PASIR PUTEH, 18 Dis (Bernama) -- Harapan ibu bapa Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang dijatuhi hukuman mati di China atas dakwaan mengedar heroin Januari lepas untuk bertemu dengannya bakal menjadi kenyataan apabila kedua-duanya berlepas ke negara itu esok.
Umi Slaia Ibrahim, 45, berkata dia dan suaminya Mohamad Lazim Jusoh, 50, akan bertolak pagi esok bersama-sama dua pengiring, yang mewakili PAS Kelantan, dan akan berada di China selama lima hari.
"InsyaAllah harapan kakak untuk bertemu Kak Long akan terlaksana apabila kami berempat dijangka berlepas ke China pada pagi esok," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Kegembiraan Umi Slaia untuk bertemu anak kesayangannya itu jelas terpancar apabila sering menyatakan perasaan gembira dan tidak sabarnya pergi ke China.
"Kakak nak peluk Kak Long sempena Aidiladha ini dan pertemuan ini sangat bererti untuk kakak dan suami," katanya, yang akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 6.45 pagi.
Umi Slaia, yang turut membawa beberapa makanan kegemaran Umi Azlim, amat berharap pertemuan itu nanti akan meleraikan segala teka-teki mereka sekeluarga di sebalik kes dadah itu selama ini.
"Kakak nak dengar sendiri apa cerita sebenar Kak Long sehingga ditangkap kerana kakak tahu Kak Long tidak akan buat perkara seperti ini.
"Kakak tak sabar nak bertemu Kak Long," katanya, sambil tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Bernama, yang menyiarkan berita tentang anaknya dan PAS Kelantan yang sanggup membantu mereka.
Sementara itu, seorang daripada pengiring PAS itu, Hu Pang Chaw berkata kerajaan China hanya membenarkan keluarga Umi Azlim bertemu untuk tempoh setengah jam atau sejam sahaja.
Hu, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan, berkata mereka dijadualkan bertemu Umi Azlim di penjara di Shantou pada Khamis ini.
"Ini hadiah Aidiladha buat keluarga Umi Azlim dan di sana kita akan melihat apa keperluannya termasuk menyediakan peguam atau sebagainya," kata Hu.
Umi Azlim dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu selepas mengaku bersalah mengedar heroin lebih dua kilogram di Guangzhou.
Bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah itu dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh dua tahun selepas dijatuhi hukuman itu.
Dec 19, 2007
Keluarga Umi Azlim Ke China Esok
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment