Internet, blog pengaruhi persepsi pengundi
PENGGUNAAN Internet secara meluas di seluruh pelosok dunia telah mempercepatkan proses pensejagatan dan globalisasi. Teknologi maklumat seperti Internet dikatakan lama-kelamaan akan membentuk sikap, pandangan malahan budaya di kalangan masyarakat negara ini khususnya dan dunia secara umumnya.
Pembentukan sikap dan pandangan akan memberi kesan kepada perkara-perkara lain dalam kehidupan manusia termasuk dalam menentukan pemerintahan sesebuah kerajaan. Keadaan ini dilihat berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).
Serangan terhadap Barisan Nasional (BN) melalui laman-laman blog dan Internet dilihat antara faktor yang telah mempengaruhi pengundi sehingga membawa kepada kegagalan BN mendapat keputusan cemerlang sebagaimana pilihan raya tahun 2004.
Dilaporkan gerakan berpolitik melalui Internet sudah wujud sejak pilihan raya 1999, tetapi strategi itu gagal membantu kemaraan pembangkang dengan berkesan, malah tidak efektif langsung dalam pilihan raya 2004.
Tetapi , pilihan raya 2008 menyaksikan keadaan yang amat berbeza di mana banyak rakyat yang memilih Internet dan blog sebagai satu medium berkomunikasi yang berpengaruh dalam berkempen.
Implikasi penggunaan Internet ke atas manusia mempunyai kesan positif dan negatifnya. Dari perspektif positif, penggunaan Internet mempercepatkan pengaliran maklumat dengan cepat dan berkesan.
Maklumat dalam pelbagai bidang boleh diperoleh dengan cepat dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermaklumat. Apabila masyarakat bermaklumat tentu sekali proses pembelajaran dan percambahan minda rakyat ke arah yang positif akan berlaku.
Tidak semua maklumat atau kesan yang dilahirkan dari Internet atau laman-laman web adalah positif.
Sigmund Freud yang mempelopori teori psikoanalitik melihat naluri manusia sebagai kuali yang sedang mendidih. Pendedahan kepada pelbagai unsur negatif dalam laman web atau blog seperti fitnah- memfitnah, keganasan, penipuan, dan budaya kuning boleh membangkitkan thanatos atau death instinct individu.
Ternyata dalam konteks PRU12 ini, laman web dan blog lebih banyak berunsur cerita-cerita buruk terhadap BN. (Sorry bro ... yang ini silap fakta ni)
Natijahnya cerita-cerita buruk ini tanpa mengira kesahihannya berjaya membentuk persepsi pembaca sehingga berjaya mempengaruhi mereka dan akhirnya persepsi mereka dimanifestasikan ke dalam bentuk memilih siapa yang mereka undi dalam pilihan raya.
Mungkin kesan sama ada positif atau negatif inilah yang dimanfaat sepenuhnya oleh pengguna Internet dan blog dalam PRU12 ini.
Setiap pihak terutama sekali parti lawan BN ternyata memanfaatkan sepenuh-penuhnya penggunaan Internet dan blog atas usaha mempengaruhi pemikiran dan psikologi rakyat untuk menyokong mereka.
Ternyata usaha mereka berjaya. BN pula mungkin terlepas pandang dengan mengandaikan bahawa pengaruh Internet dan lamam web ke atas psikologi dan pemikiran rakyat tidak akan ke mana-mana.
Setakat manakah Internet digunakan oleh ahli-ahli politik semasa berkempen. Menurut Laporan Bivings ke atas hasil kajian penggunaan Internet sebagai alat berkempen pada pilihan raya Sepanyol pada tahun 2006, walaupun penggunaan Internet meningkat untuk tujuan berkempen, calon masih lagi menjauhkan diri daripada melaburkan wang yang banyak untuk strategi berkempen yang dikatakan agak baru ini (penggunaan internet dan blog).
Laporan tersebut menunjukkan ahli-ahli politik gagal mengambil kesempatan daripada kebaikan yang diberikan oleh Internet.
Walaupun peratus calon yang mempunyai laman web yang aktif meningkat iaitu sebanyak 95 peratus berbanding 55 peratus pada tahun 2002, kebanyakan calon tidak mengambil peluang menggunakan strategi web yang lebih canggih seperti blog dan podcasts dalam kempen mereka.
Hanya 23 peratus calon Senat yang ada blog dan lima peratus menggunakan podcasts. Sebaliknya, di antara 90 hingga 93 peratus calon menggunakan laman web mereka hanya untuk menulis mengenai latar belakang mereka dan bagaimana untuk menghubungi mereka.
Bagaimanapun kempen melalui Internet mempunyai kelemahan tersendiri. Antaranya ramai pengundi yang berumur kurang selesa menggunakan komputer dan ada yang tidak mampu membeli komputer.
Berbalik dengan kempen melalui Internet dan blog dalam PRU12, antara faktor penggunaannya amat meluas ialah terdapat tuduhan bahawa masyarakat tidak dapat bersuara melalui media-media lain seperti surat khabar dan televisyen.
Jika benar dakwaan mereka, media terutama media saluran utama perlu mengambil inisiatif untuk menyediakan ruang untuk penyuaraan suara-suara yang lebih bebas. Apa pun, jika tidak diberi ruang ini, mereka tetap akan beralih kepada kaedah-kaedah lain seperti Internet dan blog.
Naluri manusia yang diibaratkan oleh Freud sebagai kuali yang sedang mendidih perlu ditangani sebijak-bijak.
Ternyata dalam konteks PRU12, penggunaan Internet dan blog banyak menguntungkan lawan BN. Tentu sekali ini memberi pengajaran kepada BN untuk tidak mengambil mudah peranan Internet dan blog dalam memujuk dan membentuk persepsi pengundi pada pilihan raya umum akan datang.
- DR. SAPORA SIPON ialah pensyarah kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
1 comments:
itulah media kerajaan banyak sangat menipu,contoh haraga tepung dlm media cakap lain,kami pergi kedai hakikatnya lain,buruk2kan negeri pas,kami tengok negeri bn yg banyak duit lagi teruk dan buruk,jadi baik beralih ke 'input' yg lain.saya surirumah yg x tau guna komputer pun,mula belajar dgn anak2,lepas tu media kerajaan tak payah tengok,dpt berita internet jadi modal sembang dgn jiran,dgn kawan yg tunggu anak2 kat sekolah ,dah tu berita kat internet betul apalagi pru12 pun dapat hasil mcm gelombang kuning siap print gambar tunjuk kat dia org suruh dia org banding dgn media kerajaan..kata mereka'kenapa kerajaan nak tipu'mcm kes bayar yuran sekolahlah..lain kali media jgn belit2..nanti terus org x percaya langsung
Post a Comment