Guru Teknik
Harakah
Saudara Pengarang,
Assalamualaikum,
Saya ingin menyatakan beberapa hal yang menyangkut masalah semua guru Sekolah Menengah Teknik seluruh Malaysia khasnya guru matapelajaran teknik dan vokasional.
Mohon media dapat ketengahkan kepada pihak-pihak tertentu mengenai Pekeliling yang baru dikeluarkan Jabatan Pelajaran Teknikal, Kementerian Pelajaran iaitu mengenai 'Elaun Kritikal' yang ditarik balik.
Di sini, kami kecewa dengan keputusan itu. Kami faham 'elaun' berhak ditarik balik. Tapi, pernah atau tidak kajian dibuat mengenai bagaimana guru-guru yang mengajar subjek ini bergelumang dengan situasi yang amat bahaya dan kritikal?
Di mana letaknya keprihatinan kementerian yang membuat keputusan kurang wajar ini? Para guru di semua sekolah teknik dan vokasional ini berdepan dengan pelbagai masalah, tohmahan dan terpaksa berdiam diri selama ini.
Di bawah ini, saya sertakan kerja-kerja dan masalah yang ditangung oleh semua guru teknik dan vokasional berbanding dengan kerja-kerja bagi guru sekolah biasa:-
1. Bahaya
Guru-guru teknik dan vokasional mengajar dalam tempat yang amat berisiko tinggi iaitu dalam bengkel yang mempunyai pelbagai peralatan berbahaya contohnya Mesin Larik, mesin kisar, mesin kimpalan arka, kimpalan gas, enjin kereta, 'wiring' elektrik dan pelbagai peralatan yang amat berbahaya.
Sehubungan itu, cuma guru-guru yang berkemahiran saja dapat menggunakan alat-alat ini. Apakah ini semua bermakna, bahawa segala kemahiran kami selama ini tidak diiktiraf oleh kementerian?
2. Jadual Waktu sekolah
Guru-guru di semua sekolah teknik dan vokasional mempunyai jadual waktu yang amat ketat di samping masa mengajar yang panjang. Semua guru sekolah teknik, waktu kerjanya bermula 7.25 pagi dan sehingga 5.00 petang.
Ini tidak termasuk aktiviti ko-kurikulum dan sukan, berbanding sekolah menengah biasa yang bermula 7.40 pagi dan pulang pada 2.00 petang.
Ini belum termasuk kerja-kerja amali dan kelas tambahan yang selalunya dilakukan pada waktu petang. Sehubungan itu juga, saya ingin menyatakan bahawa cakap-cakap orang sebelum ini yang menyatakan guru-guru Malaysia mempunyai waktu kerja paling pendek adalah sama sekali tidak benar.
3. Masalah pelajar
Sekolah-sekolah teknik sekarang mendapat pelajar daripada sekolah-sekolah biasa yang berbagai jenis masalah disiplin.
Guru-guru sekolah biasa selalunya akan melepaskan pelajarnya yang yang mempunyai masalah disiplin yang teruk dan juga mempunyai tahap akademik yang paling teruk.
Oleh sebab itu sekolah teknik khasnya aliran vokasional mendapat pelajar terbuang. Sehubungan itu, guru-guru teknik dan vokasional inilah yang akan menerima habuan masing-masing.
Berbagai masalah terpaksa dihadapi oleh guru-guru ini dengan masalah disiplin, akademik, kehadiran pelajar yang merosot, dan pelajar yang masuk ke aliran vokasional langsung tidak dapat membaca pun ada.
Di sini, guru-guru terpaksa bertungkus-lumus menjadikan para pelajar ini seseorang yang berguna sesuai dengan seruan kerajaan agar negara kita maju. Tetapi, malangnya pemikiran orang-orang atasan di pihak kementerian tidak maju.
Daripada pandangan mata kasar, memanglah nilai elaun sebanyak 10 peratus dan 5 peratus itu kecil. Tapi, apabila dikira dengan mendalam, penarikan semula elaun itu telah meragut duit makan kami, meragut duit susu anak kami, meragut duit pampers anak-anak kami.
Kami memang tahu kementerian berhak untuk menarik balik, tetapi bayangkan sudah berpuluh tahun kami menerimanya.
Adalah sama sekali tidak wajar kementerian berbuat demikian. Ini kerana, kami masih lagi membuat kerja yang sama bahayanya seperti dahulu tidak ada perubahan.
Sudahlah kami mengajar dalam keadaan teramat panas. Ada kalanya terpaksa menolak peralatan enjin keluar bengkel untuk mendapat aliran udara yang baik.
Sesetengah bilik guru-guru bengkel ini tidak mempunyai penghawa dingin langsung. Malah ada kipas yang rosak, itu pun kadang-kadang beli sendiri.
Di mana kebajikan guru-guru sekolah teknik dan vokasional? Sudahlah mereka ini menghadapi berbagai cabaran dan masalah, 'Elaun Kritikal' pula ditarik balik.
Miskin sangatkah kerajaan dan kementerian? Bukan niat kami mahu burukkan sesiapa. Tapi di mana kebajikan dan keprihatinan kementerian ke atas kami yang telah banyak menabur jasa bagi menjayakan misi nasional?
Dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan, kami terpaksa menanggung kos berterusan. Belanja keperluan menjadikan guru-guru tertekan dan kami amat risau kemungkinan prestasi kerja kami akan merosot dengan tekanan berterusan khasnya bagi mereka yang terpaksa tinggal di bandar-bandar besar.
Dengan kos sewa rumah yang telah dinaikkan ekoran kenaikan gaji kakitangan awam tahun lalu, pelbagai tekanan ini membuatkan guru-guru berasa tidak senang dan selesa dalam menjalankan kerjanya sebagai pendidik.
Bagaimana kementerian boleh memberi elaun kepada guru-guru yang mengajar subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Bagaimana dengan kami yang lebih diperlukan dan penting dengan keadaan yang kementerian sedia maklum ini?
Semua pihak sedia maklum bahawa kerajaan boleh menanggung kos pemulihan penagih dadah yang berjumlah berbilion-bilion kosnya, menanggung kos kondom dan jarum suntikan secara percuma kepada penagih dadah, menanggung kos pendatang asing tanpa izin (haram) sebanyak RM 30,000 sehari dan berbagai lagi.
Bagaimana dengan kami yang memerah otak, mengabaikan keseronokan untuk mendapatkan segulung diploma dan ijazah?
Di mana letaknya kami dalam kementerian dan kerajaan? Adakah penagih dadah dan pendatang asing lebih disayangi daripada kami yang berpelajaran tetapi dipingirkan?
Fikirlah secara positif. Apa gunanya kita ada Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran, Pengarah Pelajaran Teknikal dan lain lagi kalau tidak dapat memberi kebajikan kepada guru-guru kita?
Diharap, pihak barwajib dapat menyiarkan luahan hati ini. Semoga kami mendapat pembelaan yang sepatutnya. Semoga guru-guru kita tidak menjadi 'GURU 25 HARIBULAN'. --- aba.
Feb 22, 2008
Elaun ditarik balik, guru teknik tertekan
Labels: Belit BN, Elaun guru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment