Warga Bangladesh bengang tidak dipeduli
kosmo
SEBAHAGIAN warga Bangladesh yang masih tersadai di kawasan LRT Putra Damai, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Rata-rata warga Bangladesh yang terpaksa 'merempat' di Jalan Damai, berhampiran stesen LRT-Putra Damai di sini sejak seminggu lalu, melahirkan rasa kecewa terhadap Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh dalam menyelesaikan masalah mereka.
Mereka mendakwa, pihak terbabit seolah-olah langsung tidak peduli terhadap masalah yang dihadapi oleh lebih 1,000 warga Bangladesh setelah ditipu oleh ejen pekerjaan dan majikan masing-masing.
Menurut mereka, banyak aduan dan laporan bertulis telah dibuat berhubung masalah yang dihadapi seperti tidak dibayar gaji, tetapi semua aduan itu bagaikan 'dibuang ke dalam tong sampah'.
Seorang warga Bangladesh yang ditemui, Zaki Hussin, 32, berkata, dia telah 11 kali membuat aduan, tetapi tiada satu pun tindakan yang diambil ke atas aduan yang dibuat.
"Mereka dilantik oleh kerajaan kami untuk menjaga kebajikan rakyat Bangladesh, tetapi sikap yang ditunjukkan terhadap kami dalam isu ini (penganiayaan) sangat mengecewakan," katanya ketika ditemui KOSMO! semalam.
Rakannya, Jahid Assan Rony, 27, berkata, dia telah hilang kepercayaan terhadap pihak Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di negara ini.
"Kami dilayan seperti bukan warga Bangladesh dan semua aduan termasuk tidak dibayar gaji serta menjadi mangsa penderaan tidak dihiraukan.
"Malah, permintaan kami untuk dihantar pulang juga seperti terlalu berat untuk ditunaikan. Nampaknya mereka lebih suka melihat rakyat sendiri merempat tanpa duit dan terpaksa berbumbungkan langit siang dan malam," ujarnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan imigresen bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
"Kami memang tidak mempunyai kuasa, tetapi apa yang boleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (BDKL) bantu ialah menyediakan kemudahan logistik untuk memindahkan semua mereka selepas pihak imigresen mengambil tindakan sewajarnya," jelas beliau.
Ab. Hakim juga memberitahu, masalah itu tidak akan mencacatkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut esok.
MAKSUD KETIMBANG
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment