Skandal seks Soi Lek, nasihat Najib 'umpama ketam ajar anak berjalan'? - Kit Siang
Wan Nordin Wan Yaacob
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Jan (Hrkh) - Skandal seks membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek yang menggemparkan negara beberapa hari lalu membuatkan kalangan pemimpin BN 'ketar lutut' apabila adanya gambaran dan ingatan secara sinis dikeluarkan Soi Lek mengenai isu moral pemimpin lain.
Meskipun dengan nasa kecewa dan tidak mahu mendedahkan soal isu moral pemimpin lain yang mungkin berlegar dalam minda Soi Lek, namun ianya disahut oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan satu peringatan kepada kepimpinan kerajaan agar tidak melakukan perkara yang sama.
Najib dalam laporan akhbar hari ini mengingatkan semua pemimpin BN supaya mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mencemarkan imej mereka dan kerajaan, terutama menjelang pilihanraya umum akan datang.
Peringatan ini nyata mewujudkan suasana gusar lebih-lebih lagi bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Dato' Ruhanie Ahmad mengingatkan soal adanya desas-desus yang menyatakan isu itu kini mungkin terarah ke negeri Pahang pula.
Mengulas kenyataan Najib itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dalam satu komentarnya yang tersiar dalam akhbar versi internet memperlekeh kenyataan Najib yang juga Timbalan Presiden Umno.
Kit Siang mempersoalkan sama ada Timbalan Perdana Menteri 'orang yang sesuai' untuk menasihatkan pemimpin BN yang lain supaya mengamalkan nilai-nilai yang baik, berdisiplin tinggi dan menjaga tingkahlaku mereka.
"Apakah Najib telah memberi contoh yang baik dalam karier politiknya untuk melayakkan beliau memberi nasihat dan ingatan seumpama itu?
Kit Siang secara sinis berkata, "atau nasihat Najib itu umpama 'bapa ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul?" soal Lim lagi.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ada menyatakan bahawa skandal seks membabitkan Soi Lek ini 'mungkin' sekali sama seperti skandal yang membabitkan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang masih dibicarakan di mahkamah.
Mahfuz ketika mula mengulas isu DVD lucah membabitkan Soi Lek berkata, perbezaan dalam kes DVD lucah ini cuma tiadanya adegan pembunuhan, sebaliknya terdedah dengan rakaman aksi Soi Lek bersama seorang wanita yang dikatakan rakan karib bekas Naib Presiden MCA itu.
Mahfuz juga menyebut supaya siasatan menyeluruh dilakukan polis ke atas wanita yang terbabit dengan aksi lucah bersama Soi Lek itu, selain tujuan di sebalik adegan itu dirakam dan diedarkan.
Pada 2 Januari lalu Naib Presiden MCA mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan dalam parti serta anggota Parlimen Labis, berkuatkuasa serta merta.
Peletakan jawatan itu dibuat berikutan desakan rakyat setelah bekas Menteri Kesihatan itu mengaku terbabit dalam DVD lucah bersama seorang wanita muda yang dikatakan rakan karibnya.
Polis kini mula menyiasat dalang penyebaran DVD itu selain pihak yang merakam aksi lucah Soi Lek.Sehingga semalam, polis dikatakan telah mengenalpasti identiti wanita dalam DVD tersebut.
Jan 4, 2008
NAJIB DAH JADI KETAM
Labels: Video Lucah BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment