Mstar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja, yang sedang menjalankan inkuiri mengenai kesahihan klip video kononnya mengenai cubaan seorang peguam mengatur pelantikan hakim, membuat keputusan hari ini bahawa buat masa ini Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu dipanggil memberi keterangan.
Pengerusinya Tan Sri Haidar Mohd Noor berkata dua orang lagi iaitu peguam R.Sivarasa, yang juga Naib Presiden PKR, dan Sim Tze Tzin, juga tidak perlu dipanggil sebagai saksi kerana keterangan mereka tidak ada hubungan secara langsung dengan inkuiri itu.
Bagaimanapun, suruhanjaya lima anggota itu, membenarkan permohonan supaya Thirunama Karasu, adik kepada peguam V.K. Lingam, orang didakwa sedang berbual menerusi telefon dalam klip video itu kononnya berhubung pelantikan hakim, untuk menjadi saksi tetapi keterangannya akan hanya tertumpu kepada isuisu tertentu.
Keputusan hari ini dibuat selepas suruhanjaya itu mendengar secara tertutup pada Jumaat lepas hujah peguam-peguam yang mewakili beberapa pihak dalam inkuiri itu.
Prosiding itu dijalankan secara tertutup bagi memastikan bahawa dakwaan yang tidak ada kaitan dengan klip video itu tidak diterima sebagai bukti.
Peguam M. Puravalen, yang mewakili Anwar, dan Wee Chee Keong yang bertindak bagi pihak Thirunama, berhujah bahawa keterangan anak guam masing-masing memenuhi syarat dan terma inkuiri itu.
Minggu lepas, kedua-duanya mengemukakan dokumen yang mendakwa kononnya terdapat salah laku dalam badan kehakiman yang perlu diteliti oleh suruhanjaya itu.
Selain Haidar, suruhanjaya itu dianggotai Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Datuk Mahadev Shankar, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Prof Emeritus Datuk Khoo Kay Khim.
Prosiding yang memasuki hari ke10 hari ini bertujuan antara lainnya menentukan kesahihan klip video itu, mengenal pasti orang yang dipaparkan serta dengan siapa dia sedang berbual selain memastikan sama ada terdapat sebarang salah laku.
Jan 28, 2008
Tak perlu Anwar jadi saksi buat masa ini, kata Suruhanjaya
Labels: VK Lingam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment