Abdul Halim Mohd Rashid
harakahdaily
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan apa pentingnya Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar (MB) Terengganu sehingga badai politik dengan istana perlu dicipta?
"Idris saja boleh memimpin Terengganu atau Abdullah ada menaruh rahsia tertentu yang Idris saja boleh menjaganya?
"Adakah di sana rahsia tentang perbelanjaan Monsoon Cup atau Masjid Kristal yang menambat ikatan antara Abdullah dan Idris?
"Tidakkah cukup monsoon hujung tahun membadai Terengganu sehingga badai baru pula hendak dicari?" soal beliau dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com
Sultan tahu?
Mengulas punca penolak istana itu, Husam berkata, mungkin ada yang diketahui Sultan atau Majlis Pemangku Raja yang tidak diketahui oleh kita semua.
"Sultan, atau dalam kes Terengganu, Majlis Pemangku Raja, berhak menolak mana-mana calon yang dicadangkan kerana Sultan bukan robot".
Terpulang kepada Umno mencadangkan nama baru yang boleh diterima oleh kedua belah pihak, katanya lagi.
"Jika itu pun tak dapat diuruskan, ke mana negara kita akan dibawa?"
Beliau juga mempersoalkan, adakah Idris begitu sempurna sehingga Sultan atau Majlis Pemangku Raja tidak mempunyai sebab dan kebijaksanaan mereka sendiri menolak Idris.
PM tambah musuh
Kepada Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu, apa yang berlaku di Terengganu itu memperlihatkan Abdullah menambah satu lagi musuh - istana.
Ketika segelintir ahli Umno Pulau Pinang bertempik melaungkan pembelaan Melayu di pulau di mana Melayu telah dipinggirkan selama lima puluh tahun dan Umno adalah sebahagian dari mekanisma itu, di Perlis dan Terengganu, Umno pimpinan Abdullah menunjukkan belangnya tidak mengindahkan sesiapa, hatta Raja-Raja Melayu, katanya.
"Apa yang hendak diperjuangkan Abdullah?"
Sebelum pilihanraya, kata beliau, pengundi Cina yang pertama merasa kecewa dengan kepimpinan beliau. Kekecewaan itu tidak dirawat sehingga Barisan Nasional (BN) menerima padahnya. Kekecewaan pengundi Cina diikuti pengundi India, seperti yang telah kita saksikan.
Menjelang pilihanraya baru-baru ini, katanya lagi, Abdullah melancarkan serangan terbuka untuk menawan Kelantan yang merupakan tapak Melayu-Islam.
"Perasaan umum pengundi Melayu itu pun Abdullah sanggup lukai".
Pengundi Melayu seluruh negara tidak kurang ramai yang bersimpati dengan Kelantan, sekalipun mereka mungkin penyokong Umno, kata Husam.
"Tema umum ialah, biarkan Kelantan kekal bersama PAS. Biarlah ada keragaman".
Akibat kelemahan kepimpinan Abdullah yang kian ketara, katanya, rakyat tertekan.
"Abdullah tidak tertekan, walaupun hilang lima negeri. Beliau gembira?"
KARMA AKIBAT FITNAH WALAUN.
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment