KOSMO
PETALING JAYA – Kasih Mohd. Nashar Mat Hussin, 29, dan isteri Suraya Ahmad, 28, terhadap anak bongsu mereka jelas terpancar apabila pasangan itu sanggup meredah longkang sebaik menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memberitahu anak mereka mungkin berada di situ.
Walaupun terpaksa berhadapan dengan bau busuk termasuk ancaman binatang berbisa, Mohd. Nashar berkata, mereka tetap turun ke longkang di sekitar Taman Medan.
Bagaimanapun, selepas beberapa jam meredah seluruh longkang itu, dia dan isteri masih hampa kerana Sharlinie tidak ditemui.
Mohd. Nashar memberitahu, sejak kehilangan Sharlinie yang masuk hari ketiga, pasangan tersebut menerima lebih 100 SMS yang memberi maklumat.
Malah selain SMS, katanya, dia juga menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional.
“Bomoh itu mendakwa anak saya disembunyi di sebuah rumah papan berkunci.
“Kami turut mencuba nasib dengan mencari Sharlinie di sebuah rumah papan di kawasan setinggan di taman ini tetapi turut hampa,’’ katanya yang tidak akan berputus asa.
Mohd. Nashar memberitahu, malam kelmarin ada seorang lelaki menghubunginya dan mendakwa ternampak seorang kanak-kanak perempuan ditarik naik ke atas motosikal oleh seorang lelaki di Jalan Pudu.
“Pemanggil tersebut hanya menelefon kami setengah jam selepas kejadian itu tetapi dia sendiri tak dapat mengecam muka budak perempuan itu,’’ katanya.
Ujarnya, selain SMS yang memberi maklumat ada juga antara SMS itu memaki hamun mereka dengan mendakwa dia dan isteri tidak tahu jaga anak.
“Wanita itu menghubungi isteri saya malam kelmarin yang menggelarnya sebagai ibu yang tidak pandai menjaga anak.
“Kami ingat dia telefon untuk memberi maklumat tetapi tiba-tiba saja dia menengking isteri saya dengan suara yang lantang,’’ katanya.
Sementara itu, Suraya pula berkata, dia yakin anaknya masih berada di sekitar Taman Medan dan berharap Sharlinie akan pulang suatu hari nanti dengan selamat.
Menurutnya, media juga diminta supaya lebih banyak menyiarkan tentang kehilangan Sharlinie dengan tidak mensensasikan kehilangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, polis akan meneliti setiap SMS yang diterima keluarga tersebut.
“Kita juga akan memantau melalui kamera litar tertutup (CCTV) bila mendapat maklumat mengatakan Sharlinie atau suspek berada di kawasan seperti perhentian bas, stesen LRT dan sebagainya,’’ katanya.
Menurutnya, beberapa peniaga dan orang awam yang berada di kawasan tempat Sharlinie dilaporkan hilang turut tampil membantu siasatan.
Mengenai dakwaan kakak Sharlinie adiknya dilarikan wanita cantik, Arjunaidi berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan tersebut.
BILA WALAUN OTAK TERBALIK
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment