agendadaily.
Nama Triang di Pahang jarang sekali menjadi sebutan.Begitu juga nama Leong Ngah Ngah.Namun dalam konteks politik nasional khususnya Pahang…kawasan yang tidak jauh dari Temerloh itu menjadi duri dalam daging bagi Barisan Nasional.
Bukan satu tetapi sudah empat penggal ia dipegang oleh DAP.Dalam pilihanraya umum Mac 2004 ia satu-satunya kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi oleh pembangkang.
Triang merupakan salah satu dari tiga kawasan DUN dalam kawasan parlimen Bera.Dua lagi Guai dan Kemayan dimenangi oleh calon BN dari UMNO.
Mampukah BN goncang Triang dalam pilihanraya umum ke 12 ini ? Leong Ngah Ngah sudah ‘berkampong’ di kerusi DUN itu sejak tahun 1990.
Ini menjadi cabaran terbesar bagi Datuk Ismail Sabri Yaakob yang baru sepenggal menjadi ahli parlimen Bera.
Bapa kepada penyanyi Dafi AF5 ini - juga Ketua UMNO Bahagian Bera yang akan mengetuai jentera BN kawasan itu tahu ia bukan satu kerja mudah.
Leong Ngah Ngah tentu ada sesuatu keistimewaan tersendiri sehingga berjaya bertahan di situ selama 18 tahun.
“Orang kata dia orang baik…dia down to earth …dia macam Nik Aziz ( Menteri Besar Kelantan) …itu pandangan orang,” kata Ismail ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau mengakui cara untuk berentap dengan Leong Ngah Ngah bukan corak kempen hentam menghentam seperti BN berdepan dengan pembangkang di tempat lain.
“Kami tak boleh attack peribadinya.Kalau attack peribadinya ia pasti backfire .Ini kerana tidak ada cacat cela pada peribadinya.Satu-satunya pendekatan yang boleh kami ambil ialah kena jadi orang yang lebih baik darinya,”katanya.
Kekuatanya selain dari anak tempatan ialah personal touchnya dengan penduduk di situ.Beliau dikenali orang yang simple habis.Kereta yang dipandunya dari dulu sampai sekarang ialah Mercedes model lama.
Jawapan Ismail itu sendiri sudah cukup untuk mengambarkan bagaimana Leong Ngah Ngah di kaca mata pengundi Triang.
Walaupun berlainan parti Ismail tidak ada masalah dalam hubungannya dengan Leong Ngah Ngah.
Sebagai ahli parlimen bagi kawasan seluruh Bera beliau selalu juga menghadiri majlis-majlis di Triang bersama-sama dengan wakil rakyat DAP itu.
“Kami juga pernah bersama-sama potong ribbon perasmian majlis dan sebagainya,”katanya.
Pada pilihanraya umum 2004 wakil rakyat DAP itu menewaskan calon BN dari parti Gerakan Tan Ah Been dengan majoriti 605 undi.Leong Ngah Ngah dapat 5,845 manakala Tan Ah Been 5,240 undi.
Namun jumlah majoriti itu sudah merosot berbanding apa yang diperolehinya pada pilihanraya umum 1999.Waktu itu calonnya juga Tan Ah Been.
Di dua kerusi lain ,Guai calon BN dari UMNO Hamzah Ibrahim menewaskan calon PAS Abdul Aziz Yaacob dengan majoriti 1,521 manakala di Kemayan calon Bn dari UMNO Mohamad Hayani Abdul Rahman kalahkan calon Parti Keadilan Amir Abdul Aziz dengan majoriti 2,599.
Enam puluh peratus pengundi di Triang terdiri dari orang Cina,30 peratus Melayu dan bakinya orang India dan lain-lain.
Sebagai wakil pembangkang,Leong Ngah Ngah memang tidak boleh salurkan pembangunan di kawasan itu.
Kata Ismail kebelakangan ini BN tidak menyisihkan Triang.Banyak permintaan penduduk di situ dipenuhi.
“Saya berpandangan kita tidak boleh sisihkan mereka dengan kata-kata kamu sokong DAP itu tanggong sendirilah.Apa permohonan mereka kita bagi juga.
“Contohnya di kawasan Tiang Estate.Di situ 60 peratus penduduknya sokong DAP.Ada satu jambatan lama dah nak roboh dari zaman dulu tak pernah dibaiki.Mereka minta saya baiki…saya baiki.
“Ini dah kurangkan kemarahan mereka pada BN.Bila jambatan itu siap mereka cukup gembira.Kadang-kadang mereka kata bukan tak suka you tapi bila dah brand kita DAP…tak peduli langsung,”katanya.
Menurut Ismail walaupun beliau tidak pasti samaada sikap terbukanya itu boleh mendorong mereka mengundi BN atau tidak tetapi sekurang-kurangnya ia membantu mendekatkan mereka dengannya.
Apa masalah terbesar dikalangan penduduk di Triang? Ahli parlimen itu memberitahu isu tanah haram.Ramai yang meneroka tanah secara haram sejak sekian lama.Mereka mengharapkan dapat geran.
Satu hal yang tidak kurang menarik ialah sekalipun undi bagi kerusi DUN Triang,calon BN kalah tetapi dalam undi bagi kerusi parlimen,BN dapat lebih dari DAP di situ.
“Calon BN bagi kerusi DUN kalah 605 undi sebaliknya saya menang lebih 1,000 undi di situ.Jadi ini menunjukkan pengundi di Triang undi tak kira parti.Dia tengok calon.Sebab itu undi untuk kerusi parlimen lebih,”kata Ismail.
Harapan untuk menawan Triang juga banyak bergantung pada hubungan antara parti komponen khususnya MCA dengan Gerakan.
“Kalau MCA dah terima hakikat sampai bila pun calonya tak boleh menang di Triang maka dia harus beri sokongan kepada calon Gerakan,”kata Ismail.
Ikut ceritanya masalah di sini ialah MCA masih mengharapkan kerusi itu.Dari segi politiknya orang MCA rasa jika calon parti Gerakan menang maka sampai bila pun ia tidak akan dapat kerusi itu.
“Kalau ada perasaan macam tu..jadi bagi mereka kalah lagi baiklah,”katanya.
Pada pilihanraya 1999 dan 2004 calon Gerakan bertanding di situ.Dua pilihanraya sebelumnya pula calon MCA.
Selain dari masalah antara MCA dan Gerakan ikut ceritanya masalah dalaman juga wujud dikalangan ahli Gerakan di situ.
Ini kerana Ketua Bahagian Gerakan di situ adalah orang Datuk Kerk Choo Teng yang tewas dalam pemilihan jawatan Presiden Gerakan lawan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik tidak lama dulu.
Masalah dalaman ini menyebabkan kumpulan itu menutup bilik-bilik gerakan pilihanraya mereka dan ia kini diambilalih oleh orang-orang baru yang sokong Keng Yaik.
Menjawab soalan tentang hal ini,Ismail berkata beliau tidak dapat membuat jangkaan sejauh mana kesan perpecahan itu pada pertandingan di kerusi DUN Triang kelak.
“Saya sedar menang ada sikit masalah dalaman di situ,” katanya.
Bagaimana pula dengan kerusi parlimen Bera?
Ismail tidak nampak sebarang masalah bagi BN mempertahankan kerusi itu dalam pilihanraya umum kali ini.
Beliau menewaskan calon PAS Abdul Wahab Ismail dengan majoriti 4,470 dalam pilihanraya 2004.Ismail mendapat 16,714 undi manakala Abdul Wahab 12,244 undi.
Dari keputusan itu menunjukkan beliau memang kena berentap dengan PAS juga kali ini.
Secara keseluruhan Bera merupakan kawasan peneroka Felda.Kini terdapat 12 rancangan Felda di kawasan itu.Kebanyakan penduduk di situ bukanlah anak Pahang asli tetapi peneroka yang datang dari berbagai negeri lain.
Sekalipun terpaksa jaga kubunya sendiri jika dipilih semula bertanding kawasan parlimen itu harapan Ismail tertumpu Triang.
Ini bagi memenuhi impian BN Pahang untuk pegang 100 peratus kerusi DUN.
Mengikut perkembangan terbaru ada kemungkinan Leong Ngah Ngah tidak bertanding dalam pilihanraya kali ini.
Setelah empat penggal,beliau sudah berbunyi kata ‘dah letih’ dan akan mencadangkan muka baru dari partinya bertanding mengantikannya.
Jika benar Leong Ngah Ngah berundur apakah ini memberi sinar kepada BN?
“Saya tak berani kata BN yakin boleh menawannya tapi ada harapan lebih-lebih lagi berdasarkan pada kemerosotan majoriti undi DAP di situ.Isu di sini lebih kepada sentimen.Semoga pengundi Triang lebih berpandangan jauh kali ini, ”katanya.-
NAK BLOCK BUAT APA.
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment