Mana janji YB
Harian Metro
Oleh Mohamad Yatim Latip
MELAKA: “Janji tinggal janji“ begitulah perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan nasib seorang lelaki yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah, Rahman Sabirin, 35 dari Kampung Pengkalan Samak, Merlimau dekat sini yang mendakwa masih belum menerima kerusi roda seperti dijanjikan Biro Kebajikan Umno Bahagian Jasin, enam bulan lalu.
Rahman berkata, bantuan kerusi roda itu dijanjikan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof yang melawatnya bersama beberapa pegawainya Jun tahun lalu.
Beliau berkata, kerusi roda itu dijanjikan akan dihantar dalam tempoh dua minggu tetapi sehingga kini bantuan itu belum diterima.
Lebih dikesalkan katanya, pihak terbabit bukan sahaja gagal menunaikan janji mereka malah tiada seorang pun wakil datang mengunjunginya semula untuk memaklumkan alasan gagal menghantar kerusi roda berkenaan.
“Sebenarnya, saya bukan sengaja hendak mensensasikan perkara ini tetapi saya sangat sedih apabila pihak berkenaan tidak mengotakan janji mereka itu sehingga sudah berlarutan selama enam bulan kini.
“Ini kerana, saya sememangnya berharap sangat agar dapat sebuah kerusi roda baru bagi menggantikan kerusi roda lama yang sudah rosak dan berkarat yang saya masih gunakan lebih satu tahun lalu,” katanya.
Rahman berkata, ketika ini, dia menggunakan dua kerusi roda bagi kegunaan untuk mandi dan membuang air besar.
Menurutnya, kedua-dua kakinya lumpuh selepas tulang belakangnya retak akibat terjatuh dari motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Melaka pada 1996.
“Saya dimasukkan ke wad Hospital Melaka selama lebih dua bulan akibat kecederaan teruk dan sehingga kini saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk selamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Rahman berkata, memandangkan keadaan dirinya yang lumpuh dan tidak mempunyai sumber pendapatan kecuali bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 yang diterimanya sejak 1998, dia tidak mampu membeli kerusi baru untuk menggantikan yang lama itu.
Jan 11, 2008
YB UMNO MUNGKIR JANJI
Labels: Belit UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment