KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Apr 13, 2008

UMNO AKAN EKSPLOITASI SARANAN RTM KELUAR BANGUNAN

Selangor perlu berhati-hati keluar surat usir RTM

Harakahdaily - Syabas kepada Kerajaan negeri Selangor di bawah teraju Pakatan Rakyat (PR) di atas keberaniannya menapak selangkah lagi ke hadapan menuntut hak yang sepatutnya diberikan kepada sebuah kerajaan.

Tuntutan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar radio Selangor FM memberikan ruang pihaknya berinteraksi dengan rakyatnya adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan Pusat yang kononnya mahu mengamalkan dasar media yang lebih terbuka.

Akhbar harian Sabtu (12 April) memetik pendedahan Abdul Khalid bahawa pihaknya telah memohon kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) agar memberi ruang khusus kepada kerajaan negeri menerusi siaran langsung di Selangor FM selama sejam setiap minggu. Siaran radio tersebut bagi membolehkan beliau dan ahli-ahli Exconya berhubung secara langsung dengan rakyat di udara.

"Saya mahu menerangkan visi dan program oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor. Jika mereka tidak dapat berbuat demikian, jangan gelar diri mereka Radio Selangor FM," kata Abdul Khalid, sebagaimana disiarkan Utusan Malaysia.

Selangor FM (dahulu dikenali sebagai Radio Malaysia Selangor dan Radio 3 Shah Alam) merupakan stesen radio RTM khusus untuk negeri Selangor melalui gelombang FM 100.9 MHz. Ia bersiaran setiap hari mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam dengan menyiarkan berita tempatan di negeri itu beserta hiburan berbahasa Melayu.

Menurut Abdul Khalid, pihaknya telah mengemukakan hasrat itu lebih dua minggu lalu dan hingga kini masih belum mendapat maklum balas daripada RTM. Ekoran itu, dalam kenyataannya kepada media, Jumaat (11 April), Abdul Khalid memberikan kata dua kepada stesen radio berkenaan, sama ada memenuhi permintaan pihaknya atau keluar daripada bangunan milik kerajaan negeri.
"Sudah dua minggu setengah mereka bersikap tidak komited dan jika mereka terus begitu, saya tidak mahu mereka terus berada di bangunan milik kerajaan Selangor,� kata Abdul Khalid, sebagaimana disiarkan Berita Harian, 12 April.
Selangor FM kini beroperasi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, iaitu pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Akhbar turut menyiarkan kenyataan balas Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek. Beliau yang menganggap kenytaaan Abdul Khalid itu sebagai suatu ugutan terhadap pihaknya meminta kerajaan Selangor mengeluarkan surat rasmi menghalau RTM daripada bangunan berkenaan.

"Kalau itu cara Abdul Khalid yang bersikap ingin mengugut, maka pihak RTM akan berpindah keluar. Saya tunggu surat rasmi daripada kerajaan negeri," katanya.

Dalam hal ini, kerajaan Selangor perlu mengambil sikap berhati-hati. Kita sudah ada pengalaman pahit berhubung surat-menyurat dengan jabatan dan agensi kerajaan BN sebelum ini. Apa yang dialami kerajaan PAS Terengganu dulu mungkin boleh dijadikan iktibar dan contoh terbaik, betapa mereka akan memanipulasi sedapat mungkin sebarang tindakan parti Pakatan Rakyat, apatah lagi di dalam bentuk bertulis.

Dua kes melibatkan arahan mengosongkan bangunan dan premis milik kerajaan negeri Terengganu pernah berlaku. Surat-surat berkaitannya dijadikan bahan bukti dalam isu yang diputarbelit segenap peringkat jentera propaganda BN dalam Pilihan Raya Umum 2004 lalu. Kerajaan PAS digambarkan sangat zalim, sedangkan hakikat sebenarnya amat jauh dari digambarkan itu.

Pertama, isu yang disebutkan sebagai menghalau kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daripada balairaya. Isu ini sangat popular dan berkesan, termasuk di kalangan para penyokong PAS sendiri di luar Terengganu.

Fakta mengenainya sebenarnya telah diputarbelit. Adegan kanak-kanak memunggah kerusi itu juga suatu lakonan terancang oleh Kemas dengan kerjasama media cetak dan elektronik.

Orang seakan lupa bahawa kes itu berlaku hanya setelah setahun Kemas diberikan peluang untuk berpindah dengan baik. PAS mengambilalih kerajaan pada November 1999. Kes ini pula memuncak pada Disember 2000. Tempoh setahun itu sebenarnya lebih dari cukup jika Kemas benar-benar mahu mencari tempat alternatif.

Perangkaan dikeluarkan kerajaan negeri menunjukkan sehingga Disember 2000 itu masih terdapat 355 kelas Tabika Kemas beroperasi di balai raya seluruh negeri. Antara balai raya itu bukan sahaja digunakan sebagai kelas Tabika, tetapi juga sebagai markas Peti Undi Barisan Nasional dan Pejabat Umno Cawangan.

Jangan lupa juga meski pun kerajaan PAS Terengganu dicop sangat zalim terhadap kanak-kanak Tabika Kemas, sehingga akhir pemerintahannya pada Mac 2004, terdapat 72 kelas Tabika masih beroperasi tanpa gangguan di negeri itu.

Bagaimana pun, pihak Kemas Terengganu menutup hakikat itu. Apa yang lebih dipertontonkan kepada umum ialah sekeping surat daripada kerajaan negeri yang meminta pihaknya mengosongkan premis milik kerajaan negeri. Surat itu dijadikan bukti bahawa kerajaan PAS telah menghalau kanak-kanak Tabika daripada balairaya.

Kes kedua melibatkan arahan kerajaan negeri agar pihak MARA mengosongkan premis digunakannya sebagai Maktab Rendah Sains MARA-Yayasan Terengganu (MRSMYT) di Besut. MRSMYT adalah program kerjasama pendidikan antara MARA dan YT. Ia mula beroperasi sejak 1995 di Besut dan Dungun.

Setelah PAS mengambilalih Terengganu, pihak Kementerian Pembangunan Usahawan pada Julai 2002 memutuskan untuk tidak meneruskan program berkenaan. Menterinya, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz ketika berucap di Parlimen pada 29 Oktober 2002 menghuraikan lebih lanjut keputusan itu.

"Sebenarnya saya tidak pernah bersetuju (penubuhan MRSM-YT). Waktu dulu menteri kementerian ini ialah orang Terengganu (Dato' Dr Mohd Yusof Nor). Dan waktu itu saya Pengerusi MARA, saya tidak bersetuju. Tetapi dia menteri pada ketika itu, dia buat keputusan dialah, dia menteri. Sekarang saya menteri, saya buat keputusanlah. Saya tidak bersetuju, waktu perkara ini (penubuhan MRSM-YT) dibangkit, saya Pengerusi MARA, pada ketika itu, saya tidak bersetuju," kata Nazri,sebagaimana dicatat pada hansard Parlimen.

Ekoran keputusan menteri itu, kerajaan negeri menerusi YT merancang memanfaatkan kampus sama di Besut untuk pembinaan sebuah kolej sains berteraskan pendidikan agama. Hasrat itu terbukti bukan sekadar omong kosong atau kenyataan politik semata.

Kerajaan PAS Terengganu menubuhkan Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran Yayasan Terengganu (KOSTAQ-YT) di atas penutupan MRSM-YT Besut oleh MARA.

Bagaimanapun surat YT kepada MARA agar mengosongkan kampus di Besut itu diputarbelitkan. Kerajaan PAS dituduh sebagai pihak bertanggungjawab menutup MRSM-YT, bukannya MARA atau menterinya? Dahsyatkan putarbelit dan manipulasi jahat BN itu?

Eksploitasi dan manipulasi serupa tidak mustahil akan dilakukan terhadap surat rasmi kerajaan Selangor jika ia secara bertulis mengarahkan RTM keluar dari Bangunan Sultan Abdul Aziz nanti. - mks.

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive