tehranifaisal
Sudah lama tidak menemuinya. Memang, seperti lazimnya kalau bertemu orang kampung, otomatis sahaja kami akan berbual dalam loghat yang lebih mesra. Dan saya tak pernah malu mengaku loghat itu loghat kampung saya. Terserempak dengan orang Rembau di Berlin pun saya akan otomatis menukar loghat yang suam-suam manja ini.
Logis; teman saya itu berbual dengan saya tentang logis. Katanya dia bosan dengan kenaikan harga barang (kebetulan dia memesan roti canai:chennai). Jadi secara lojik, apa cara untuk membendung kenaikan harga roti canai?
Dia memberi saya empat pilihan:
A. Berhenti makan roti canai.
B. Roti canai dan segala yang digunakan untuk membuatnya dijadikan 'bahan' yang dikawal harganya.
C. Hukum peniaga yang menaikkan harga.
D. Kecilkan saiz roti.
Entah mengapa dua ayat yang dibaca sesudah maghrib masuk dalam benak semula:
Allah berfirman dalam surah Ar Rum ayat 41: "Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar".
Buat kerosakan, dapat kerosakan. HANYA sebagai contoh, dalam kerangka demam politik kepartian sekarang - maka mengundi salah; dapat akibat yang juga salah. Mudah. Sebab dan akibat. Logis begitulah, (siapa yang patut diundi, gunalah logis. Tentu, logis tuan-tuan tidak sama dengan saya).
Jika kita menyorot sisi lain kita akan terlihat betapa ada negara yang telah hancur oleh tangan rakyatnya sendiri, Rwanda katakan (sisi negatifnya) atau Kosovo sebagai sebuah negara baru (sisi positifnya).
Ada bangsa yang hancur oleh kerana perbuatan bangsa itu sendiri. Serasa baru kelmarin saya memberitahu teman saya yang lain Tamilvanan (ya saya ada kawan orang India: halo kita rakyat Malaysia!) bahawa kemelaratan kaum India tidak dapat dipersalahkan kepada orang lain.
Kaum terdahulu ada yang telah melakukan kerosakan di dunia, dan kerana itu, logisnya maka ia pun jatuh ke lubang kehancuran. Syarat untuk tidak jatuh ke dalam lubang itu mudah, saya beritahu kepada Tamilvanan, bahawa dalam al-Quran Allah berfirman: "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi diri kamu sendiri dan dan jika kamu berbuat jahat maka (kejahatan) itu bagi diri kamu." (Al Isra'17: 8) .
Gunalah akal. Kaedah Ilahiah ini adalah kaedah umum yang universal. Ia terpakai untuk semua bangsa, semua agama, semua lapisan, semua negara...semua. Logis. Tidak perlu diterjemahkan dan ditafsirkan lebih jauh kerana ia bahkan satu konsep hidup yang akan dapat diterima oleh semua orang yang menggunakan hati dan akalnya.
Islam agama yang hebat kerana ia menggalakkan umatnya menggunakan logis. Semua manusia diberi potensi akal.
Jalan-jalan di alam maya, akan terjumpa blog seorang gadis manis yang menulis dalam entrinya: I hate politics, hate politicians. They all the same. Kemudian dalam entri lain secara tidak logis dia menulis merungut darihal petrol makin mahal, barang sudah naik harga atau dalam perjalanan ke UpTown dia sakit hati membayar tol, dan bla, bla, bla...apa dia ini bengong atau apa? Apa dia tidak faham logis atau apa.
Politik yang dibencinya, yang tidak dipedulikannya (justeru dengan bangga dia mengisytiharkan: so that's why i am not going to cast my vote, i dont even register) adalah satu perbuatan yang tidak logis dan tidak bersesuaian dengan rungutannya.
Bukan, ini bukan entri untuk berkempen. Saya seperti sang gadis, i just hate politics (dalam erti kata kepartian)...tetapi saya pengarang, yakni saya seniman yang mana pengarang kominis seperti Pramodeya Ananta Toer PUN berpesan 'politik adalah segala-galanya, politik adalah panglima dalam kehidupan'. Itu kata Pram. Nah, sebagai muslim, tambah-tambah lagilah saya adalah makhluk politik. Makhluk politik Islam adalah makhluk yang logis. Benar, sebagai makhluk politik menyertai parti tertentu belum tentu menunjukkan kita berpolitik. Tetapi mengambil kira rungutan sang gadis, tentu ia menjengkelkan kerana dia memang tak mahu membuat pilihan. Kemudian dia memekak hal yang dia sepatutnya menentukan tetapi tidak dibuatnya.
Gadis dengan blognya itu bagi saya contoh manusia tidak logis. Manusia yang ignorant adalah manusia yang tidak ada logis. Untuk ignorant, dia juga boleh dihujahkan jahil dan untuk jahil sekutunya ialah angkuh. Ini gadis yang tidak ada logis, jahil dan angkuh.
Dia pentingkan diri. Kemudian kita rasa meluat kerana dia mengadu-ngadu dalam blognya (betul, itu blog dia, dia boleh merungut apa sahaja...) yang dia rimas Malaysia, negara tercintanya jadi sekian sekian dan tidak jadi sekian-sekian seperti kehendaknya.
Lebih meluat, dia ini bukan jenis gadis yang kita lihat berlegar di Mid Valley atau KLCC tak ada arah. Dia pelajar institut pengajian tinggi, (pelajar IPT tidak logis? Dalam konteks masyarakat ini kes mati di pucuk.)
Jadi, setelah berbual pendek dengan saya Tamilvanan berjanji akan memahami sebab dan akibat. Yakni dia akan melakukan sesuatu untuk mendapatkan akibat yang dikehendakinya. Kadang kala sebab dan akibat itu amat bergantung dengan trial dan error. Untuk itu 'keberanian' diperlukan. Misalnya tiada siapa dapat menjamin rakyat Iran yang menggantikan Pahlavi dengan Imam Khomeini akan dapat membaiki masalah kemiskinan di negara tersebut, tetapi satu aspek dalam kehidupan iaitu penindasan dan kezaliman Shah telah diketepikan. Penindasan yang saya maksudkan bukan materi tetapi spiritual kerana Shah telah menzalimi rakyatnya secara rohaniah. Atau baru kelmarin, rakyat Pakistan melakukan sesuatu yang logis. Mengajar Musharaf yang 'jahat' itu. Ah senarai contoh panjang.
Kembali kepada teman sekampung, dia mengeluh panjang; begitu begini katanya Malaysia. Seorang lagi manusia mengada (kekurangan vantage point barangkali).
Pilihan yang dia berikan semuanya akibat, dia tidak menekuni sebab.
Dan tuan-tuan, ada logis yang harus dilakukan secara kumpulan (mengundi sebagai misalan, mengangkat sastera Melayu ke peringkat dunia katakan). Kalau masih ada akibat yang tidak logis (yakni yang kita cita-citakan gagal), kita yang lebih logis harus membangunkan keupayaan masyarakat yang tidak logis itu (termasuk mendorong mereka yang ignorant). Supaya mereka dapat melihat sebab. Cara apa membangunkan logis orang yang tiada logis?
Macam-macam cara. Waktu itulah kita menjadi makhluk politik (dalam apa juga pengertian politik).
Sambil mengetis roti canai saya memberitahunya: Apo kono e jang? Kau monong ajo, oghang ke bulan ekau ke mano!
Undi anda tetap rahsia. SPR sudah memberi jaminan bahawa tiada lagi nombor siri pada kertas undi kali ini.
Feb 22, 2008
Apo Kono E Jang?
Labels: Artikel
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment