KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Feb 4, 2008

Jadilah Ulul Albab, bukan pemilik fikiran lembab


MINDA MUFTI: Jadilah Ulul Albab, bukan pemilik fikiran lembab


ISTILAH Ulul Albab adalah istilah yang dipelopori oleh al-Quran al-Karim. Ia bukan cetusan idea mana-mana tokoh ulama, atau penceramah motivasi atau pemimpin politik.

Maka tidak boleh sesiapa yang ingin menggunakan istilah-istilah al-Quran membuat tafsiran tersendiri yang tersasar daripada maksud Penurun al-Quran iaitu Allah azza wa jalla.

Ada berbagai syarikat, jenama, pusat, institusi, cuba menggunakan nama ini. Itu bukanlah kesalahan jika mereka berusaha menghayati ajaran al-Quran yang agung.

Namun malangnya apabila ada yang cuba menafsirkan perkataan, atau memulas-mulas istilah agar selari dengan kehendak masing-masing.

Maka wajah al-Quran yang kudus dan murni sering dimanipulasi oleh kepentingan manusia.

Apabila YAB Perdana Menteri Malaysia menyebut dalam salah satu ucapannya pada tahun 2006 tentang generasi Ulul Albab, tidak ramai yang memberikan sambutan yang sewajarnya.

Kecuali di Terengganu kedengaran slogan Ulul Albab itu berkumandang dan diberi perhatian yang baik.

Saya tidak pasti kenapa. Barangkali masyarakat kita tidak cukup ‘mesra’ istilah atau slogan yang termuat dalam al-Quran.

Atau mereka terbayang perkataan ‘Ahmad Albab’ yang popularkan oleh P.Ramlee dalam filemnya “Tiga Abdul’ sehingga menenggelamkan istilah al-Quran yang agung ‘Ulul Albab’.

Ataupun mungkin penekanan dan kempen ke arah menghayati maksud Ulul Albab ini tidak cukup kuat seperti kempen kepada slogan-slogan lain.

Apapun saya sukakan slogan ini melebihi slogan-slogan baru lain yang sering cetuskan oleh berbagai pihak dalam masyarakat kita.

Ini kerana Ulul Albab adalah istilah yang dipelopori oleh al-Quran.

Istilah-istilah baru yang lain itu kadang-kala memberi ruang kepada banyak pihak untuk mempertikaikannya atau berlaku salahfaham terhadapnya.

Adapun kempen menghayati istilah ini tidak boleh dipertikaikan oleh seorang muslim kerana ianya adalah kempen kepada menghayati al-Quran.

Perkataan ‘ulul albab’ disebut dalam al-Quran sebanyak enam belas kali. Ahli-ahli tafsir hampir keseluruhan bersepakat bahawa perkataan Ulul Albab yang digunakan oleh al-Quran ini merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat.

Kemuncaknya mereka akan menemui hakikat kebenaran yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Apabila kita menyebut tentang pemikiran yang matang dan berkemampuan membuat penilaian yang betul bukanlah semestinya bermaksud pemikiran mereka yang berkelulusan pusat pengajian tinggi.

Walaupun itu satu langkah untuk mematangkan fikiran, namun entah berapa ramai yang berkelulusan tinggi tetapi berakal dangkal.

Maka membina golongan Ulul Albab bukan sekadar membanyakkan universiti atau pondok, atau penghafal buku dan matan tanpa kematangan fikiran.

Sebaliknya adalah dengan mengujudkan persekitaran negara dan masyarakat, dasar dan falsafah yang membina akal yang matang sehingga dapat membezakan antara yang benar dan salah, antara yang buruk dan baik, antara yang berfaedah dan sia-sia dan seterusnya.

Lihat Allah sifatkan golongan Ulul Albab ini; (maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).

Maka tidak termasuk dalam golongan Ulul Albab mereka yang menelan apa sahaja berita yang didengar dan khabar yang disampaikan tanpa mampu membuat penilaian yang baik.

Bukan dari golongan Ulul Albab masyarakat yang dipenuhi dengan berita palsu, khabar angin, fitnah mengfitnah dan segala keburukan yang lain. Juga bukan Ulul Albab masyarakat yang menelan apa sahaja khabar yang termuat dalam media dan internet tanpa mampu membuat penilaian yang betul.


Bahkan saya kata; tidak menjadi Ulul Albab mereka yang mendengar ceramah di masjid atau surau jika menelan semua yang diceramahkan itu tanpa menilai dengan nilaian yang betul dan matang.

Bukan sedikit juga pandangan atau pendapat yang dibuat atas nama agama atau oleh orang yang bergelar agama tetapi tidak menepati agama.

Bukan sedikit jua mereka yang memakai gelaran ‘pensyarah pengajian tinggi’ atau ‘pakar itu dan ini”, namun dalam banyak perkara mereka hanya mengikut tanpa berfikir, menurut tanpa memahami.

Justeru itu golongan Ulul Albab hanyalah “mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik”.

Dalam membentuk insan yang berkualiti kita memerlukan beberapa rukun utama. Pertamanya; sukatan pengajaran atau pendidikan yang memenuhi hala tuju yang kita ingini.

Kedua: guru atau pembimbing, sama ibu bapa, pemimpin politik, atau guru formal yang diamanahkan.

Mereka ini hendaklah menghayati secara amal dan faham terhadap hala tuju pembentukan insan berkualiti ini dan mampu membentuk rakyat atau para penuntut mereka.

Ketiga; suasana persekitaran yang memberansangkan agar segala ajaran yang baik dapat dihayati dengan sepenuhnya. Ini kerana persekitaran memainkan peranan penting mempengaruhi jiwa dan kelakuan manusia.

Ertinya dalam negara ini, jika modal insan berkualiti ini hendak dibentuk kita memerlukan kejelasan sukatan dan hala tuju masyarakat kita. Ke arah mana hendak kita bentuk sebenarnya?

Kedua; para guru dan pemimpin di setiap peringkat hendaklah berkemampuan menyampaikan dan menghayati hakikat pembentukan insan yang bertamadun ini.

Ketiga; persekitaran kita hendaklah dibersihkan dari nilai-nilai kebodohan, khurafat dan contoh-contoh buruk yang ditabal menjadi baik. Di situlah kita inginkan peranan para pemikir soleh yang menggariskan hala tuju, pemimpin yang terdiri dari golongan Ulul Albab dan media yang membentuk persekitaran yang baik lagi harmoni.

Jika tidak, kempen ke arah membentuk modal insan hanya menjadi kempen kosong. Sekalipun sekolah dan universiti ditambah, namun hasilnya tetap tidak membawa kepada masyarakat berprinsip, damai, harmoni lagi sejahtera. Jika kita ingin berkempen ke arah generasi Ulul Albab, maka segala hala tuju, pemimpin dan guru dan persekitaran kita hendaklah melambangkan kematangan fikiran yang mampu membawa kita menemui hakikat kebenaran seperti yang dikehendaki oleh Tuhan.

Apatah kita akan berjaya membentuk generasi Ulul Albab jika artis-artis kita asyik menggayakan dan mencontohi artis Barat tanpa sempadan akal dan agama? Segala macam gaya pelik lagi songsang cuba dibawa ke dalam masyarakat kita yang mempunyai latar agama dan budayanya yang tersendiri.


Aksi-aksi tidak masak yang melambangkan kedangkalan atau kebudak-budakan yang cuba ditiru secara ‘mengkhinzir buta’ dari gelagat artis-artis Barat. Ini seperti yang dibuat oleh salah seorang penyanyi baru-baru ini. Lalu para peminat yang tidak hanya gilakan keseronokan semata meniru dan mempertahankannya.

Nilai-nilai yang negatif cepat sahaja berkembang dalam masyarakat kita, padahal kebanyakan kita sekarang mempunyai latar pendidikan yang bukan sebarangan. Barangkali pengajian kita lebih banyak menegaskan soal penghafalan fakta, dan kurang pula membentuk kemampuan menilai fakta secara matang dan berprinsip. Lalu ramai yang hanyut dalam ‘cakap orang’.

Al-Quran dalam mensifatkan golongan Ulul Albab menyatakan: (maksudnya) 100. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun jumlah banyaknya yang buruk itu telah mengkagumkan engkau. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai Ulul Albab supaya kamu berjaya (Surah al-Maidah: 100)

Di atas kelemahan minda analisis sesetengah masyarakat muslim, maka tidak hairan jika dalam keadaan kita ingin membentuk pemikiran matang dan bertamadun tiba-tiba media kita menyiarkan cerita para bomoh meramalkan tentang adik Sharlinie yang hilang. Kita amat bersimpati dengan kehilangan adik Sharlinie berkenaan dan mendoakan agar Allah mengembalikannya dengan selamat. Namun penggunaan bomoh yang seperti itu amat mendukacitakan kita.

Apabila saya melihat mereka menggunakan burung yang lepaskan ke udara dalam mencari adik berkenaan, mengingatkan saya tentang amalan masyarakat jahiliah dahulu yang menggunakan burung untuk meramalkan nasib baik dan buruk mereka. Apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda melarang perbuatan jahiliah ini dengan berkata: “Kekalkan burung pada sarangnya” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Kata al-Imam al-Syafie (meninggal 204H): “Dahulu golongan jahiliah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Sekiranya ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas anggapan tuah tersebut. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda menyeru orang ramai: “Kekalkan burung pada sarangnya”. (Abu Nuim al-Asfahani, Hilyah al-Auliya, 9/95, Beirut: Dar al-Kitab al-’Arabi).

Ertinya Nabi s.a.w berkempen membuang pemikiran dan karut seperti itu dari masyarakat jahiliah. Jahiliah bermaksud bodoh iaitu dari perkataan jahil. Setelah seribu empat ratus tahun berlalu, iba-tiba kebodohan itu muncul semula dengan liputan yang meluas di dada-dada media dalam sebuah masyarakat yang ingin membina tamadun.

Kita kadang-kala bukan sahaja mengutip perangai jahiliah, tetapi khurafatnya sekali. Saya selalu berkata; drama kebanyakan bomoh hampir sama. Heronya ialah bomoh itu sendiri, penjahatnya adalah hantu dan sesiapa yang berkait dengannya. Sementara mangsanya adalah pengadu yang akan membayar ‘mengkerasnya’.

Maka apa penyakit pun, jika kita berjumpa bomoh, kebanyakannya akan menuduh hantu itu dan ini. Jika anda mengidap ketumbuhan dalam perut yang disahkan oleh doktor pakar, anda bertemu bomoh, dia akan beritahu anda hantu sedang menggigitnya. Sehingga saya rasa mungkin hantu-hantu juga banyak yang rasa tertekan dan kecewa kerana mereka asyik difitnah oleh bomoh sekalipun dalam perkara-perkara yang mereka tidak lakukan.

Saya bukanlah menafikan kewujudan jin atau syaitan dan kemungkinan mereka melakukan kejahatan kepada insan-insan tertentu. Tetapi pemikiran yang berlebih-lebihan hanya akan memandulkan akal kita dan menjadikan otak seseorang sempit dan boleh membawa kepada kekarutan.

Namun masyarakat kita masih tidak mempunyai nilai kematangan akal yang tinggi dalam memastikan minda umat kita ini membangun. Majalah-majalah keluaran termpatan yang dijual secara meluas di sana sini kadang-kala sesetengahnya tidak lebih bagaikan sampah- sarap yang cuba dilonggokkan dalam pemikiran generasi kita.

Kisah-kisah hantu dan sensasi artis mendapat sambutan dalam masyarakat kita. Sementara bahan-bahan ilmiah disambut hambar oleh segelintir manusia sahaja. Demikian perfileman kita. Cerita-cerita yang merendahkan nilai akal serta ala ‘lawak bodoh’ menjadi hidangan yang digemari oleh kebanyakan penonton kita. Sementara filem yang mempunyai kualiti ilmu dan kaya dengan falsafah yang matang jarang diterbitkan. Atau jika diterbitkan pun akan gagal mendapat sambutan.

Mana perginya pendidikan dan kematangan minda yang sepatutnya sentiasa membuat kita memilih yang terbaik, sesuai dengan sikap Ulul Albab. Firman Allah: (maksudnya) “Allah memberikan hikmat kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak, dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan Ulul Albab”. (al-Baqarah: 269).

Saya amat anti apabila mendengar sesetengah penceramah menyebut bahawa dalam agama ini semua yang diterangkan oleh tok-tok guru mesti diterima sahaja, jangan banyak pertikai atau soal. Bahkan mereka mengangkat slogan “barangsiapa banyak bertanya itu maka lemahlah imannya”. Akhirnya, sehingga sesetengahnya disesatkan guru-guru tarikat mereka, atau diselewengkan oleh ustaz-ustaz mereka.

Punca utama kesesatan kebanyakan manusia ini adalah anggapan bahawa akal perlu dimandulkan tanpa perlu bertanya dalil atau hujah apabila berhadapan dengan golongan agama. Seakan ajaran Islam ini anti akal yang matang yang sentiasa menilai apa yang didengar. Padahal akal yang matang itulah ciri golongan Ulul Albab yang diseru oleh al-Quran.

Kata tokoh pemikir semasa Muhammad al-Ghazali r.h: “Aku begitu berang dan marah apabila difahami agama itu sebagai kecenderungan kepada perkara-perkara ghaib yang kabur, atau menuruti perasaan yang tidak pasti. Seakan iman itu pemikiran yang pasif, sementara anti iman pula adalah pemikiran yang aktif. Atau seakan insan mukmin itu tunduk kepada kejahilan, sementara orang lain pula menyingkap penemuan baru dan mencari ilmu pengetahuan. Boleh jadi golongan yang menyandarkan diri kepada agama ini terdiri dari kalangan yang buruk pemikirannya, atau berpenyakit fitrahnya, namun apalah dosa agama ini sehingga disandar kepada mereka, atau mereka pula yang membawa agamanya” (Muhammad al-Ghazali, ‘Ilal Wa Adwiah, 36, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Maka jadilah kita golongan Ulul Albab, bukan golongan berfikiran lembab.

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive