Radenjowo
Sebelum ini wak tidak berapa kenal siapa sebenarnya pemilik blog Kassim Selamat. Rupa rupanya beliau adalah pejuang reformasi dan sehingga kini masih berjuang walaupun di dalam keadaan yang kurang sempurna. Disamping laptop dan berbaring, meneliti setiap butir berita dan blog terbaru tentang politik tanah air. Melahirkan idea dan memaparkannya di dalam laman blog beliau, Kassim Selamat.
Hari ini beliau menyertai ruang forum No2umnO, menjelaskan lagi identiti beliau sebagai golongan yang kurang upaya. Lumpuh sejak tahun 2002 akibat serangan demam denggi dan sehingga kini aktivitinya dihabiskan di atas katil disamping dibantu oleh isteri tersayang. Tabik hormat wak berikan kepada beliau kerana kesungguhan perjuangannya sehingga kini tidak pernah luntur walau pun sedikit. Sambil melayan dan bertanya, wak tak sedar air mata mengalir setiap kali melihat video klip beliau. Dihati bertanya .... andainya aku seperti itu.
Kepada yang kurang mengetahui tentang beliau, sama sama saksikan clip video berikut .....
Bagaimana beliau boleh menjadi lumpuh dan kurang upaya? Ikuti sejarah kejadian melalui artikel yang beliau hasilkan
'Takdir Penentu Segalanya'
Kassim888
Siaran ulangan. Entri 25 Mei'2006. Tunggang langgang bahasa tulisanku. Maklumlah masa ni baru belajar berblog.
Jumaat 14 Jun’ 2002, hari ini aku mengambil cuti separuh hari kerana isteriku kurang sehat, sudah dua tiga hari isteriku mengambil MC. Selepas bersarapan aku memandikan isteri keduaku (keretaku), hampir sejam aku menghabiskan masa membasuh dan menggilatkan keretaku, aku mandi pun tak sampai 10 minit, mengalahkan aku! Isteriku masih berbaring di sofa, jam ketika itu hampir pukul 12.00 tenggahhari. Aku bersiap-siap untuk ke pejabat dan untuk menunaikan sholat Jumaat. Aku memakai seluar jeans, berkemeja denim dan memakai boot hari ini, tak pernah-pernah ku buat sebelum ini memakai jeans ke pejabat, buang tabiat ke aku ini? Aku mengambil keputusan untuk menunggang motor Virago kesayanganku, dah lama aku tak menunggangnya ke pejabat. Dalam perjalanan, di Batu 10 Jalan Cheras, hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya, aku berteduh di bawah jambatan hampir dua jam aku tersangkut, terlepaslah sholat Jumaatku hari itu. Bila hujan reda aku meneruskan perjalanan ke pejabatku yang terletak di Damansara Heights. (rupanya tu lah kali terakhir aku menunggang viragoku)
Hari Ahad 16 Jun’ 2002, pagi-pagi lagi aku ke pasar mencari daun sup/bawang dan sup bunjut Adabi serta membeli seekor ayam untuk di buat sup untuk isteriku yang demam, semoga dengan masakanku terbuka seleranya nanti. Memang telah menjadi kebiasaanku ke pasar membeli barang-barang keperluan rumah, aku tak kekok…biasalah orang lelaki pergi ke pasar. Sampai di rumah aku membersihkan ayam yang aku beli tadi, setelah bersih aku menumis sup mengikut resepiku, sebelum ini pun aku pernah memasak sup ‘ikan haruan’ untuk isteriku yang baru lepas bersalin secara ‘ceaseran’. Tak ada masalah pun resepiku itu, isteriku makan apa yang aku masak, sedap tak sedap bantai sajalah…Seperiuk sup aku masak hari ini, setelah masak aku merasanya ‘eem…emm boleh tahan juga masakanku’, aku menyuruh anak-anakku menjamah sup yang aku masak tapi itu isteriku tak berselera untuk menikmatinya…..demam biasalah!!! tak ada selera. Malam aku buka periuk tenggok sup yang aku masak tak luak, tak sedap kot…keeh…keeh…keeh… air tanggan kassim selamat katakan.
Di sebelah petang mertuaku bersama nenek saudaraku datang menjenguk isteriku. Aku membuat minuman untuk tetamuku. Isteriku terbaring lesu di sofa, aku duduk mengadap tv yang sedang rancak menyiarkan ‘World Cup 2002’. Sambil berbual-bual nenek saudaraku memegang sepotong kunyit dan membaca sesuatu lalu menyapu kunyit ke dahi isteriku, memang telah menjadi kebiasaan keluargaku menggunakan kunyit untuk demam-demam ringan, petua orang-orang tua, alhamdullillah sebelum ini adalah berkurangan demamnya. Seketika kemudian anakku Amir memberitahuku ayam serama peliharaannya telah hilang dari sangkarnya, aku mencapai kunci kereta memusing-musing di beberapa jalan dan lorong mencari ayam seramanya.
Isnin 17 Jun’ 2002, aku ke pejabat seperti biasa tanpa isteriku. Di pejabat aku membereskan beberapa tugas yang tertangguh. Pukul 6.30 petang aku bersiap untuk pulang. Sampai di rumah aku melihat keadaan isteriku semakin lesu dan aku mengambil keputusan membawanya ke klinik yang berhampiran. Doktor yang memeriksanya menggarahkan aku membawa isteriku ke hospital kerana ada tanda-tanda dia menghidapi demam denggi. Setelah selesai menghantar anak-anakku kerumah neneknya aku memandu menuju ke Kuala Lumpur, isteriku terbaring lemah di bahagian belakang tempat duduk. Sambil memandu aku berfikir, ‘hospital mana yang hendak aku tuju, Kajang ke?, Jalan Ampang ke?’ Akhirnya aku mengambil keputusan ke Hospital Tawakal di Jalan Pahang, dalam hatiku berkata ‘senang nanti rakan-rakan pejabatnya nak melawatnya’. Setelah selesai urusan kemasukan isteriku aku pulang kerumah, niat di hati nak singgah sekejap di Chow Kit Rod nak ronda-ronda, dah lama aku tak menjengok Chow Kit, tapi aku membatalkan hasratku kerana badanku rasa tak sedap, nak demam kot! (rupanya inilah hari terakhir aku ke pejabat)
Selasa 18 Jun’ 2002, aku mula berasa demam dan tak ke pejabat, aku menelefon staffku Shashi untuk memberitahunya aku tak sehat mungkin aku ambil MC, aku masih ingat pertanyaannya ‘ What happen to your voice’, aku jawab rengkas ‘Demam’. Petang aku mengambil anakku Syafeeni untuk ke hospital, aku sempat berpesan kepadanya agar menyuruh neneknya memasak ‘agar-agar merah’ kerana tiba-tiba tekak ini terasa nak makan. Sampai di hospital anakku mengajakku singgah di restoran berdekatan kerana dia teringin nak makan ‘Mee Bandung Muar’. Aku singgah sekejap di restoran tersebut, aku cuma minum fresh oren saja, anakku berselera menghadap mee Bandung Muar, memang dia kuat makan………...Malam setelah melawat isteriku, aku pulang tapi aku dah tak larat nak memandu lalu menyuruh anakku memandu………..tawakal sajalah kataku. Dalam kelesuan, aku sempat juga menegur anakku kerana kurang cermat ketika memandu, awak dahlah tak ada lesen, gaya memandu macam orang dah expert. Aku menghantar dia pulang ke rumah neneknya dan memandu pulang kerumah sendirian.
Rabu 19 Jun’2002, sepanjang hari aku tidur saja, memang aku betul-betul demam. Pagi aku sempat menghantar anakku ke sekolah kemudian sempat singgah ke klinik mendapatkan rawatan. Aku menelefon isteriku untuk memberitahunya yang aku tidak dapat melawatnya hari ini kerana tak larat. Petang birasku singgah kerumah bertanya samada aku nak mengikutnya ke hospital. Aku tak dah tak larat hanya berbaring di atas sofa. Sebentar kemudian anakku Amir datang menghantar agar-agar yang ku pesan semalam, cepat betul mertuaku membuatnya, sayang menantu katakan!! Aku cuma menjamah sedikit saja, tekak terasa pahit……semalaman aku tidur saja. (hingga sekarang, bila makan agar² merah, aku terkenang kisah ini)
Khamis 20 Jun’2002, aku terbangun dari tidur pukul 4.30 pagi lalu mengemas-ngemas dan menyusun pakaian yang berselerak, makumlah dah seminggu isteriku demam tak berkesempatan nak mengemas. Aku takut kalau-kalau pihak jabatan kesihatan datang kerumahku untuk membuat pemeriksaan denggi, rumah bersepah malu aku nanti. Pukul 6.30 pagi dalam keadaan terhuyung hayang aku memandu kereta kerumah mertuaku, sampai disana aku terus naik berbaring dikatil, anakku sedang bersiap nak sekolah. Aku meminta anakku supaya tidak ke sekolah kerana nak menghantarku ke klinik. (kali terakhir aku memandu wajaku...alahai)
Pukul 8.30 pagi, aku dah berada di depan klinik, pembantu klinik memberitahuku bahawa doctor lewat sedikit dan menyuruhku datang semula pada pukul 10 pagi. Aku datang semula ke klinik pukul 10 pagi, doctor membuat pemeriksaan dan mengambil contoh darahku untuk diuji. Aku meminta doctor memberiku suntikan kerana tak tahan lagi badanku, menggelegak rasanya!. Setelah mendapat rawatan aku pulang kerumah, semasa hendak melangkah keluar dari kereta, aku rasakan kedua-dua kakiku lemah tapi ku gagahi juga bergerak. Tak beberapa lama, aku menerima panggilan dari klinik yang mengesahkan ujian darahku bebas dari demam denggi.
Petang aku ke hospital melawat isteriku , aku menyuruh anakku memandu, memang itu yang dia suka…….Sampai di hospital anakku terus ke bilik isteriku, aku pula duduk di ruang lobi kerana pening dan tak larat nak bergerak. Dalam keadaan terhuyung hayang aku terus mencari-cari klinik doctor yang merawat isteriku, senang kerana dia juga merawat kes isteriku. Setelah membuat pemeriksaan aku terus ditahan di wad, aku meminta izin untuk keluar menghantar pulang keretaku tetapi jururawat tidak membenarkannya. Anakku memberanikan diri memandu pulang keretaku, memang dia betul-betul berani………….Malam itu aku cuma makan agar-agar yang ku bawa dari rumah dan minum air bali dan fresh oren yang ku pesan dari hospital.
Hari Jumaat 21 Jun’2002 dan hari Sabtu 22 Jun’2002, aku tak berapa ingat apa yang berlaku. Aku cuma ingat beberapa rakanku dan adik iparku Lan datang melawatku, masa itu fikiranku melayang aku tak tahu apa yang mereka bualkan., yang aku ingat pesanan jururawat supaya jangan tinggakan handphone dalam laci nanti di khuatiri hilang. Sepanjang hari aku menghabiskan waktu menonton tv, ada masanya tv pula menontonku…………..kebetulan semasa itu perhimpunan Agung Umno sedang di tunjukkan di kaca tv, jadi dapatlah aku mendengar perbahasan mereka, walaupun aku tak suka Umno tapi aku masih hendak mengikuti perkembangannya. Ini yang di katakan ‘Benci Tapi Rindu’. (handphone terakhirku Nokia 3310 warna biru. Hingga sekarang aku tak punya handphone lagi. Tak mampu nak pegang)
Hari Ahad 23 Jun’2002, aku tidak ketentuan, sekejap beralih tidur di kerusi panjang, sekejap baring di atas katil. Petang anak-anakku dan mertuaku datang melawat kami berdua, sebelum mereka pulang aku meminta anakku tinggal menjagaku tapi memandangkan mereka sekolah keesokkannya maka isteriku tak membenarkan. Malam di kaca tv aku melihat bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menangis semasa ucapan di persidangan Umno tapi aku tahu kenapa beliau menanggis kerana masa itu fikiranku jauh melayang, aku bukan aku lagi!!. Aku juga mendengar salah seorang pemimpin parti pembangkang dalam keadaan tenat, tapi aku kurang pasti siapakah dia? kerana ketika itu aku pun tenat juga!!! (Yang sakit tenat tu Alahyarham Dato' Fadzil, Perisiden Pas. Aku tau arwah meninggal selepas sedar dari koma)
Malam itu keadaan aku bertambah gawat, lebih kurang pukul dua tiga pagi aku bangun menuju keluar bilik. Aku sudah tidak larat untuk berjalan lalu duduk di atas kerusi roda yang ada di depan bilikku. Dalam keadaan lemah aku menolak kerusi itu menunju ke pintu lif untuk ke tingkat dua menemui isteriku. Sampai di kaunter jururawat, aku di tahan dan di tegur oleh jururawat kerana bergerak sendirian. Aku menyatakan hasratku untuk berjumpa isteriku kerana aku dalam keadaan kesakitan. (rupanya malam itulah kali terakhir aku berjalan sebelum lumpuh)
Aku di temani oleh isteriku dan di hantar kembali ke bilikku, Aku sudah tidak ingat apa yang tejadi pada diriku, aku di beritahu oleh isteriku bahawa darah menjijis-jijis ke lantai kerana aku mencabut drip yang terpasang di tangganku, menurut isteriku, aku sempat menggelap darah yang bertitisan di atas lantai, wah…wah….rajinnya aku dalam keadaan tak waras pun sempat menggelap lantai. Aku mengadu sakit di bahagian tengkuk dan doctor yang bertugas datang merawatku
Keesokan keadaan aku bertambah kritikal, aku terpaksa menggunakan bantuan oksijen untuk bernafas. Isteriku di benarkan keluar wad hari itu, semasa isteriku pergi memproses daftar keluar, aku pula di di bawa masuk ke bilik rawatan rapi ICU.
Ikutlah kisah seterusku di dalam ‘ICU 46 hari, Antara Hidup dan Mati
Kassim Selamat - 'Takdir Penentu Segalanya'
Bersambung ....
Apr 5, 2008
TABIK HORMAT KEPADA PEJUANG REFORMASI, KASSIM SELAMAT
Labels: Kassim Selamat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam wak,terima kasih menyiarkan kisah saya di sini...terharu rasanya.
Amat2 saya hargainya.
Semoga wak di berkati Allah. Teruskan perjuangan wak!
"Lawan Tetap Lawan"
A'kum,Kadang2 kejadian ini menjadi nikmat pabila orang tersayang memberi kasih sayang sewajarnya.Allah maha kaya ada yang di ambil di beri pula sesuatu yang lain.bersyukurlah dan sentiasa memikirkan ada sebab pekara ini terjadi.reda dan tawalkal.akan sampai masa ianya akan berbaloi...insyaallah.saya doakan kesejahteraan anda.
Post a Comment