tronohtranquility
(...) Pada PRU 12 ini data-data yang telah dikumpul SPR sudah cukup untuk menunjukkan senario mengundi pada masa sekarang. Malah kita sendiri pun tidak perlu jadi pakar sains sosial atau statistik untuk mentafsir mesej yang diperolehi melalui data-data PRU 12 ini.
Yang pertama sekali sudah jelas kecenderungan mengundi parti-parti pembangkang adalah ketara di kalangan pengundi berumur bawah 40 tahun. Dari laporan tidak rasmi oleh saksi-saksi di pusat pengiraan undi diceritakan bahawa kebanyakan undi untuk BN datangnya dari saluran 1 dan 2, sementara undi untuk parti lawan kebanyakannya dari saluran 3 atau 4 dan ke atas. Dan tahulah ke atas Rashid serta konco-konco SPRnya akan kecenderungan golongan muda memangkah bulan, roket atau mata.
Maka hari ini Hishamuddin Hussein, Ketua Pemuda UMNO bercakap tentang perlunya rombakan ke atas BN untuk menarik sokongan orang-orang muda, bukannya pakcik atau makcik di kampung.
Juga yang dapat dilihat pada PRU 12 ini ialah kecenderungan mengundi parti-parti pembangkang begitu jelas dilihat berlaku di kawasan-kawasan bandar (dengan tidak mengambil kira Kedah dan Kelantan). Malahan di Sabah dan Sarawak juga, 2 kerusi parlimen yang dimenangi DAP ialah di P172 – Kota Kinabalu (Sabah) dan P195 – Bandar Kuching (Sarawak). Kedua-duanya ialah ibu negeri dan bandaraya.
Tetapi apa yang lebih penting untuk diteliti oleh SPR dan BN nanti ialah hakikat bahawa negeri-negeri pantai timur dan utara Semenanjung memang negeri yang penduduknya melawan cakap dan tidak setia membuta tuli. Penanam tembakau di Kelantan nampaknya tidak mudah tunduk seperti si penanam nenas di Johor. Pesawah di Kedah rupanya lebih suka melawan berbanding pekebun lada hitam di Sarawak. Mereka ini dan dicampur dengan pengundi-pengundi kawasan bandar serta golongan muda adalah punca kemerosotan BN kali ini.
Lalu dalam tempoh 5 tahun yang akan datang, sejajar dengan perubahan demografi dan pembangunan fizikal, SPR bakal melakukan persempadanan semula dan mungkin beberapa kawasan parlimen dan DUN yang baru akan diwujudkan. Dan kemungkinan kita akan melihat kawasan parlimen baru ini diwujudkan di 3 negeri kubu kuat BN itu sangatlah besar.
Bahkan pada masa ini, Sarawak yang mempunyai 912,454 pengundi diwakili dengan sejumlah 31 kerusi parlimen sedangkan Selangor dengan pengundi berjumlah 1,565,494 diwakili oleh hanya 22 kerusi. Juga harus diingat 3 kawasan parlimen baru yang diwujudkan pada 2006 letaknya di Sarawak. Begitu juga dengan Sabah yang mempunyai pengundi seramai 807,862 orang tetapi diwakili oleh 25 kerusi parlimen berbanding Kedah yang mempunyai hanya 15 kerusi mewakili 873,674 pengundi.
Jawapan yang mungkin diberikan SPR untuk pengagihan kerusi parlimen sebegini rupa ialah saiz keluasan tiap-tiap negeri. Ya, Sarawak dan Sabah adalah jauh lebih besar dari Selangor dan Kedah. Dan mungkin itu pertimbangan SPR dalam menetapkan jumlah kawasan parlimen tiap-tiap negeri.
Tetapi bagaimana pula dengan Johor yang mempunyai 26 kawasan parlimen berbanding Perak dengan hanya 24? Walaupun saiz keluasan Perak lebih besar dari Johor?
Percayalah, persempadanan kawasan parlimen dan DUN, walaupun menurut SPR mungkin dibuat berdasarkan saiz pengundi atau kawasan, sedikit sebanyak mengambil kira juga kepentingan dan faedah untuk BN di dalam pilihan raya nanti.
Persempadanan yang semacam itulah sebenarnya kadang kala menjadi punca berlakunya pembahagian pengundi yang tidak seimbang. Hinggakan kalau di Perak, DUN Kota Tampan hanya berjumlah 10,614 pengundi sedangkan DUN Manjoi mempunyai 39,640 pengundi untuk memilih seorang wakil rakyat.
Maka pada pilihan raya akan datang, janganlah pula terkejut bila adanya kawasan parlimen baru diwujudkan oleh SPR yang berkemungkinan besar dibuat di 3 negeri kubu kuat BN itu, kerana kata orang, letaklah calon apa pun, majoriti tangan orang di Johor, Sabah dan Sarawak pasti akan pangkah dacing.
Orang Johor, Sabah dan Sarawak, jangan marah ya?
Untuk rekod, BN memperolehi 50.27% undi popular sementara parti-parti pembangkang memperolehi 46.75% undi. BN bagaimanapun menguasai 63.1% kerusi di parlimen. More...
Mar 12, 2008
Kenapa BN Menang?
Labels: Analisa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
kwn mak saya wanita umno pergi kelantan bawa beras takut x mkn.sampai pasar khadijah tinggal beras dia beli beras cantik.balik crita kat mak saya.bila dngar crita tu saya sampuk percaya sgt kat tv.mrka kata jahatnya umno tipu org. buat fitnah.pd hal ayah saya dulu org kuat umno.anak branak umno dan kami jumpa org umno kat johor crita org umno jaga kroni,bagi contoh .insyallah org johor dah mula terjangkit sindrom barisan rakyat.ini cerita dari pekan kecil di johor.mersing.lain x media krajaan jgn berat sebelah org benci bila org jumpa kebenaran org bercerita lepastu kalau media ckp org susah nak terima.jgn sesekali berbohong katalah yg hak wpun pahit
Post a Comment