niknazmi.com
Sudah sekian lama Keadilan Bahagian Kelana Jaya bertungkus lumus untuk Ceramah Perdana semalam di Pusat Khidmat Masyarakat kami di Desa Mentari. Permohonan permit polis sudah dibuat, puluhan kain rentang sudah dipasang, ribuan handbill, SMS dan jemputan Facebook sudah dihantar.
Apabila saya tiba di Desa Mentari bersama ibubapa saya kelihatan sudah ramai anggota polis di sana - ada sekurang-kurangnya tiga puluh orang berpakaian seragam (SB wallahualam lah). Pihak UMNO di saat akhir menganjurkan kejohanan futsal remaja betul-betul bertentangan tapak ceramah. Hari sebelumnya MB Selangor Datuk Seri Khir Toyo hadir di Desaria, tidak jauh di Desa Mentari.
Tidak lama kemudian tayangan perhimpunan Bersih 10 November dibuat. Tiba-tiba pihak polis meminta agar tayangan dihentikan ‘kerana mengganggu penduduk setempat’. Kami akur, dan menghentikan tayangan tersebut.
Kehadiran makin bertambah, dengan pelbagai kaum - kira-kira 60% Melayu, 30% India dan 10% Cina. Saudara Halimey, Ketua Angkatan Muda Selangor dan juga Kelana Jaya memulakan majlis dengan meminta hadirin memberi tepukan gemuruh kepada pasukan polis kerana kerjasama mereka. Beliau juga menggesa agar semua bertenang dan menjaga tatatertib meskipun provokasi dari kelompok UMNO di padang futsal.
Tetapi apabila nampak hadirin mencapai kira-kira 3,000 orang pihak polis berubah fikiran. Mereka bertemu pimpinan bahagian dan minta ceramah dihentikan. Speaker yang berada di padang mesti dicabut, dan speaker yang berada di Pusat Khidmat dihalakan ke dalam.
Namun orang ramai tidak takut. Kebanyakan terus berada di padang, dan memberi sambutan hangat sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba sekitar jam 9.45 malam. Selepas berunding dengan polis, mereka membenarkan beliau bercakap hanya di dalam Pusat Khidmat. Walaupun hanya sayup-sayup kedengaran di luar, orang ramai tidak berganjak walaupun seinci.
Seorang anggota Puteri UMNO cuba mendengar ceramah Datuk Seri dengan duduk di depan, dekat dengan premis kami. Beliau menerima baik risalah yang kami berikan. “Buat apalah polis ni ramai-ramai di sini. Kalau cari Sharlinie kan lagi bagus?”
Bagi penduduk Desa Mentari tentu lebih terasa ironi kehadiran polis sebegitu ramai. Sebelum insiden Sharlinie hampir mustahil bertemu polis di kawasan perumahan mereka. Bukannya mereka tak mahu menjaga anak-anak mereka, tetapi kebanyakannya memegang dua kerja untuk menempuhi kenaikan harga. Anak-anak pula lebih suka bermain di atas tanah, memandangkan rumah flat mereka agak sempit dan tidak selesa.
Pada akhir ceramah tersebut,, anggota Puteri UMNO tersebut antara puluhan orang ramai yang mendaftar menjadi ahli KeADILan. Kejohanan futsal tersebut terus berlangsung, walaupun kebanyakan remaja tersebut bersekolah pada hari ini!
Sebaik sahaja naik kereta untuk pulang, bapa saya yang sudah berusia 77 tahun mengeluh, “Apa nak jadi pada negara ini?”
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
4 hours ago
0 comments:
Post a Comment