak cik penuhi mengenangkan dia anak yatim selepas kehilangan ibunya, Julai tahun lalu akibat sakit darah tinggi,” katanya.
Mengulas kes itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata kejadian itu sudah dilaporkan kepada pihaknya.
Menurutnya, laporan penuh bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas siasatan lengkap dijalankan.
Apr 8, 2008
Askar mati di lokap tentera
Labels: Tentera
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment