Amaran: Minuman ringan guna label buah ada alkohol
Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS
PULAU PINANG 31 Jan. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati ketika membeli minuman ringan untuk anak mereka kerana ada antara minuman itu mengandungi alkohol.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, minuman ringan itu, yang antara lainnya menggunakan label dan gambar buah-buahan, didapati mengandungi kadar alkohol sehingga 5.5 peratus.
‘‘Minuman itu dijual dalam botol dan tin yang berwarna-warni dengan tujuan untuk menarik perhatian golongan muda terutama kanak-kanak.
‘‘Kandungan alkohol 5.5 peratus itu tinggi, tetapi ia masih lagi bebas dijual kepada kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat CAP di sini hari ini.
Mohamed mendakwa, maklumat mengenai kandungan alkohol dalam minuman itu dicetak dengan kecil dan sukar dibaca yang membuatkan pengguna menyangka bahawa mereka membeli minuman buah-buahan atau minuman ringan.
Beliau menegaskan, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana undang-undang negara ini dengan jelas menyatakan penjualan minuman alkohol dilarang sama sekali kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah.
‘‘Tetapi kini ia dijual dengan bebas kepada pelajar sekolah dan mudah diperoleh di pasar raya besar serta kedai roti sekitar ibu kota,” jelas beliau.
Menurutnya, CAP menerima banyak aduan ibu bapa yang menyatakan bahawa anak mereka sudah mula menggemari minuman ringan beralkohol itu.
‘‘Mereka bimbang anak mereka mungkin menjadi penagih alkohol disebabkan minuman ringan itu mengandungi kandungan alkohol yang tinggi,” ujarnya.
Ekoran pendedahan itu, Mohamed berharap pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menjual minuman itu kepada golongan muda.
Feb 1, 2008
JUAL DULU, LARANGAN KEMUDIAN
Labels: Pelik Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment