AZIZUL menunjukkan salinan sijil kelahiran yang diperolehnya pada tahun 2005 di rumahnya di Taman Belibis, Simpang Ampat, Batu Kawan semalam.
Sukarnya peroleh MyKad
Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my
BATU KAWAN – Seorang remaja, Azizul Abdul Kadir Mohd. Yaacob, 19, merupakan seorang warganegara Malaysia tetapi setiap kali keluar rumah, dia dihantui perasaan bimbang dianggap pendatang asing tanpa izin (PATI).
Semuanya gara-gara dia tidak mempunyai MyKad sehingga memaksanya membawa salinan sijil kelahiran setiap masa dan ke mana sahaja dia pergi bagi mengesahkan bahawa dia adalah seorang warganegara.
Itulah yang terpaksa dilalui Azizul Abdul Kadir gara-gara sijil kelahirannya pernah hilang pada tahun 1999 menyebabkan dia sukar memperoleh MyKad.
Dia yang ditemui di rumahnya di Taman Belibis, Simpang Ampat di sini semalam memberitahu, sehingga sekarang permohonannya untuk mendapatkan MyKad tidak mendapat maklum balas Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang (JPNPP).
Menurutnya, selepas sijil kelahirannya hilang pada tahun 1999, ibunya, Norjahan Bibi Mohd. Shariff, 45, membuat laporan polis dan memohon salinan sijil kelahirannya daripada JPNPP.
“Ketika itu pegawai di JPN memberitahu mereka tiada rekod mengenai kelahiran saya dan minta ibu mendapatkan pengesahan kelahiran daripada Hospital Bukit Mertajam (HBM), tempat saya dilahirkan.
“Selepas beberapa kali ibu berulang-alik ke JPN, pada November 2005 barulah JPNPP mengeluarkan sijil kelahiran saya,” katanya.
Kelewatan itu katanya, menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2004.
Menurutnya, disebabkan malu dengan ejekan rakan-rakan bahawa dia tidak mempunyai sijil kelahiran dan MyKad, dia tekad untuk berhenti sekolah dan melupakan hasrat untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kini katanya, masalah lain pula timbul kerana tidak mendapat kerja gara-gara tidak mempunyai MyKad.
“Saya telah membuat permohonan mendapatkan MyKad di JPN Jawi dekat sini awal tahun lalu tetapi enam bulan selepas itu, saya masih tidak mendapat maklum balas daripada mereka.
“Selepas itu, saya ambil borang permohonan saya di JPN Jawi dan hantar pula ke JPN di bahagian pulau pada November tahun lalu tetapi perkara yang sama berlaku lagi,” katanya.
Kini dia terpaksa bekerja sebagai tukang sapu dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan kerana jelasnya, pekerjaan itu tidak mementingkan dokumen.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
6 hours ago
0 comments:
Post a Comment