email: Noontime Silence
Bendahara biadap
Dalam tahun 1779, Gabenor Belanda di Melaka mengarahkan satu kajian dibuat tentang upacara adat istiadat melayu. Pengkaji yang dilantik telah menggunakan keterangan Abdulmuhit (seorang imam) sebagai sumber utama.
Beliau memahami adat turun-temurun kesultanan melayu melaka yang diamalkan semenjak 2 kurun sebelum itu. Manuskrip hasil kajian tersebut, 'Adat Raja-raja Melayu', menyatakan dengan jelas kebiadaban berterusan Perdana Menteri kepada sultan.
Berdasarkan komentari Prof Panuti Hudjiman dari Universiti Indonesia, apabila sultan menitahkan bendahara atau perdana menteri untuk menghadiri satu majlis perkahwinan, bendahara mempunyai cara tersendiri untuk menyahut titah diraja itu.
"Apabila utusan istana mendatanginya pada kali pertama, dia menjawab, "datanglah kita mengadap"."
"Bendahara tidak pergi terus ke istana, sebaliknya bersiram dahulu. Sekali lagi utusan istana dihantar, bendahara menyuruhnya kembali ke istana kerana dia sedang bersiap sedia untuk pergi."
"Bendahara membiarkan orang lain menantikan kehadirannya, menunggunya siap berpakaian, dan, menunggu utusan istana datang kali ke3, barulah dia menjunjung titah."
"Perlakuan ini adalah untuk menunjukkan kedudukannya di sisi sultan. Bendahara adalah ketua penasihat diraja dan dianggap sebagai kuasa sebenar di sebalik takhta. Penggunaan kata jamak (plural) 'kita' adalah satu perlambangan meninggikan diri atau kurang ajar."
Ini bukanlah satu-satunya kes terpencil yang direkodkan. Bendahara mengulangi sikap biadap dan tinggi diri ini semasa seorang sultan yang baru ditabalkan dan bendahara dilantik semula ke jawatannya. Dia tetap enggan mengadap sehinggalah titah diraja disampaikan sebanyak 3 kali.
Berdasarkan 'Adat Raja-raja Melayu', kita boleh melihat bahawa ketengangan di antara Raja-raja melayu dengan menteri-menterinya yang berkuasa telahpun tersemadi di dalam budaya kesultanan melayu Melaka semasa hari-hari awal perkembangannya.
Saya ingin menyatakan bahawa kita sedang melihatnya semula dalam kes-kes tertentu baru-baru ini dalam pertikaian antara SPB YDP Agong, yang juga Sultan Terengganu, dan PM Dollah Badawi.
Presiden Umno biadap dalam isu lantik MB
Peranan yang dimainkan oleh DYMM Sultan dalam soal perlantikan MB baru-baru ini amat menarik perhatian untuk diteliti sama ada ia menunjukkan peranan istana tiba-tiba berkembang semula. Sama ada berminat atau menyampah, ia bergantung kepada sikap anda terhadap kerajaan persekutuan.
Walaubagaimanapun, dari perspektif sejarah, campurtangan istana di dalam arena politik, hanyalah sekadar kebangkitan semula yang natural dan boleh difahami. Sekali-sekala raja-raja melayu hendak memainkan sedikit peranannya sebagai pemerintah - satu keinginan yang telah dikekang oleh penjajah British dan nasionalis melayu secara berterusan sejak 100 tahun yang lalu.
Kita tidak perlu terperanjat melihat raja-raja melayu sudah 'berbunyi' sekarang, kita sepatutnya hairan kenapa mereka 'mendiamkan diri' begitu lama. Sebagaimana sultan pernah berhadapan dengan bendahara yang biadap, mereka telahpun sepanjang masa itu akur dan menerima 'campurtangan luar' secara berhemah.
British dan Jepun biadap
Sewaktu dijajah, dalam beberapa tahun sebelum perang dunia ke2, negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor menerima penasihat-penasihat British. Dalam melaksanakan tugas 'menasihati', mereka telah berjaya, dalam pelbagai peringkat untuk mentadbir secara tidak langsung.
Bermula tahun 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menerima residen British mentadbir secara langsung, membuat pengisytiharan dan perintah yang dimulakan dengan kata-kata penghinaan, "The British Resident is pleased to.....".
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu menyaksikan sesetengah sultan dipecat, dan yang lain-lainnya diugut untuk bekerjasama. Selepas Jepun menyerah kalah, Pentadbiran Tentera British memperlihatkan diri mereka sebagai kuasa tunggal yang berautoriti penuh untuk mengiktiraf kedaulatan istana. Jika Raja-raja didapati telah bekerjasama dengan Jepun, atau lebih celaka lagi, jika mereka tidak bersedia untuk menandatangani satu set perjanjian baru yang melibatkan penyerahan semua kuasa istana kepada Britain, mereka akan diturunkan dari takhta.
Raja disindir dan dihina
Laporan Brigadier HC Willan tentang raja-raja melayu bertarikh 7 Oktober 1945, adalah satu contoh jelas perlaksanaan kuasa dalam bentuk penghinaan.
"Menurut pandangan saya, lebih baik mengadap Sultan Johor dahulu berkaitan perundingan untuk perjanjian baru. Saya fikir dalam keadaan sekarang, dia akan tandatangan. Dia sedar dan berasa amat bergantung kepada sokongan H.M.G."
"(Sultan Selangor) adalah seorang yang menyenangkan tetapi tidak mempunyai pendirian yang teguh. Ketika ini dia begitu gembira kerana British kembali ke Tanah Melayu dan mengiktirafnya semula sebagai sultan. Saya fikir dia akan tandatangan."
"Saya berpendapat Yam Tuan Negeri Sembilan sepatutnya ditemui berikutnya. Ketika ini dia mengalami kemurungan dan agak khuatir memikirkan bagaimana negerinya akan pulih semula. Dalam keadaan ini dia bersedia untuk menerima perintah dan bukan sekadar nasihat....".
Akhirnya kerana bimbang diturunkan dari takhta dan digantikan dengan orang lain yang bersedia untuk bekerjasama dengan British, kesemua 9 raja-raja melayu menandatangani Perjanjian MacMichael. Berlakulah penyerahan semula kedaulatan dan kuasa mereka kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam melayu.
Onn Jaafar Biadap
Langkah pertama British ini dalam menjayakan perancangan penubuhan Malayan Union telah menimbulkan kemarahan puak nasionalis melayu yang sedang berkembang pada ketika itu.
Bagaimanapun pengkaji mendapati, mereka tentang Malayan Union bukan kerana risaukan raja-raja hilang kuasa tetapi mereka risaukan cadangan British untuk memberi kerakyatan kepada kaum bukan melayu yang dilahirkan di Tanah Melayu.
Jelas apa yang menggerakkan puak nasionalis ialah tanggapan bahawa cadangan ini adalah satu ancaman kepada orang-orang melayu. Mereka tidak risau ancaman kepada raja-raja melayu. Malahan Onn Jaafar diketahui memiliki pandangan yang negatif terhadap raja-raja. Semasa zaman mudanya beliau pernah menulis artikel-artikel yang mengkritik keras raja-raja melayu di dada-dada akhbar.
Onn Jaafar dan Umno biadap
Pada 30 Mac 1946, raja-raja melayu berkumpul di sebuah hotel untuk menghadiri upacara perlantikan Gabenor Sir Edward Gent.
Dalam biografunya mengenai Tunku Abdul Rahman, Harry Miller menyatakan, "Petang itu Onn sendiri bertemu raja-raja dan menyampaikan mesej dari Umno. Mesej itu menyatakan rakyat tidak mahu raja-raja melayu menghadiri majlis perlantikan gabenor dan mereka sepatutnya berhenti dari mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa upacara yang berkaitan Malayan Union."
"Seterusnya mesej itu menzahirkan jika raja-raja melayu berkeras untuk bertemu gabenor baru, mereka akan disingkirkan oleh orang melayu, yang sedang berjuang habis-habisan menentang Malayan Union."
Beribu-ribu ahli Umno menunjuk perasaan di hadapan hotel yang didiami oleh raja-raja dan menyorakkan 'Daulat Tuanku!' dan 'Hidup Melayu!'.
Tulis Miller, "raja-raja melangkah turun ke arah anjung besar hotel yang telahpun dipenuhi penunjuk perasaan yang mengangkat sembah kepada mereka. Suasana yang menyentuh perasaan. Tetapi ada pemimpin Umno yang mendedahkan kemudiannya, kami bawa raja-raja turun ke bawah untuk mengajar mereka. Mereka bernasib baik kerana kami tidak menghapuskan istana sepenuhnya selepas mereka menandatangani Perjanjian MacMichael. Pada masa itu, kami beritahu kami akan menyokong mereka."
Umno dan British sama-sama Biadap
Raja-raja umpama tersepit di celahan batu, antara tekanan penjajah British dan kemaraan nasionalis melayu. Mereka mengutus aduan ke Pejabat Jajahan di London menyatakan mereka dipaksa menandatangani Perjanjian MacMichael.
Kemudian mereka memboikot majlis perlantikan gabenor dan menjarakkan diri darinya di tempat awam (padahal dalam masa yang sama mengekalkan hubungan mesra di luar pengetahuan awam).
British akhirnya menyedari penentangan hebat akar umbi terhadap Malayan Union dan menarik balik rancangan itu.
Persekutuan Tanah Melayu -kompromi skim perlembagaan pada 1948- menyaksikan British melantik penasihat-penasihat yang benar-benar sekadar penasihat. Kuasa eksekutif di negeri-negeri diserahkan kepada menteri besar.
Namun begitu, raja-raja melayu masih bimbang kalau-kalau mereka akan diturunkan dari takhta oleh Umno. Onn Jaafar tidak dapat meyakinkan mereka sepenuhnya bahawa ini tidak akan berlaku.
Dalam surat Sir Malcolm MacDonald kepada Sir Henry Gurney pada 15 Disember 1949, "Masa saya berborak dengannya pada 12 Disember 1949 yang lalu, Dato' Onn memberitahu tentang perbincangan terbarunya dengan menteri-menteri besar......Mereka bertanya sama ada Onn bercadang untuk menyingkirkan raja-raja melayu dalam tempoh terdekat. Onn menolak tanggapan itu dengan tegas. Katanya, jika ada kewajaran, dalam keadaan-keadaan tertentu, ramai raja akan disingkirkan kerana kaum melayu yang hendakkan sebegitu."
"Tetapi ia tidak akan berlaku sehingga satu tempoh masa yang lama dan bergantung sepenuhnya kepada pendirian umum orang-orang melayu."
Sebelum Merdeka pun dah biadap
Bagi rakyat Malaysia segenerasi dengan saya, membesar dalam kekangan Akta Hasutan supaya tidak terlintas sedikitpun di dalam hati fikiran republikan, sudah tentu memeranjatkan apabila mendapati pengasas Umno tanpa segan-silu memberitahu menteri-menteri besar bahawa dia fikir orang-orang melayu satu hari nanti akan berkeinginan untuk menyingkirkan raja-raja mereka.
6 dekad berlalu, hari yang disebutkan masih belum terjangkaukan di fikiran.
Namun, dari waktu perundingan membentuk Perikatan dalam tahun-tahun pra-merdeka sehinggalah ke peristiwa-peristiwa hitam era 1981-2003 -ketika bendahara tidak engkar lagi sehingga panggilan ke3 untuk ke istana- raja-raja melayu menderita mengahadapi percubaan-percubaan untuk menghapuskan kuasa-kuasa mereka.
Saya akan membincangkannya dalam bahagian ke2 dan ke3 artikel ini.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
7 hours ago
1 comments:
apa punya bodoh punya penulis da .. semua Melayu biadap, dari tok bendahara Melaka sampai lah ke imam bohdowi
jadi, yang tak biadap siapa ekk?
... Karpal Singh ...
apa punya turrr da !
Post a Comment