Uniknya Malaysia: Belum bersalah dijatuhkan hukuman
Amin Iskandar @ Black
harakahdaily
Sebagai seorang penulis, adalah menjadi satu kebiasaan untuk menghadiri mana-mana perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sama ada parti politik mahupun NGO. Tujuannya adalah untuk mendapatkan bahan-bahan penulisan.
Pada 26 Januari 2008, Gabungan Protes menganjurkan satu perhimpunan untuk membantah kenaikan harga barang yang telah menyebabkan infllasi. Saya juga tidak ketinggalan untuk menghadiri perhimpunan tersebut dengan membawa buku nota dan kamera. Tidak sangka kehadiran saya pada hari tersebut telah menyebabkan saya turut ditahan bersama 58 orang yang lain termasuk seorang wartawan dari Malaysiakini.
Bermula pada pukul 2.30 petang, saya ke Stesen LRT Ampang Park kerana dikatakan Gabungan Protes akan memulakan perhimpunan tersebut. Di kawasan luar Stesen LRT Ampang Park, masih belum ada apa-apa perhimpunan. Tetapi hanyalah penahanan. Saya melihat sendiri bagaimana beberapa orang aktivis ditahan termasuk seorang wartawan dari Malaysiakini yang sedang bertanya soalan kepada polis mengapa mereka menahan aktivis-aktivis tersebut. Tak sangka sekarang ini di zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, wartawan juga boleh ditahan jika bertanya soalan kepada polis.
Dari pukul 2.30 sehinggalah pukul 4.30 petang, saya menyaksikan pelbagai individu dan kumpulan ditahan oleh pihak polis walaupun perhimpunan belum lagi bermula. Jadi pada pukul 4.40 petang saya dan dua orang teman, Adi dan Nora meninggalkan perhentian bas di hadapan Avenue K untuk ke KLCC. Dalam perjalanan masuk ke KLCC kami melihat polis-polis yang bertugas sudah mula membuka topi dan duduk bersantai seperti sudah habis bertugas.
Apabila di dalam KLCC sebelum turun turun ke tingat bawah, kami bertiga dikepung oleh sekumpulan polis yang berpakaian seragam dan yang berpakaian preman. Tanpa memberi penjelasan mengapa kami ditahan, kami dibawa ke dalam trak polis dan kad pengenalan kami diambil.
Kami di bawa ke IPKKL, Jalan Hang Tuah dengan trak polis yang dipandu begitu laju sehingga beberapa kali kami terjatuh di dalam trak. Tidak hairanlah mengapa statistik kemalangan jalanraya begitu tinggi di Malaysia. Polis juga memandu dengan laju dan merbahaya.
Di IPKKL, kami dibawa ke kantin tingkat satu untuk bersama dengan sekumpulan orang lagi yang ditahan. Saya terlihat Mat Sabu, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Hatta, Dr Nasir, Tian Chua, Jonson Chong, Badrul Amin dan ramai lagi di dalam kelompok tahanan. Saya dan dua orang lagi teman membuat laporan polis bagi membantah penangkapan kami. Yang menghairankan, salinan laporan polis tidak diberikan kepada kami.
Di dalam kumpulan tahanan, polis turut menghantar seorang “pengintip” untuk duduk bersama-sama tahanan. “Pengintip” ini berlagak seperti orang yang ditahan. Beliau turut berbual-bual dengan tahanan dan makan apabila tahanan yang lain makan. Sampai begitu sekali takutnya polis kepada aktivis di Malaysia, sesudah menahan, “pengintip” turut dihantar untuk mendapatkan maklumat dari orang tahanan!
Kata-kata kesat
Ramai teman-teman yang berada di luar IPKKL memberikan sokongan. Sorakan dan jeritan slogan mereka telah menggegarkan IPKKL dan memberikan semangat kepada tahanan.
Sembilan jam kami dibiarkan di kantin IPKKL sambil polis mengambil keterangan secara bergilir-gilir dari tahanan sehinggalah ASP Anand mengumumkan bahawa kami semua akan dibawa ke lokap IPKKL yang dahulunya dikenali sebagai Penjara Pudu. Saya, Dr Hatta dan Tian Chua enggan untuk dibawa ke lokap sehinggalah polis terpaksa mengangkat kami untuk dimasukkan ke dalam trak.
Semasa diangkat oleh polis, mereka menggeluarkan kata-kata kesat kepada saya dan menggugut untuk mencampakkan saya ke tingkat bawah. Tali pinggang saya terputus dan baju terkoyak akibat tindakan ganas beberapa orang polis yang mengangkat saya selepas menerima arahan dari ASP Anand.
