kudaranggi
UMNO Pulau Pinang pimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) yang mengalami pukulan hebat apabila gagal mempertahankan dua kerusi kawasan undi Parlimen Balik Pulau dan Nibong Tebal serta tewas di empat kawasan undi Dewan Undangan Negeri - Sungai Bakap, Batu Maung, Permatang Pasir dan Penanti - dah mula buat hal.
Kegagalan UMNO untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap yang ditandingi oleh mantan timbalan ketua menteri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, Batu Maung dan Penanti serta gagal merampas kerusi Permatang Pasir dari PAS benar-benar mengejutkan parti itu.
Juga menjadi tamparan hebat apabila UMNO gagal mempertahankan kerusi Balik Pulau yang ditandingi oleh tokoh wanita yang mempunyai talian keluarga dengan Pak Lah iaitu Datuk Dr Norraesah Mohamad (Kwantung) serta kerusi Nibong Tebal (Datuk Zainal Abidin Osman).
Pemimpin UMNO Pulau Pinang nampaknya tidak dapat menerima kekalahan dan mula menuding jari kepada para pengundi Melayu yang menolak mereka dan mula membuat desakan agar projek-projek yang dijanji dan yang telahpun dilaksanakan dibatal sahaja.
Setiausaha badan perhubungan UMNO Pulau Pinang yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Penaga (dalam kawasan undi Parlimen Kepala Batas), Datuk Azhar Ibrahim meminta kerajaan persekutuan supaya membatalkan semua projek mega yang dirancang untuk Pulau Pinang termasuk jambatan kedua, monorel, jalan lingkaran luar Pulau Pinang (PORR) serta perkhidmatan pengangkutan Rapid Penang.
Alasan bodoh yang diberikan oleh Azhar ialah rakyat Pulau Pinang telah menolak kerajaan BN dan memilih pentadbiran baru yang diketuai oleh DAP. Oleh itu rakyat Pulau Pinang menolak pembangunan. Satu hujah yang boleh dikatakan balas dendam walaupun dinafikan oleh Azhar. Bak kata Mat Salleh - sour grapes.
Yang melucukan ialah Azhar meminta Rapid Penang dibatalkan sedangkan perkhidmatan itu telahpun dilaksana dan berjalan lancar. Saya tidak faham dimana letaknya kewarasan dan kebijaksanaan Azhar apabila membuat gesaan tersebut.
Apa yang dilakukan oleh Azhar bagi pihak UMNO Pulau Pinang tidak lain daripada perumpaan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Inilah mentaliti dunia ketiga yang dimiliki oleh seorang pemimpin yang hidup dalam persekitaran kelas satu.
Apakah tidak mungkin Azhar dan UMNO Pulau Pinang meminta semua projek mega yang dirancang dan diluluskan di Pulau Pinang dibatalkan kerana ada udang di sebalik batu?
Apakah tidak mungkin desakan itu dibuat kerana kroni-kroni akan kehilangan habuan dan juga projek yang ada kaitan dengan pelaksanaan projek-projek mega?
Bukankah kekalahan pentadbiran BN akan merugikan puak-puak tertentu termasuk yang ada kaitan dengan pemimpin-pemimpin UMNO?
Jangan persalahkan rakyat kerana menolak BN dan UMNO. Cerminkan diri sebelum membuat tuduhan dan desakan. Rakyat hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab. Inilah kuasa yang ada di tangan rakyat dan kuasa pemerintahan bukan hak milik kekal BN.
Mari sama-sama kita dendangkan gurindam Boria ini:
Jatuh tangga ditimpa tangga
Kerana BN kalah pilihan raya
Emas di badan tiada sesaga
Akal fikiran dah tak tentu hala.
Mana nak dapat habuan dan laba
projek terlepas entah pada siapa
otak dah sasau hampir nak gila
Boria Padang Kota buka cerita.
Mar 14, 2008
UMNO Pulau Pinang dah mula gelabah
Labels: Penang Politics
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment