Suruhanjaya Tolak Permohonan Untuk Menonton Klip Video Ketiga
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini menolak permohonan peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin, untuk menonton termasuk klip video ketiga yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian siasatan inkuiri.
Hazman berkata klien beliau (Eusoff) mahu suruhanjaya itu menonton klip video ketiga itu dan transkripnya kerana ia berkaitan dengan lawatan Eusoff dan peguam Datuk V.K. Lingam ke New Zealand, yang dikaitkan dalam klip video kontroversi yang menunjukkan beliau cuba mengatur pelantikan hakim.
Beliau berkata ia penting untuk memasukkan video itu kerana suruhanjaya tersebut telah membenarkan keterangan mengenai lawatan berkenaan yang menunjukkan hubungan rapat antara Eusoff dan Lingam, sambil menambah lawatan tersebut tidak ditunjukkan dengan meluas dalam dua klip video sebelum ini.
Hazman berkata salinan klip video ketiga diserahkan kepada setiausaha suruhanjaya itu Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid oleh peguam William Leong.
Ketika menjawab permohonan itu, anggota suruhanjaya Datuk Mahadev Shankar berkata klip video baru itu bukan dalam mandat suruhanjaya tersebut dan ia tidak akan mempertimbangkan bahan lain bukan di bawah inkuiri.
Mahadev berkata banyak keterangan teknikal yang perlu dikeluarkan dalam inkuiri tersebut dan tiba-tiba ada seorang datang dan mengeluarkan satu klip video baru kepada suruhanjaya berkenaan.
"Kenapa kita hendak tonton? Selama ini V.K. Lingam berkata bahawa orang yang ada dalam klip video dilihat dan bersuara seperti beliau, melainkan beliau mengaku bahawa dialah lelaki dalam klip video itu.
"Adakah anda mencabar bahawa beliau adalah lelaki dalam klip video itu? Kenapa saya harus menonton klip video itu di sini kerana ini akan membuang masa dan bukan untuk menguji ketulenan klip video itu. Ini bukan mudah. Kita terikat dengan terma rujukan.
"Kita tidak akan terima klip video ketiga di sini," kata beliau.
Pengerusi suruhanjaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor kemudian meminta Hazman memberitahu Eusoff jangan lagi meneruskan perkara ini dan mengarahkan Abdullah Sani memulangkan salinan klip video ketiga kepada Leong.
Bagaimanapun beliau berkata suruhanjaya itu akan memberikan perhatian mengenai klip video tersebut.
Jan 31, 2008
SURUHANJAYA CUBA TUTUP
Labels: VK Lingam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment