Abdul Halim Mohd Rashid
harakahdaily.net
KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBC), Datuk Ruhanie Ahmad mempersoalkan, adakah pengundi di kampung-kampung faham dan mengambil peduli apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kad laporannya kepada rakyat.
Beliau juga membangkitkan tentang merebaknya presepsi bahawa kerajaan pimpinan Abdullah seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara kepada kuasa asing, dipercayai Singapura.
Begitu juga dengan soal keterlanjuran menantu Abdullah (Khairy Jamaludin) yang kian menghantui pemikiran rakyat.
"Hebat. Memang cukup hebat. Ini bermakna seolah-olah era Abdullah jauh lebih baik daripada era Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini bermakna seolah-olah Abdullah adalah Perdana Menteri yang amat cemerlang prestasinya," kata beliau, yang dilihat sebagai menyindir Perdana Menteri.
"Soalnya, adakah pengundi di kampung-kampung yang menjadi pendukung setia Barisan Nasional (BN) sejak merdeka, faham hakikat di atas? Adakah mereka pedulikan seluruh perangkaan tersebut? Tidak mungkinkah mereka akan bertanya, kalau prestasi kerajaan Abdullah mencecah trillion ringgit, kenapakah harga barang mahal? Kenapa harga petrol naik? Kenapa duit mereka seolah-olah semakin menguncup nilainya?" beliau mempersoalkan.
Menurut Ruhanie, beliau mengemukakan soalan tersebut kerana itulah persoalan orang-orang kampung sejak akhir-akhir ini.
"Sepatah kata orang Jawa di kampung saya, mereka masih lagi memikirkan soal “sandang-pangan” atau soal pakaian dan makanan. Mudahnya, soal kehidupan yang asas – soal perut!"
Pada waktu yang sama, katanya lagi, adakah para pengundi di kawasan bandar terpesona dengan laporan di atas?
"Mereka akan mengungkit, indeks rasuah negara bagaimana? Soal kemiskinan di bandar di mana tahapnya? Mereka akan menghujjah, soal kredibiliti kerajaan ketika ini di mana tarafnya?
"Soal presepsi bahawa kerajaan mutakhir seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara kepada kuasa asing mengapa kian merebak? Soal kronisme mengapa terlalu rancak dipolemikkan?
"Dan, soal keterlanjuran menantu Abdullah mengapa kian menghantui pemikiran rakyat?" bekas Ahli Parlimen Parit Sulong itu mempersoalkan.
Golongan idealis pula, katanya, akan bersuara sudahkah Abdullah memberikan semangat, roh dan jiwa kepada kata-kata beliau yang termaktub di dalam puisi Damai Abadi yang menghiasi Manifesto BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-11.
"Dan, sudahkah propaganda puitis Abdullah yang kononnya beliau mahu mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie” kerana beliau pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan berpandukan “sunnah nabi,” menjadi realiti?"
Sebenarnya, kata Ruhanie lagi, senarai persoalannya amat panjang sekali.
"Bagaimanapun, seluruh persoalan di atas sewajarnya menginsafkan Abdullah bahawa kesejahteraan hidup rakyat jelata yang sedang diraihkan sokongannya ketika ini bukan hanya berpaksikan kepada perangkaan trillion ringgit nilainya," beliau mengingatkan.
Kesejahteraan total rakyat ketika ini, katanya lagi, sewajarnya merangkumi soal perut, roh dan jiwa; sewajarnya meliputi soal prinsip dan integriti; sewajarnya mencakupi soal minda, akal, budi dan kredibiliti, semestinya memfokus kepada soal maruah, jatidiri dan kedaulatan negara-bangsa.
Feb 22, 2008
Bekas Pengerusi Kelab Penyokong BN persoal laporan PM
Labels: Harakah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment