Inkuiri oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video "Lingam" ditangguhkan sehingga Jumaat ini bagi membolehkannya menimbang permohonan membatalkan kelayakan dua anggotanya, Datuk Mahadev Shankar dan Prof Emeritus Khoo Kay Khim, daripada terus mendengar prosiding.
Pengerusi suruhanjaya itu Tan Sri Haidar Mohamed Noor berkata mereka memerlukan masa sebelum membuat keputusan mengenai permohonan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin, yang dibuat menerusi peguamnya Datuk Hazman Ahmad, dan oleh Datuk V.K.Lingam, yang dikemukakan menerusi peguamnya R.Thayalan.
Hazman tidak membantah penangguhan itu tetapi Yeoh Yang Poh yang mewakili Badan Peguam Malaysia berpendapat inkuiri itu perlu diteruskan, dengan mendengar dahulu dua permohonan itu.
Haidar berkata adalah lebih baik suruhanjaya itu menunggu dan membuat keputusan mengenai permohonan itu sebelum mendengar keterangan saksi lain.
"Kami berpendapat ianya (permohonan) mengandungi dakwaan berat. Untuk berlaku adil, berilah kami masa untuk menimbang dan membaut keputusan, dan dari situ, bolehlah kita teruskan," katanya.
Haidar berkata tidak perlu bagi mana-mana individu yang dinamakan dalam permohonan itu datang memberi keterangan .
"Jika mereka perlu membuat penjelasan, memadai bagi mereka mengemukakan kenyataan bersumpah, dan mungkin menjelang petang Jumaat nanti, kita dapat menyelesaikannya," katanya.
Suruhanjaya itu juga diberitahu oleh R.S.N. Rayer, peguam yang mewakili G.Jayanti (bekas setiausaha Lingam) bahawa wanita itu "kini menghadapi tekanan" selepas keterangannya semalam disiarkan oleh media.
Jayanti memberitahu inkuiri itu semalam bahawa beliau bersama dua lagi setiausaha Lingam dikurung semalaman di pejabat peguam itu untuk menaip penghakiman satu kes saman sivil membabitkan tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan pada 1994.
Dia juga mendakwa menerima RM3,000 daripada Badan Pencegah Rasuah pada 1998 sebagai ganjaran.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
7 hours ago
0 comments:
Post a Comment