KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Jan 29, 2008

Keengganan Suruhanjaya Menerima Bukti Menghakis Keyakinan


KeADILan

Kuala Lumpur, 29 Januari - Ketua Umum KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan rasa kecewa beliau di atas keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat skandal VK Lingam untuk tidak memanggil beliau bagi memberikan bukti-bukti konkrit bagi menyelesaikan kes tersebut.

Anwar berpendapat, Suruhanjaya yang diketuai Tan Sri Haidar Mohd Noor di dalam memutuskan untuk tidak menerima bukti wujudnya konspirasi menetapkan keputusan mahkamah telah menghakis keyakinan orang ramai bahawa kerajaan hari ini serius di dalam mengembalikan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Saya amat kecewa bahawa Suruhanjaya Haidar telah memutuskan bahawa saya tidak perlu dipanggil untuk memberikan bukti wujudnya rasuah sebagaimana disebutkan di dalam petikan kenyataan saya yang diserahkan kepadada Suruhanjaya Haidar.

“Saya yakin bukti yang saya dapat berikan mampu membantu Suruhanjaya Haidar untuk mendapatkan kebenaran disebalik kemelut yang melanda sejarah kehakiman Malaysia ini,” jelas Anwar dalam satu sidang media di pejabat beliau di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau menyifatkan keputusan Suruhanjaya untuk tidak membenarkan beliau memberi keterangan sudah semestinya akan menimbulkan tanggapan ada kuasa-kuasa di belakang tabir yang menentukan keputusan tersebut.

Anwar turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertindak segera bagi memastikan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa dapat diyakinkan bahawa kerajaan beliau serius di dalam memerangi rasuah dan benar-benar mahu menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Kuasa-kuasa ini cukup berpengaruh sehinggakan Suruhanjaya ini tidak akan teragak-agak untuk berbuat apa sahaja bagi menafikan saya memberikan bukti, meskipun bukti tersebut sudah semestinya akan membantu menjelaskan keterangan-keterangan lain yang telah diberikan selama ini. Namun, para pesuruhjaya khususnya Tan Sri Haidar tidak mengambil peluang ini untuk mencari punca sebenar skandal ini, tetapi menghabiskan masa mereka dengan isu-isu prosedur dan tafsiran yang terhad tentang bidangkuasa mereka,” ujar beliau kesal.

Tujuan dan matlamat siasatan ini, jelas Anwar ialah untuk memastikan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa hakim-hakim di Malaysia boleh menjunjung keadilan tanpa kecuali.

“Malangnya, para pesuruhjaya mengambil tafsiran yang terhad terhadap terma-terma rujukan dan sekaligus mengelak dari menyiasat rasuah yang paling jijik sekali bahawa keputusan di dalam mahkamah kita boleh diatur, dan bukannya mengapuskan barah rasuah ke akar umbinya,” jelas Anwar.

Sebagai individu yang bertanggung jawab mendedahkan klip video skandal perlantikan hakim kepada umum September 2007 lepas, sebelum penubuhan Suruhanjaya DiRaja ini Anwar telah mendesak agar terma rujukan siasatan ini mestilah cukup luas dan jelas bagi memastikan kemaslahatan umum dipelihara.

Jelas, perkara ini tidak berlaku dan akibat dari terma rujukan yang tidak dihurai dengan baik dan terma rujukan yang terhad, para pesuruhjaya kini telah membuat ralat yang nyata, tegas Anwar.

Di sebalik harapan rakyat yang menggunung untuk melihat kes ini diselesaikan dengan penuh hemah dan tanggungjawab oleh Suruhanjaya Diraja ini, Anwar turut menyeru Abdullah untuk mengambil tindakan segera bagi menjelaskan terma rujukan bagi memastikan bukti rasuah termasuk penetapan keputusan mahkamah bermula dengan penyingkiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas diterimapakai di dalam siasatan ini.

Tambah Anwar, sekiranya kerajaan benar-benar serius di dalam memerangi rasuah serta mengembalikan keyakinan terhadap institusi kehakiman, inilah peluang untuk mereka membuktikan komitmen mereka.

“Sudah sampai masanya Perdana Menteri mengambil tindakan tegas bagi membawa mereka yang merosakkan institusi kehakiman, tidak kira apa jawatan mereka ke muka pengadilan, bukan dengan hanya melaungkan slogan muluk-muluk tentang prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” tegas Anwar.

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive