riwayathayat.blogspot
Semalam saya bersama beberapa orang teman sekampus ikut serta menghadiri majlis ceramah yang dianjurkan oleh PKR-PAS di kawasan flat Desa Mentari, berdekatan dengan Sunway Pyramid, Subang Jaya. Kami bertolak dari Bangi sekitar jam 8.30 malam dan tiba setengah jam kemudian.
Sepanjang jalan menuju ke lokasi majlis, kelihatan bendera-bendera PAS dan PKR berkibaran. Sebuah tanah lapang di mana letaknya lokasi bilik gerakan UMNO-BN kelihatan sepi dan malap, meski pun bendera-bendera parti kelihatan menghiasi di sekeliling kawasan tersebut. Kami turut melintasi sebuah gelanggang futsal yang khabarnya dibina beberapa bulan lalu sebagai 'gula-gula' pilihanraya bagi memancing perhatian generasi muda kawasan terbabit. Kelihatannya seperti sebuah pertandingan sedang berlangsung.
Setibanya kami di lokasi majlis, aktivis PKR sedang memberikan taklimat berhubung dengan beberapa isu. Hadirin yang memenuhi kawasan ceramah dianggarkan sekitar 500 orang pada waktu itu. Turut kelihatan ialah sekumpulan pegawai polis yang memantau keadaan. Begitu pun, sekitar jam 9.15 malam, sebaik majlis mahu dimulakan, seorang pegawai polis yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Polis Petaling Jaya mencapai mikrofon di podium dan mengumumkan bahawa majlis ceramah tersebut tidak mendapat permit dan meminta semua hadirin bersurai.
Suasana mulai menjadi riuh-rendah dengan rungutan tidak puas hati dari para hadirin yang membantah pengumuman polis tersebut. Rundingan dilakukan dengan pihak polis pun demikian kelihatannya seakan-akan polis tidak mahu berkompromi. Khabarnya ada arahan dari 'pihak atas' yang tidak mahu majlis tersebut diadakan. Kata pihak polis, "kami hanya menjalankan arahan".
Jam 9.40 malam, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba dengan disambut oleh sorakan semangat para hadirin yang semakin ramai. Dianggarkan hampir 1000 orang berkumpul di luar bilik gerakan PKR-PAS untuk mendengar ucapan Datuk Seri Anwar. Podium yang pada mulanya diletakkan di perkarangan bilik gerakan dialih oleh pihak polis ke dalam. Datuk Seri Anwar seterusnya berunding dengan pihak polis agar dibenarkan berucap. Suasana riuh kedengaran dari luar. Masing-masing yang hadir mencemuh dan mencela sikap bacul polis dalam menghalang majlis tersebut.
Rundingan berjaya, Datuk Seri Anwar kemudiannya memulakan ucapan. Hanya 20 minit sahaja yang dibenarkan untuk beliau. Dalam masa sesingkat itu, beliau menyentuh pelbagai isu merangkumi spekulasi kenaikan harga minyak, tuntutan gaji minimum, skandal PKFZ yang melibatkan pimpinan MCA, skandal pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi yang melibatkan seorang menteri kabinet, juga perkembangan tentang siasatan pita video Lingam.
Apa yang dikesali, sepanjang Datuk Seri Anwar berucap, pihak polis tidak membenarkan speaker di luar bilik gerakan daripada dihidupkan. Speaker yang terletak didalam bilik gerakan pula dihalakan ke arah dalam oleh pihak polis. Kesannya, hadirin yang berada di luar bilik gerakan tidak dapat mendengar dengan jelas inti ucapan Anwar. Ini ditambah pula dengan gangguan yang dilakukan oleh sekumpulan pemuda, disyaki sebagai 'perkakas' UMNO yang diupah untuk membuat bising dengan meniup sejenis semboyan yang mengeluarkan bunyi seakan-akan bunyi katak. Cukup menjengkelkan!
Tepat jam 10.25 malam, pihak polis mengisyaratkan agar Datuk Seri Anwar menghentikan ucapannya. Datuk Seri Anwar, dengan penuh hemah akur sambil menyatakan kepada semua agar memberikan kerjasama kepada pihak polis. Ketika mahu meninggalkan majlis, ratusan penyokong menyerbu ke arah beliau untuk bersalaman dan memeluknya. Tempikan "reformasi", "hidup Anwar" dan "hidup rakyat" bergema memecah lautan penyokong yang dianggarkan mencecah 1500 orang.
Hadirin kemudiannya bersurai meninggalkan majlis. Ada yang mengikuti majlis seterusnya yang berlangsung di Kampung Sungai Kayu Ara di Damansara Utama. Saya bersama teman-teman menjenguk-jenguk gerai buku yang dibuka di dalam bilik gerakan. Kami kemudiannya ke restoran berhampiran untuk minum. Seorang teman yang baru pertama kali menghadiri ceramah Anwar nyata terkejut dengan apa yang berlaku. Keluh beliau, jika beginilah layanan terhadap majlis-majlis yang diadakan oleh parti pembangkang, bagaimanalah pula agaknya layanan SPR terhadap mereka dalam Pilihanraya Umum akan datang ini.
Demikianlah secebis kisah demokrasi di Malaysia. Jika di media, pimpinan kerajaan sibuk mencanangkan bahawa Anwar Ibrahim sudah tidak diterima rakyat, sudah tidak relevan lagi. Apa yang pasti, semakin kuat mereka berkempen untuk menjatuhkan beliau, semakin hebat sokongan yang diterimanya daripada rakyat. Ketakutan dan keresahan pimpinan UMNO-BN negeri Selangor jelas terlihat malam semalam apabila mereka menggunakan polis untuk menghalang majlis ceramah tersebut.
Jika Anwar Ibrahim sudah tidak relevan, apa yang perlu dibimbangkan? Biarkan sahaja beliau bercakap. Usahlah menjatuhkan maruah dengan bertindak bacul memperalatkan polis untuk menjadi 'perkakas' politik kalian!
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
4 hours ago
0 comments:
Post a Comment