ISHAK menunjukkan empat MyKad palsu milik wanita Indonesia yang ditahan di Kemunting, Taiping baru-baru ini.
Lapan PATI ditahan miliki MyKad palsu
kosmo
IPOH - Lapan wanita Indonesia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dan sebuah kilang di Kemunting, Taiping kerana memiliki MyKad palsu.
Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, empat daripada wanita itu ditahan di sebuah rumah di Taman Mas, Kemunting dalam serbuan pada 13 Mac lalu.
Menurut beliau, serbuan ke rumah tersebut dilakukan selepas imigresen menerima maklumat mengenai penghuni rumah tersebut yang dilihat mencurigakan.
"Semasa rumah itu diserbu, empat wanita yang berada dalam rumah mulanya bermati-matian mengaku mereka merupakan rakyat negara ini.
"Tetapi selepas MyKad keempat-empat wanita itu diperiksa tembelang mereka terbongkar apabila mendapati MyKad yang dimiliki itu palsu," katanya dalam sidang media di sini semalam.
Ishak memberitahu, berikutan penahanan itu, imigresen kemudiannya pula ke sebuah kilang di kawasan berhampiran tempat empat wanita itu bekerja.
Katanya, dalam pemeriksaan di kilang tersebut, imigresen menahan empat lagi pekerja wanita di kilang tersebut yang juga memiliki MyKad palsu.
"Semua MyKad yang dimiliki lapan wanita itu mempunyai gambar wanita-wanita yang memilikinya.
"Bagaimanapun butiran maklumat yang dicatitkan dalam MyKad itu didapati mengelirukan,'' kata beliau.
Ishak memberitahu, pihaknya percaya semua wanita yang ditahan ini telah membeli MyKad tersebut daripada sindiket tertentu sebelum menipu majikan mereka untuk mendapat kerja.
Sehubungan itu, beliau menggesa majikan mana-mana kilang supaya lebih berhati-hati dalam memilih pekerja agar mereka tidak terambil pekerja yang memiliki MyKad palsu.
0 comments:
Post a Comment