dipetik: bolehland.com
Oleh Najwan Halimi
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.
(Surah Al-Baqarah: 34)
Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu semua kepada Adam”, lalu mereka sujud kecuali Iblis. Dia berkata: “Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?”
Dia (Iblis) berkata: “Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.”
Tuhan berfirman: “Pergilah, barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.”
(Surah Al-Israa’: 61-63)
Saya masih ingat, sewaktu masih di tadika dahulu, antara kisah para Nabi yang selalu diceritakan oleh ustazah ialah kisah Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa digoda Iblis. Kisah yang dihuraikan secara ringkas di dalam Al-Quran ini boleh dibaca secara terperinci di dalam kitab Injil Perjanjian Lama dalam bab Genesis.
Menurut riwayat, sebaik sahaja Tuhan selesai menciptakan Adam di syurga, telah diperintahkan olehNya seluruh malaikat agar sujud sebagai tanda memuliakan dan menghormati Adam selaku makhluk baru yang bakal ditabal menjadi khalifah di muka bumi. Para malaikat kesemuanya taat dan sujud sebagaimana yang diperintahkan Tuhan. Pun begitu, terdapat satu malaikat bernama Iblis yang enggan menuruti arahan tersebut.
Ketika disoal oleh Tuhan sebab mengapa sang Iblis enggan tunduk sujud kepada Adam, Iblis dengan angkuh mempertikaikan perintah Tuhan dengan mendakwa adalah tidak layak bagi dirinya untuk sujud kepada Adam memandangkan dia dicipta daripada unsur api sedangkan Adam dicipta oleh Tuhan dengan menggunakan unsur tanah. Iblis mendakwa dirinya (yang dicipta dari api itu) lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding Adam. Kesan daripada keangkuhan dan sifat taksub terhadap unsur kejadiannya itu, maka Iblis diusir keluar dari syurga dan digolongkan oleh Tuhan sebagai kafir.
Dahulunya sewaktu kecil saya hanya melihat skop kisah ini sebagai sebuah cerita tentang bagaimana bermulanya permusuhan antara umat manusia dengan Iblis. Iblis, dek kerana keangkuhan akan asal usul kejadiannya telah dilaknat dan diusir oleh Tuhan dari syurga. Dan sehingga kini, dendam Iblis terhadap keturunan Adam masih membara dengan ikrarnya untuk terus menyesatkan anak cucu Adam sehingga hari kiamat.
Semalam, melalui satu perbincangan bersama dengan seorang teman, saya mulai memahami konteks sebenar kisah ini. Iblis, sebetulnya merupakan seorang rasis dan terlalu taksub dengan unsur kejadiannya iaitu api. Beliau melihat bahawa unsur (baca: bangsa) selain api adalah hina dan rendah martabatnya maka dari itu beliau berasa angkuh dengan bangsanya sendiri sehingga menyebabkan beliau tidak mahu sujud menghormati Adam yang berunsur tanah. Maka, dari pengamatan saya, tidak salahlah kiranya saya mengangkat Iblis sebagai Bapa Perkauman yang pertama dalam sejarah.
Jika diperhatikan kisah dari Al-Quran ini dengan situasi semasa di Malaysia, jelas Iblis mempunyai ramai pengikut yang begitu taksub dan fanatik dengan kaum dan bangsa mereka. Mereka yang tebal semangat perkauman ini mendakwa bahawa mereka mempunyai hak keistimewaan dan bersifat dominan melebihi bangsa-bangsa lain. Apakah kita tergolong dari golongan yang taksub dan angkuh ini? Dan mahukah kita mengikut jejak langkah Iblis yang dilaknat dan dikafirkan oleh Tuhan gara-gara kesombongan dan semangat perkauman yang menebal dalam dirinya?
Apakah ajaran Islam Hadhari mengajar kita menjadi rasis dan bersifat angkuh serta taksub terhadap bangsa kita sendiri? Jika Iblis disingkir dari syurga kerana angkuh dan bersifat rasis, maka layakkah kita yang ikut menuruti sikap Iblis ini bercakap soal Islam dan kemuliaannya?
Jika anda mahu menjadi rasis dan taksub dengan bangsa anda, berwaspadalah kerana Iblis disingkir dari syurga dan bakal dihumban ke neraka disebabkan keangkuhannya dan ketaksuban terhadap unsur kejadiannya (baca: bangsanya) sendiri.
Rujuk juga: Peristiwa 13 Mei Dilawati Semula
0 comments:
Post a Comment