dipetik: http://marhaen.ngepeng.com
Setelah Datin Seri Wan Azizah, Presiden KeADILan, menyerahkan bantuan banjir kepada PKR DUN Jenderak, PKR DUN Kerdau dan PKR Maran di Bukit Angin Temerloh pada 16, rombongan KeADILan telah beredar ke Bilek Gerakan Banjir BA di Seberang Temerloh mendengar taklimat banjir dari Ketua Bilek Gerakan, Tuan Syed Hamid.
Presiden telah menghulurkan bantuan kepada Bilek Gerakan, kemudian rombongan itu beredar ke SM Seberang Temerloh, disana ditempatkan 500 orang mangsa banjir dari Taman Sri Kerinau dan Kg Paya Luas.
Kaum wanitalah yang sangat gembira melihat Datin Seri Wan Azizah, saya kenal mereka semua, dan mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada Wan Azizah kerana sanggup meluangkan masa melawat mereka.
Dari sana rombongan bertolak ke S.K. Abu Bakar Mentakab, Datin Seri meluangkan masa disana bertanya perkhabaran dengan mangsa-mangsa banjir. Namun, ramai kaum wanita disana mula-mulanya tidak mengenali Datin Seri, tetapi apabila diberitahu, mereka terus bersalam sekali lagi dan ada yang berkata: "Ambuih, malu betul kawan; tak sangka Datin Seri sanggup datang melawat kome".
Rombongan meninggalkan bantuan banjir kepada mereka yang datang dari Kg Tg Kerayong, Kg Rakit dan Taman Sagumpas.
Kemudian, rombongan pergi pula ke S.K. Tamil Mentakab. Disana ramai kaum India dan Melayu dari Taman Taha dan Sg Ara, satu kawasan yang paling teruk dilanda banjir.
Datin Seri Wan Azizah terus menemui mangsa-mangsa banjir, dan kaum wanita cukup gembira melihat Datin Seri.
Apabila kami mahu menurunkan bantuan banjir, seorang pemuda Melayu yang menjadi tukang masak volunteer, menjerit kepada kami, dengan kata-kata kesat. "Jangan turunkan bantuan, kami banyak ada makanan. Kami tak sudi tengok orang Melayu. Tiga, empat hari ini mana ada orang Melayu datang, seekor muka Melayu pun tak ada; kami mendapat bantuan dari Kuil Hindu; kami malu. Ada wakil rakyat Melayu, hanya datang nak tunjuk muka saja; ada pemuda UMNO datang tapi bila kami bising; dia lari entah kemana; inikah sikap pemimpin Melayu? Jadi pemimpin Melayu tak usah datanglah ke sini. Pergi, pegi, pergi........!!! Demikianlah, marahnya pemuda itu."
Saya katakan bahawa hari semalam ada Rombongan dari Rotary Temerloh yang diketuai oleh anak saya, Surina (lawyer) datang beri bantuan, banyak bantuan diberikan. Mendengar itu, pemuda tersebut mula kendur sedikit kerana dialah yang menerimakan bantuan itu.
Saya juga nyatakan bahawa kami adalah rombongan dari KeADILan, bukan UMNO, kami bukan dari Kerajaan. Pemuda itu menjawab: Kalau ada datang dari UMNO kami akan halau, kami juga halau kalau dari Kebajikan Masyarakat. Mereka tak hantar bantuan tapi mengaku dah hantar bantuan, kami tengok dalam senarai mereka kononnya kami dah ambil bantuan. Ini mesti mereka dah aih-agihkan kepada kaum keluarga mereka yang bukan mangsa banjir, katanya dengan marah.
Saya katakan bahawa sebahagian besar dari rombongan kami yang datang ini adalah juga mangsa banjir, tetapi masih mahu membantu mangsa-mangsa yang lain, saya tunjukkan kepada Lawyer Abdullah, rumahnya di Taman Sagumpas dinaiki air tapi sanggup bersama rombongan untuk menghulurkan bantuan, sepatutnya dia berada dirumahnya menjaga harta-benda dalam rumahnya dari kerosakan.
Walau macam mana pun, Pemuda itu tetap enggan menerima bantuan kami. Saya pinta Sdr Nizam ambil gambar saya dengan pemuda itu, dan saya nyatakan kepada pemuda itu nama saya HAJI SUHAIMI SAID, Lawyer Temerloh.
Mendengar itu tiba-tiba dia menjadi sayu, dan berkata: Inilah Haji Suhaimi, malunya saya, dan dia terus menangis, sambil dia memeluk Sdr Syed Hamid dan terus menangis..... Fahamlah kita bahawa Pemuda ini memang marah kepada orang Melayu kerana dia malu bahawa yang datang memberikan bantuan adalah orang-orang Hindu, dan wakil rakyat Melayu hanya tunjuk muka saja. Alhamdulillah, akhirnya kami diterima dengan baik!
Secara peribadi, dan sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat Bahagian Kuala Krau saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datin Seri Wan Azizah kerana dengan bantuan yang dihulurkan PKR Kuala Krau dapat memberikan bantuan kepada penduduk-penduduk Kg Baduk, Kg Teluk Sentang, Kg Purun, Kg Krai, Kg. Pulau Pasir Mandi, Kg Lipat Kajang, Kg Pian, Kg Lubok Wong dan Kg Pasu. Ada beberapa kampong lagi yang tidak mendapat bantuan PKR iaitu kampong-kampong dari Pulau Pasir Mandi membawa ke Kg Rumpun Makmur, dan jika masih ada bantuan dari PKR Negeri atau Pusat, kami turut alu-alukan.
Bekalan kain baju yang dihantar oleh PKR Pusat, dan bantuan duit tunai dari PKR Negeri sebanyak RM400.00 serta kutipan kain baju dari kawan-kawan di Temerloh dapatlah mengurangkan sedikit kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir didalam Bahagian Kuala Krau. Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr Zulfikar yang telah menyusun dengan baik bantuan banjir untuk Bahagian Temerloh dan Bahagian Kuala Krau.
- Suhaimi Said
Kiriman: Yassin Salleh
0 comments:
Post a Comment