Tonik remaja -
Pelajar sekolah rendah turut berani beli arak di kedai buku
kosmo
KEGIATAN meminum arak yang dibeli dengan mudah termasuk dari kalangan pelajar sekolah kian membimbangkan.
KUANTAN – Tidak lama selepas timbul isu pelbagai jenis minuman ringan bercampur alkohol mudah dibeli, kini berleluasa pula sejenis arak dari negara jiran yang dijual merata termasuk kepada pelajar sekolah rendah.
Apa yang membimbangkan ibu bapa ialah minuman keras yang mengandungi paras alkohol sehingga 27 peratus itu bukan sahaja dijual di kedai-kedai runcit tetapi juga di kedai buku di sini.
Ia kini menjadi kegemaran remaja kerana harganya semurah RM4 sebotol kecil (kira-kira 250 mililiter).
Tinjauan KOSMO! di sekitar bandar ini mendapati kedai-kedai terbabit menjadi tumpuan remaja yang berpeleseran dengan basikal dan motosikal pada setiap malam minggu.
Pada malam Sabtu lalu, wartawan KOSMO! yang menyamar sebagai pembeli dengan mudah memperoleh sebotol minuman itu dengan harga RM4 di sebuah kedai kecil yang menjual majalah dan buku-buku terpakai.
Dengan hanya menyebut perkataan tertentu, peniaga terbabit segera mengambil sebotol minuman yang disorokkan bawah meja dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum dijual.
Apabila bekalan di bawah meja habis dijual, dia akan masuk melalui sebuah pintu rahsia di sebelah kedai untuk mengambil bekalan tambahan.
BEBERAPA orang remaja berkumpul sambil mendapatkan bekalan arak dari pintu belakang kedai di Kuantan.
Kegiatan itu disedari kebanyakan pemandu teksi yang pada mulanya menyangka ia aktiviti menjual gam kepada remaja.
Salah seorang pemandu teksi yang enggan dikenali berkata, kegiatan itu telah lama diperhatikannya setiap kali dia menunggu penumpang di tepi jalan dekat Pasar Besar Kuantan.
“Setiap malam minggu selepas pukul 10, ada saja kelibat mat motor dengan perempuan datang beli arak itu dan kemudian mereka dilihat mabuk bersama-sama.
“Kalau tak percaya, pergi tengok di lorong-lorong kat bandar ini. Ada juga yang cakap mereka mabuk dekat hutan di Teluk Chempedak dan buat maksiat,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi berkata, terdapat sebuah kedai yang menjual majalah sehingga pukul 5 pagi menjadi tumpuan remaja berbasikal pada setiap malam minggu.
“Ini paling kita bimbang, budak-budak sekolah rendah yang naik basikal pun datang beli minuman keras itu yang dibungkus dengan plastik hitam. Tempat mereka mabuk, itu saya tak pasti,” katanya.
Tinjauan KOSMO! juga mendapati kegiatan menjual minuman itu dilakukan segelintir pengusaha kedai runcit yang terletak berhampiran pusat-pusat hiburan karaoke dan dangdut di bandar ini yang sering dikunjungi remaja.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
7 hours ago
0 comments:
Post a Comment