Seorang lagi kanak kanak hilang. Nampaknya penjenayah tidak bimbang lagi dengan polis kerana penjenayah tidak berminat di dalam soal menyertai perhimpunan. Kalau penjenayah bersama di dalam perhimpunan aman BERSIH atau pun HINDRAF, sudah pasti dia ditangkap dengan mudah. Atau mungkin tidak sempat untuk menyertainya, di dalam perjalanan pun sudah ditahan di dalam sekatan jalan raya yang dibuat seluruh negara sehingga ke setiap jalan masuk ke ibukota.
Bila rakyat sedang riuh rendah dengan kehilangan Sharlinie, maka kembali dan berulang nya episod pencarian seperti yang berlaku ketika kehilangan Nurin Jazlin beberapa bulan yang lepas. Selepas berita itu tersebar, maka mereka didatangi oleh Gerombolan UMNO dan Mat Rempitnya untuk berkhidmat kononnya untuk membantu keluarga mangsa. Di dalam kes ini, PUTERI UMNO pula mencari peluang. Maka bertaburan lah mereka keseluruh pelusuk Kuala LUmpur untuk menonjolkan wajah dan potongan badan untuk dikeluarkan cerita dan berita di media. Semoga dengan kaedah 'perihatin bermusim' itu mampu hendaknya menggoda hati rakyat yang tika ini menanti untuk menyambut Pilihanraya ke 12. Selepas dapat lipuran itu, maka tanggung jawab polis meneruskan penyiasatan dan ketika itu Puteri UMNO akan senyap untuk teruskan persiapan PRU12. Cukup sekadar itu kerana Sharlinie bukan anak aku.
Mungkin ketika ini, ibu bapa mangsa sedang kegelisahan. Tambah tambah lagi apabila mengenangkan kegagalan penyiasatan polis terhadap mangsa Nurin Jazlin. Walau bagaimana pun usaha mesti diteruskan walaupun kekadang sampai ketika selera pun hilang, mood pun tiada. Harapan untuk menemui bertemu jalan buntu dan polis pula bagaikan tidak bersungguh sungguh kerana tanpa maklumat mereka tidak boleh membantu. Ramai yang duduk pejabat dari buat kerja. Siapa sebenarnya yang berusaha kalau jenayah bukan dibuat ditengah jalan tetapi di bilik yang ditutup, jauh dari pengetahun orang lain.
Ibu bapa malang perlu terima hakikat bahawa kehilangan anak anak, tidak sebahaya membuat perhimpunan HARAM. Apabila semua jalan dibuat sekatan dari utara hingga lah selatan. Polis tidak berhasrat untuk menjadikan isu ini besar kerana kehilangan anak bukan lah isu yang boleh merosakkan nama dan masa depan seorang pemimpin. Malah pemimpin pemimpin politik tidak malu pula untuk mengambil kesempatan atas kehilangan anak anak sebagai satu kaedah menonjol muka dan wajah kepada rakyat. Ibu bapa pening kepala, pemimpin politik ambil kesempatan pula.
Dalam mencari siapa pencolek dan penjenayah, maka terkeluarlah keratan lakaran wajah yang disyaki terlibat di dalam kes penculikan ini. Mungkin ada 20 orang yang berwajah sedemikian. Menurut kajian di Amerika Syarikat, lakaran wajah adalah kaedah yang cukup berkesan untuk mengesan penjenayah. Di dalam hal ini mungkin wak bersetuju, tetapi sejauh mana berkesannya lakaran yang dibuat oleh polis berkaitan kes kehilangan Sharlinie ini?
Lakaran itu dibuat selepas lapuran polis dibuat oleh ibu bapa Sharlinie. Tidak diketahui dari mana informasi itu diperolehi sehingga lahirnya lakaran tersebut tetapi jelas bahawa tiada sumber yang boleh dipercayai untuk menyatakan bahawa ianya lakaran sebenar penculik tersebut.
Rujukan berita,
Sementara itu, ibu mangsa, Suraya Ahmad, 28, berkata anaknya Sharliena (kakak mangsa) baru pulang dari sekolah agama dan mengajak Sharlinie pergi mengaji di rumah jiran di belakang rumah mereka.
"Saya nampak mereka bawa Muqaddam, tetapi rupanya mereka ke taman permainan yang tidak pernah mereka pergi sebelum ini.
"Kakak menunggang basikal manakala Nini berjalan kaki," katanya.
Suraya, seorang suri rumah berkata ketika dalam perjalanan pulang dari taman permainan, Sharliena menoleh ke belakang dan mendapati adiknya tiada di belakangnya.
"Setibanya di rumah, Sharliena memberitahu saya Nini hilang di kawasan buaian dan sebelum itu dia tidak sedar adiknya hilang," katanya..
Bila kenyataan diatas dibuat, maka ini menjelaskan kepada kita bahawa lakaran itu bukan lah hasil dari keterangan kakak atau pun keluarganya. Lantas siapa kah pemberi maklumat sehingga lahirnya lakaran itu? Adakah ini episod drama untuk sedapkan hati rakyat di Malaysia?
Kalau sumber diperolehi dari individu yang perlu dirahsiakan, mungkin ada betulnya tetapi bagaimana pula kalau lakaran yang dibuat itu datangnya dari saksi yang bukan saksi? Maksudnya saksi yang tiada ketika kejadian itu. Sudah pasti ia bakal mengelirukan. Tidak mustahil akan berlaku tangkapan secara rambang seperti yang berlaku pada kes Nurin Jazlin dahulu. 3 pemuda yang ditangkap, terpaksa dilepaskan kerana kekurangan bukti. Rakyat yang mendengarnya rasa lega seketika dan berasa tertipu apabila yang tertangkap itu dilepaskan kemudiannya. Dan begitu juga lah perasaan ibu bapa kepada Nurin Jazlin.
Adakah lakaran ini sekadar sedap kan hati atau untuk memberitahu bahawa polis sedang berusaha. Sedangkan ianya sekadar "janji buat" seperti yang pernah di dakwa kepada pihak polis di dalam perbicaraan di Pahang beberapa bulan yang lepas. Adalah lebih baik untuk tidak terlalu berharap kepada yang tidak boleh diharap. Usaha mesti diteruskan. Tidak kira secara jelas atau tidak. Mengharapkan pada satu satu kumpulan itu tidak akan menyelesaikan masalah.
Jadikan kes pembunuhan NURIN JAZLIN sebagai pengajaran kepada ibu bapa yang menerima nasib yang serupa. Sehingga kini, kes itu sepi walaupun kononnya ianya dikatakan masih terbuka dan polis masih mencari pembunuh terbabit.
Ini adalah pengajaran kepada ibu bapa yang masih tidak rasa apa yang mereka rasa. Jangan biarkan anak anda berada di luar pengawasan anda. Jangan biarkan kelekaan dan kemudahan itu sebagai satu peluang kepada penjenayah dan penculik untuk melakukan kerja keji mereka kerana yang susah bukan orang lain, tetapi kita sendiri. Malaysia di dalam keadaan yang amat menyedihkan sekarang. Bangsa asing membanjiri negara disamping kurangnya kawalan dari pihak berkuasa.
Jangan berharap kepada mereka yang tidak boleh diharap kerana mereka rasakan ianya sekadar rutin kerja dan bukan satu tanggung jawab. Cukup masa, mereka pulang kerja dan yang menderita adalah kita. Yang susah kita, yang pening kita dan yang rugi pun kita. Maka betul kan sistem negara, perbaiki sistem keselamatan keluarga dan negara. Kita tidak boleh bergoyang kaki, bersenang hati kerana Malaysia bukan lagi tempat yang selamat.
0 comments:
Post a Comment