Kami kemudian dibawa ke Penjara Pudu di dalam trak yang begitu sesak. Di Penjara Pudu, hampir semua tahanan membuat laporan polis. Saya turut membuat satu lagi laporan polis berkaitan dengan cara ganas dan kasar polis membawa saya ke dalam trak polis.
Sebelum masuk ke lokap, kami perlu menyerahkan barangan berharga dan diberikan t-shirt oren. Kasut kami turut diambil. Manakala tahanan wanita dibenarkan masuk kedalam lokap dengan pakaian mereka tanpa perlu memakai t-shirt oren.
Segala urusan penyerahan barang dan pengambilan t-shirt lokap selesai pada pukul 5 pagi sebelum kami dimasukkan ke dalam lokap. Di dalam block E tempat yang dikhaskan untuk kami sudah kelihatan Arutchelvan dan dua orang penyokong PAS yang telah dimasukkan lebih awal. Arul tersenyum menanti kedatangan kami.
Lokap di Penjara Pudu sungguh kotor dan berbau hancing. Polis-polis yang menjaga kami tidak menjalankan tugas dengan sempurna. OKT (Orang Kena Tahan) yang telah duduk lama akan menjalankan tugas-tugas polis untuk menghantar makanan kepada kami. Perkara ini telah dibangkitkan oleh Dr Hatta di hadapan majistret pada 27 Januari 2008 dan telah menyebabkan polis menghantar sendiri makanan kepada kami pada hari kedua tahanan.
Di dalam lokap, polis yang menjaga kami tidak senang duduk. Maklumlah yang ditahan kebanyakannya sudah berpegalaman dan arif tentang undang-undang lokap. Pada hari pertama saya tinggal satu sel dengan Tian Chua dengan seorang aktivis yang masih lagi muda. Seorang tahanan dari blok lain turut menyatakan kehairanannya kepada saya. Beliau berkata, inilah pertama kalinya mereka melihat polis-polis yang menjaga kami tidak senang duduk dan seperti dibuli.
Didakwa di mahkamah
27 Januari 2008 bersamaan dengan hari Ahad , Majistret dibawa untuk tujuan menyambung reman kami. Majistret yang hadir pada pukul 2 petang terpaksa pulang pada pukul 1 pagi untuk mendengar testimoni dari setiap tahanan. Sepuluh orang terpaksa dilepaskan akibat kesilapan polis menulis menangkap dan menulis laporan manakala yang selebihnya ditahan untuk sehari lagi.
Saya masih lagi tidak dapat melelapkan mata seperti pada malam pertama. Kali ini saya telah bertukar ke sel untuk bersama-sama dengan teman saya Adi dan Syed Jaymal, wartawan dari Malaysiakini. Saya menghabiskan masa berbual-bual dengan wartawan dari Malaysiakini tersebut.
Keesokan harinya selepas waktu Subuh, kami tidak lagi masuk ke dalam sel masing-masing. Kami berkumpul di luar sambil menunggu untuk dibawa ke mahkamah. Seperti biasa polis melengah-lengahkan tugas mereka. Akibat menunggu terlalu lama, kami sepakat untuk melantik Dr Dzulkifli dari PAS dan Selvam dari PSM untuk menjadi wakil kami untuk ke pejabat pengurusan Penjara Pudu bagi menanyakan status kami.
Polis yang bertugas terkejut dengan keputusan dan akhirnya menawarkan diri untuk pergi sendiri bagi menanyakan status kami. Begitulah di dalam lokap, semuanya memerlukan aksi dan perjuangan, barulah akan mendapat layanan yang lebih cepat.
Selepas itu kami dibawa ke mahkamah Jalan Duta. Kesemua kami dituduh menyertai perhimpunan aman manakala wartawan dari Malaysiakini dituduh menganggu penjawat awam menjalankan tugas. Kesemua kami tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan pada 16- 18 Jun 2008.
Kami dibebaskan dengan ikatjamin RM1000 dan syarat untuk tidak menyertai mana-mana perhimpunan “haram” selepas ini sehinggalah kes kami dibicarakan. Belumpun kami dibuktikan bersalah, syarat telah diberikan. Jika melanggar syarat, wang jaminan kami akan dirampas dan akan ditahan semula.
Begitulah uniknya Malaysia. Wartawan dan penulis turut akan menjadi mangsa. Oleh kerana pemerintah takutkan kuasa mereka tergugat, orang yang belum dibuktikan bersalah telah dijatuhkan hukuman dengan syarat aneh untuk tidak menyertai mana-mana perhimpunan “haram” pada masa akan datang.
Sehingga hari ini saya masih lagi tertanya-tanya, apakah ke KLCC untuk bertemu dan bersiar-siar bersama rakan-rakan adalah satu perhimpunan “haram”?
Feb 1, 2008
Belum bersalah dijatuhkan hukuman
Labels: Belit BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment