Teluskah pilihanraya ke 12 nanti? Anda boleh nilaikan sekarang menerusi tindak tanduk sesetengah pihak. Menipu pilihanraya tidak salah, maka usaha penipuan terus dibuat. Lapuran polis dilakukan, tindakan undang undang diambil dan pelbagai cara sudah dibuat, pihak yang menipu masih boleh tersenyum riang kerana kebal dengan kuasa. Tiada siapa boleh menyanggah, tidak siapa yang boleh marah. Kalau sekali menipu terlepas, mereka akan terus tipu. Keengganan SPR untuk menjadi lebih telus dan lebih berkualiti turut mengundang tanya tanya, maka tidak mustahil penipuan bodoh akan berlaku sekali lagi. Mungkin lebih jelek. Berhati hati dan perlu ikhtibar dengan kejadian yang lepas. Berikut adalah lapuran yang dibuat merujuk kepada pilihanraya pada tahun 1999 sekadar untuk renungan.
BUKTI KUKUH TENTANG PENIPUAN PILIHANRAYA
Hajjah Marina Yusoff
Keputusan pilihanraya yang memihak kepada Barisan Nasional telah memeranjatkan seluruh rakyat dan telah mengecewakan majoriti penduduk yang mahukan perubahan. Kami mempunyai bukti bahawa penipuan telah berlaku di seluruh negara. Kami sedang mengumpul bukti-bukti dan akan memfailkan petisyen pilihanraya. Antara masalah-masalah yang telah timbul adalah:-
1.680,000 pengundi berdaftar diberitahu bahawa mereka tidak layak mengundi. Bagaimanapun, beberapa orang dari mereka telah pergi ke pusat mengundi dengan memakai kemeja-T dan topi BN telah dibenarkan untuk membuang undi.
2.Nama-nama sejumlah pengundi telah hilang dari senarai pilihanraya. Selepas mereka bertegas dan tidak mahu beredar barulah senarai kedua dikeluarkan dari dalam meja dan dengan tidak disangka nama mereka ada di dalam senarai itu dan membolehkan mereka mengundi. Semua ini berlaku di khemah BN. Ramai penyokong kami terpaksa berlagak seperti penyokong BN untuk mendapatkan maklumat. Ramai juga yang terpaksa pulang dengan kecewa.
3.Setengah pengundi telah diberitahu bahawa mereka telahpun mengundi padahal sebenarnya mereka belum berbuat demikian. Mereka telah ditunjukkan senarai dimana nama mereka telah ditandakan yang menunjukkan mereka telah mengundi. Mereka berkeras mengatakan bahawa orang lain telah menggunakan nama mereka untuk mengundi. Banyak aduan dibuat tentang pengundi mengundi lebih dari sekali.
4.Di beberapa kawasan, kita menerima laporan yang kertas undi seperti disapu lilin atau resin. Bukan keseluruhan kertas undi yang disapu lilin tetapi hanya dalam kotak untuk Barisan Alternatif. Sesetengah pengundi menceritakan bahawa mereka tidak boleh pangkah dalam kotak Barisan Alternatif dengan betul. Sesetengahnya mengatakan ia terlampau licin dan tanda pangkah tidak boleh melekat. Sesetangah lagi menceritakan apabila mereka pangkah BA, mereka sapu kertas undi dan mendapati tanda pensil menjadi debu dan hilang begitu saja.
5.Walaupun undian lot dibuat atau dadu digunakan, adalah terlampau kebetulan untuk semua calon BN menjadi calon pertama dan BA calon kedua dalam kertas undi.
6.Ramai pengundi mengadu tentang pensil yang disediakan yang terlalu tumpul dan sudah tiada lead lagi. Apabila mereka bertanya samada mereka boleh menggunakan pensil atau pen yang mereka bawa, mereka diberitahu bahawa tidak boleh menggunakan pensil lain kecuali yang telah disediakan.
7.Pengundi-pengundi ditawarkan wang untuk mengundi BN. Banyak laporan polis telah dibuat dan sehingga sekarang ini masih terus dilaporkan di seluruh negara.
8.Terdapat banyak keraguan yang serius dalam undi pos. Undi untuk BA sampai ke kawasan yang salah dan dikira undi rosak. Setengah saksi yang memerhati pengiraan undi memberitahu pada mulanya calon BN kalah teruk. Kemudian mereka membawa masuk undi pos yang masanya terlalu lewat dan melepasi masa yang ditentukan dan keputusannya tiba-tiba berubah menjadi kemenangan untuk BN. Satu contoh ialah Dato’ Seri Najib. Pada masa pengiraan undi berjalan, semua orang dapat lihat beliau kalah teruk. Tiba-tiba beberapa karung undi pos dibawa masuk dan yang amat pelik ialah semua undi pos itu untuk BN. Ini memberikan kemenangan tipis kepada Dato’ Seri Najib. Pihak SPR tidak mengambil kira dan guna pakai had-had masa yang ditetapkan oleh mereka. Tiada kesinambungan dalam penjagaan undi pos, peraturan yang ditetapkan SPR tidak diguna pakai, calon-calon tidak dimaklum di mana undi pos disimpan dan penjagaan keselamatan undi pos terbengkalai. Di Wangsa Maju undi untuk kawasan lain dengan logo PRM dan logo DAP dilihat berada dalam undi pos yang dikira. Undi pos untuk Wangsa Maju yang mengundi BA dijumpai di Bandar Tun Razak dan dikira sebagai undi rosak. Senarai ini berterusan.
9.Beberapa calon telah memberitahu kami bahawa kotak-kotak undi telah dibuka tanpa kehadiran wakil-wakilnya. Apabila kotak-kotak ini sampai ke tempat pengiraan undi, ianya sudahpun dibuka. Ada juga aduan mengatakan banyak kotak-kotak undi telah hilang dan apabila dijumpai kemudian, telahpun kosong.
10.Pengiraan undi telah dibuat di tempat berasingan dari tempat yang sebenar. Sewaktu pengiraan dibuat, para pemerhati kami mendapati bahawa terdapat tiga hingga lima kertas undi terlipat bersama dengan tanda pangkah untuk BN. Bantahan yang dibuat tidak dihiraukan. Ejen-ejen pengiraan kami sepatutnya diberikan "tally sheets" yang sudah ditandatangani oleh Pegawai Pilihanraya, tetapi hampir kesemua mereka tidak diberikan "tally sheets" ini walaupun diminta oleh ejen. Walaupun calon meminta "tally sheets"dari pihak SPR, mereka tidak mahu memberi dengan mengatakan mereka hanya boleh memberikan keputusan akhir. Oleh itu, di pusat penjumlahan undi, wakil-wakil kami tidak berpeluang untuk mengesahkan kiraan tersebut.
11.Jumlah pengundi yang keluar mengundi dan jumlah kiraan undi adalah tidak sama. Ejen kami mengesahkan bahawa setengah peti undi, undi dikira melebihi jumlah undi yang dibuang.
12.Beberapa beg berisi kertas undi telah dilihat dibawa keluar dari dewan pengiraan undi melalui pintu belakang dan selepas itu beberapa penyokong kami telah menjumpai kertas-kertas undi di dalam tong-tong sampah di belakang dewan tersebut.
13.Pemeriksaan ke atas Daftar Pemilih yang dibekalkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya melalui CD membongkar keraguan yang serius. Di Wilayah Persekutuan terdapat 52% pengundi yang tidak mempunyai tarikh lahir dan tarikh kelayakan. Di Kubang Pasu sahaja, kita dapat kesan beribu-ribu pengundi dengan nombor kad pengenalan bersiri yang berturutan dan ini adalah luar biasa.
14.Saya memohon pihak SPR supaya membuat penyiasatan terhadap kesemua keraguan ini dan jika terbukti benar mengisytiharkan Pilihanraya Umum 1999 tidak sah dan mengadakan pilihanraya yang baru atau pilihan lain ialah menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan serta merta. Hak asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dihakis dan dikikis dan undang-undang serta peraturan pilihanraya telah dilanggar. Pilihanraya Umum yang diadakan pada 29hb November 1999 adalah tidak adil dan bebas.
Hajjah Marina Yusoff
Pengarah Pilihanraya
Parti KeADILan Nasional
10 Dis 1999
0 comments:
Post a Comment